Pengamal Media Sosial Jangan Hilang Identiti Malaysia - pakdin.my

Pengamal media sosial di negara ini perlu terus menerapkan nilai budaya dan identiti Malaysia dalam setiap penulisan mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata golongan itu juga perlu memikirkan langkah terbaik untuk menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

“Apa yang harus kita amalkan ialah di samping berhubung menerusi blog, Twitter dan sebagainya, kita jangan hilang isian budaya, identiti dan bagaimana kita boleh sumbang kepada pembinaan negara bangsa.

“Saya berbangga generasi muda kita berkumpul pada malam ini dan saya harap ia akan dapat mencerna masa depan yang lebih baik untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Media Sosial 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Jumaat malam.

Rais berkata meskipun ada pihak yang berpendapat kebangkitan media sosial membawa kesan negatif, namun katanya ia perlu dilihat dari aspek yang lebih positif di mana ia mencantumkan segala rangkaian komunikasi di kalangan rakyat negara ini.

Katanya media sosial juga mampu menjadi perubah dalam karakter masyarakat di samping aspek ketamadunannya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais berkata pengamal media sosial perlu memilih antara “menyakiti” orang lain menerusi tulisan mereka atau menulis secara serius untuk penambahbaikan orang lain.

“Kita mahu melihat Malaysia yang lebih baik menerusi nilai dan sistem yang positif dengan masyarakat pelbagai kaum dapat berinteraksi dengan semangat 1Malaysia,” katanya.

Pada majlis malam ini beliau turut menyampaikan anugerah pelbagai kategori blog termasuk http://paultan.org untuk Blog Auto Terbaik, www.hazrey.com (Blog Paling Vokal), www.ohbulan.com (Blog Hiburan Terbaik) dan http://founder.limkokwing.net/bog (Blog Paling Inivatif).

Anugerah tersebut diberikan sempena Minggu Media Sosial yang pemenangnya dipilih menerusi undian.

UTAMABERITAPengamal Media Sosial Jangan Hilang Identiti Malaysia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium