Pengaruh Besar Media Baharu Dalam #PRU13 - pakdin.my

najib_sosialmedia

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menyaksikan pertarungan sengit antara dua pemain utama politik negara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang dalam media sosial.

Trend terbaharu menunjukkan hampir semua parti dan calon yang bertanding membentangkan wadah sendiri menggunakan Internet melalui laman sesawang, blog, serta akaun media sosial seperti Facebook, Twitter atau YouTube.

Nama-nama besar daripada Barisan Nasional yang popular di laman sosial termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Bagi komponen PR pula, laman milik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul AM PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menjadi pilihan penyokongnya.

Ada juga parti dan calon yang mempunyai akaun dalam pelbagai jenis laman sosial agar dapat menyalurkan informasi dengan lebih efisyen sambil menggalakkan komunikasi dua hala dengan anggota masyarakat.

STATISTIK TINGGI

Laman pemantau penggunaan Internet, Internet World Stats () mencatatkan, sehingga Jun 2012, jumlah pengguna Internet di Malaysia dianggarkan 17,723,000 pengguna bersamaan dengan 60.7 peratus daripada jumlah populasi di negara ini.

Sementara itu, laman sesawang Asian Correspondent () melalui satu artikel menyatakan kadar penembusan Internet di negara ini bertambah sebanyak 300 peratus sejak PRU12 pada 2008.

Sewaktu artikel ini ditulis, jumlah pengguna aktif laman Facebook di Malaysia ialah seramai 13,354,900 iaitu yang ke-20 tertinggi di dunia manakala pengguna laman Twitter pula mencecah 1,128,000.

Berasaskan ini dipercayai kempen melalui Internet boleh memberi impak besar kepada parti dan calon-calon yang bertanding kerana informasi yang dikongsi boleh dicapai oleh pelbagai peringkat masyarakat.

NAJIB JAGUH LAMAN SOSIAL

Tinjauan umum Bernama mendapati Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional, mendahului senarai profil yang paling diminati di laman Facebook dan Twitter.

Laman pemantauan Internet Socialbakers (www.socialbakers.com ) merekodkan, laman Twitter milik Najib (@NajibRazak) mempunyai jumlah pengikut paling ramai di Malaysia dengan 1,510,127 pengikut dengan pertambahan lebih 100,312 pengikut baharu sejak sebulan yang lepas.

Akaun Twitter Najib turut menduduki tempat ke-11 jumlah pengikut tertinggi di dunia untuk kategori ahli politik. Hanya dua wakil Asia Tenggara berada dalam kelompok 20 teratas dunia iaitu Najib dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang berada di tangga ke-8 dengan 1,709,746 pengikut.

Mengekori Najib dalam senarai lima tertinggi kategori politik ialah Hishammudin (@HishammuddinH2O, 477,893 pengikut), Anwar(@anwaribrahim, 278,535 pengikut), Khairy (@Khairykj, 264,734 pengikut) dan Tony Pua (@tonypua, 59,090 pengikut).

Untuk laman Facebook, laman peminat Najib iaitu ‘Najib Razak’ disenaraikan di tangga kedua paling diminati dengan 1,633,812 ‘Like’, di belakang Tun Dr Mahathir yang mendahului dengan 2,085,034 peminat.

Nik Abdul Aziz berada di tempat ketiga dengan 917,785 peminat, manakala Dr Haron dan Anwar di tempat keempat dan kelima, masing-masing dengan 672,546 dan 582,839 pengikut.

FAKTOR POPULAR

Penganalilis politik, Professor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata kejayaan Najib sebagai ikon di laman sosial ialah kerana sentuhan peribadi beliau kepada masyarakat melalui medium itu.

“Sentuhan peribadi amat penting dalam dunia komunikasi. Kempen melalui Facebook, Twitter dan Instagram ialah satu pendekatan baharu yang memberi sentuhan peribadi bila rakyat dapat berkomunikasi secara terus dengan perdana menteri,” ulas Zainal.

Membandingkan penggunaan laman sosial dengan cara konvensional, Zainal berkata memang pentas konvensional dapat mendekatkan calon pilihan raya kepada pengundi, tetapi ia tidak dapat memberi tumpuan secara peribadi kepada mereka.

“Laman Facebook, Twitter dan Instagram contohnya, ialah ruang peribadi buat seseorang individu berkomunikasi secara terus dengan mereka di situ yang memberikan lebih kesan berbanding berkempen di atas (lori) kontena,”jelas Zainal.

Tambahnya, penggunaan media sosial memberikan impak besar terhadap pengundi muda memandangkan golongan itu merupakan pengguna terbesar medium ini.

“Ia sangat efektif dan berjaya. Bayangkan kalau kita dapat salam, ambil gambar, duduk bersebelahan atau minum kopi dengan PM pun dah seronok, inikan pula bila PM sendiri membalas soalan kita di laman sosial.

“Faktor inilah yang menarik hati golongan muda kepada BN seterusnya membuat mereka mengundi BN dalam pilihan raya kali ini,” jelas Zainal.

KELEMAHAN DIBAIKI

Zainal mengimbau ketika pilihan raya 2008, BN kehilangan beberapa kerusi kerana kelemahan menggunakan media alternatif.

Tersentak dengan hasilnya, kelemahan-kelemahan itu kini telah dibaiki jentera BN dan kini ia memainkan peranan penting dalam kempen BN.

Baru-baru ini, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali mendedahkan bahawa hasil kajiannya dari 2010 hingga Mac lalu menunjukkan BN akan mampu mendapatkan kembali majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat sekiranya tiada unsur sabotaj berlaku.

Menurutnya, faktor yang menentukan kemenangan BN kali ini ialah perubahan arah golongan belia kepada kerajaan hasil program transformasi yang dilaksanakan yang berjaya membantu golongan sasaran, terdiri daripada belia dan golongan miskin serta yang berpendapatan sederhana.

UTAMAPILIHAN RAYAPengaruh Besar Media Baharu Dalam #PRU13

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium