Pengaliran keluar dana haram (tansfer mispricing)berjumlah RM1.8 TRILION akibat SST - pakdin.my

Ramai telah membaca laporan mengenai pengaliran keluar dana haram berjumlah RM1.8 TRILION dibawa keluar dari Malaysia dari 2004 hingga 2014 dan berdasarkan kepada nisbah per kapita, Malaysia menduduki tempat pertama.

Saya telah memberi amaran tentang perkara ini pada masa lalu berkaitan GST dan ketika perbahasan di Parlimen dua bulan lalu. Saya ingin memperjelaskan ini dengan lebih mendalam supaya rakyat tahu.

Apa yang ramai tidak tahu ialah, kebanyakan pengaliran keluar dana haram ini adalah dari perbezaan pemindahan harga tidak betul (transfer mispricing) berikutan perbezaan kadar cukai antara negara. Contohnya, dua negara berbeza di mana cukai bagi negara M ialah 27 peratus manakala cukai bagi negara B adalah 17 peratus.

Syarikat di negara M (Syarikat M) akan ambil kesempatan dari perbezaan ini untuk memindah keluar secara haram keuntungan dan dana mereka ke negara lain untuk tidak dikenakan cukai tinggi.

Syarikat M yang mengeluarkan produk di negara M untuk eksport ke Amerika Syarikat, kemudiannya akan menubuhkan sebuah syarikat dimiliki sepenuhnya atau menggunakan proksi di negara B.

Syarikat M akan menjual produknya kepada Syarikat B pada harga sangat rendah, mengakibatkan keuntungan rendah bagi Syarikat M di negara M. Syarikat B kemudiannya menjual produk ini ke syarikat Amerika Syarikat pada harga lebih tinggi, setinggi harga runcit di Amerika Syarikat.

Hasilnya, syarikat M mencatatkan keuntungan rendah dan untuk itu, membayar cukai sedikit sahaja di negara M. Kebanyakan keuntungan diraih syarikat B yang berfungsi sebagai orang tengah sahaja dan kemudiannya membayar cukai lebih rendah memandangkan kadar cukai di negara B adalah lebih rendah dari negara M.

Sebab itu kita dapat lihat banyak produk eksport Malaysia dieksport kembali oleh negara lain.

Situasi yang sama turut berlaku bagi import di mana syarikat M akan membeli bahan mentah ataupun peralatan pada harga yang sangat tinggi dari syarikat B menyebabkan keuntungan dan cukai perlu dibayar syarikat M berkurangan manakala keuntungan diraih syarikat B di negara B melonjak tinggi berikutan kadar cukai rendah di negara B.

(Ya, Hong Kong antara negara-negara perdagangan kita yang cukai korporatnya lebih rendah dari Malaysia).

Negara M sudah tentu terjejas berikutan kehilangan dana dan kutipan cukai rendah manakala keuntungan bagi negara B meningkat biarpun tanpa melakukan apa apa kecuali wujudnya syarikat sebagai orang tengah.

Negara M ialah Malaysia dan masalah ini sudah berlaku bagi tempoh yang lama sebelum saya dilantik sebagai Perdana Menteri. Ia adalah masalah yang serius dan saya telah berikan keutamaan untuk menyelesaikannya.

Pada 2005 sahaja, Malaysia kehilangan US$35 bilion (RM146 bilion) iaitu 25 peratus daripada KDNK oleh kerana tindakan pemindahan dana atau keuntungan secara jelik ini.

Terdapat dua cara untuk selesaikan masalah serius ini dan GST adalah kunci komponen kepada penyelesaian ini.

Di bawah GST, harga kos bagi keseluruhan rangkaian pembekal dipantau, membolehkan kerajaan untuk mengesan jika terdapat syarikat yang memalsukan harga barang import atau eksport mereka lebih tinggi atau rendah daripada biasa. GST mengekang syarikat daripada menjalankan perdagangan tidak jujur kerana tahu mereka dipantau. Ia turut diperjelaskan melalui kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM): GST will mitigate trade mispricing – The Star Online http://link.pakdin.net/bankna3c2a

Sebab itu, saya berulangkali menyatakan bahawa bahagian besar kutipan GST berbanding SST ini adalah hasil daripada kutipan dari mereka yang elak cukai dan ekonomi haram, dan bukan daripada rakyat biasa.

Melaksanakan GST juga membolehkan kita untuk mempunyai asas pendapatan cukai lebih meluas bagi memberi ruang untuk kita tidak terlalu bergantung kepada cukai korporat. Jika kadar cukai kita dikurangkan hampir sama dengan kadar dikenakan di negara cukai rendah, maka kemungkinan untuk perdagangan tidak jujur akan lenyap.

Sebab itu ketika pentadbiran saya, kerajaan BN menurunkan cukai korporat kepada 24 peratus pada tahun sebelum ini dan melaksanakan GST. Kadar cukai bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga lebih rendah dari 24 peratus.

Hasil daripada penurunan secara berperingkat cukai korporat dan syarikat perniagaan tahu GST akan dilaksanakan di mana harga mereka akan dipantau, peratusan pengaliran dana modal haram keluar dari negara berbanding KDNK kita, menurun pada tahun-tahun sebelum ini daripada 25 peratus kepada 10 peratus pada 2014. Biarpun angka bagi tahun 2015 tidak diperolehi lagi, tetapi ia diunjurkan terus menurun.

Saya telah merancang untuk terus menurunkan cukai korporat pada tahun mendatang tetapi pendapatan hasil minyak kita suram pada tahun 2015 di mana pada tahun yang sama GST diperkenalkan yang mengekang kita daripada melaksanakan satu lagi penurunan kadar cukai korporat.

Mengurangkan kadar cukai ini adalah hasil perlaksanaan GST yang turut menjadikan Malaysia lebih kompetitif. Beberapa tahun lalu, Thailand mengurangkan cukai korporat mereka dari 30 peratus kepada 20 peratus, Singapura sudah lama pada kadar 17 peratus, Indonesia juga merancang turunkan kepada 17 peratus manakala Amerika Syarikat telah kurangkan cukai daripada 35 peratus kepada 21 peratus awal tahun ini.

Siapakah akan melabur atau membina kilang mereka atau mewujudkan ibupejabat mereka di Malaysia jika negara lain menawarkan cukai lebih rendah?

Sebab itu kebanyakan negara di dunia sudah beralih dari SST kepada GST dan tiada negara lain di dunia selain Malaysia yang memansuhkan GST selepas melaksanakannya, dan kemudian kembali kepada SST.

Semua langkah-langkah ini telah diatur dengan baik dalam Pelan Transformasi Negara kita untuk membuat pengstrukturan semula ke atas asas ekonomi dan fiskal kita untuk memperbaiki ekonomi dan daya saing negara demi masa depan negara tetapi malangnya rakyat tidak tahu atau faham dan senang dihasut oleh propaganda PH.

Malangnya juga, sudah terlambat kerana GST telah dimansuhkan dan rancangan untuk kurangkan lagi cukai untuk memastikan pengaliran dana haram ini dikurangkan dan pelaburan asing serta peluang pekerjaan terus naik telah dihentikan.

Pengaliran keluar modal secara haram serta tahap kompetitif negara ini bagi menarik pelaburan adalah antara cabaran-cabaran utama perlu didepani kerajaan PH dan perlu ditangani mereka selepas pemansuhan GST.

Najib Razak

……..
Berita sebelum:

Illicit outflows compared to total Govt Expenditure
https://pakdin.my/?p=39667

UTAMAEKONOMIPengaliran keluar dana haram (tansfer mispricing)berjumlah RM1.8 TRILION akibat SST

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium