24.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 7, 2021

Penduduk Kampung Kedaik larang orang luar datang

ROMPIN: Penduduk Orang Asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik di sini, memasang tali dan nota amaran bagi menyekat kemasukan orang luar tanpa urusan ke kampung mereka.

Penduduk, Dahliana Dahlan, 20, mereka hanya membenarkan orang luar yang mempunyai urusan tertentu sahaja masuk ke kampung ini demi menjaga keselamatan penduduk daripada dijangkiti wabak COVID-19.

“Saya harap orang luar akur dengan keputusan dan tindakan penduduk di sini kerana jika berlaku jangkitan wabak terbabit sudah tentu akan menyusahkan kehidupan kami di sini yang terdiri daripada semua peringkat usia,” katanya yang bekerja di kedai runcit ketika ditemui semalam.

Dahliana berkata, orang luar yang datang ke RPS Kedaik bagi mendapatkan hasil hutan selain membeli udang galah serta ikan Sungai Rompin yang terkenal di negeri ini.

Katanya, walaupun kerajaan melonggarkan syarat PKP namun penduduk berharap aktiviti keluar masuk orang luar ke RPS Kedaik dihadkan dan tidak terlalu bebas.

“Lebih baik kita beringat awal sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kerana wabak COVID-19 terlalu mudah berjangkit sekiranya tidak ada langkah pencegahan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya lihat bukan RPS Kedaik sahaja melarang luar datang ke kampung kami tetapi banyak lagi kampung Orang Asli di negeri ini berbuat demikian,” katanya.

Maimunah Kerengga, 48, pula berkata memang menjadi tanggungjawab tok batin mengawal kemasukan orang luar masuk ke kampung itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Januari lalu.

“Kami sendiri pun tidak keluar dari kampung ini kerana takut dijangkiti wabak COVID-19 apatah lagi jika orang luar mahu masuk tanpa urusan ke kampung ini.

“Langkah ini, bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi demi keselamatan penduduk di kampung ini terdiri daripada lebih 500 keluarga, maka orang luar perlu akur,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.