24.4 C
Kuala Lumpur
Friday, January 22, 2021

Pengerusi Eksekutif NFCorp Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Empat Pertuduhan

Pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.

Mohamad Salleh, 64, yang berpakaian kot warna hitam dan bertali leher hanya menganggukkan kepala tanda faham ketika kesemua pertuduhan dibacakan dan memohon dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa sebagai pengarah syarikat NFC melakukan pecah amanah menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium ‘One Menerung’ di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 Nov 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan salah seorang anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Untuk kedua-dua kesalahan ini beliau didakwa mengikut Seksyen 409 dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun hingga 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Sementara itu, bagi pertuduhan pertama dan kedua mengikut Akta Syarikat, Mohamad Salleh selaku pengarah NFC didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium tersebut.

Bagi kedua-dua kesalahan ini, Mohamad Salleh didakwa mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000.

Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili Mohamad Salleh meminta anak guamnya diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan sedia menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Badrul juga memberitahu mahkamah bahawa peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah akan bertindak sebagai peguam utama dan kini berada di luar negeri.

“Anak guam saya telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak pendakwaan sepanjang penyiasatan sejak timbulnya kes ini dan kini berada di mahkamah untuk membersihkan namanya,” kata Badrul.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad tidak membantah jaminan tersebut dan berkata beliau menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara mahkamah.

Hakim S.M. Komathy Suppiah berkata mahkamah telah mengambil kira keseriusan kes dan jumlah wang yang terlibat serta mahkamah tidak mahu dituduh memilih kasih dalam menetapkan jaminan.

“Kes-kes seperti ini sebelum ini telah ditetapkan jaminan yang tinggi walaupun di dalam kes ini (pihak pendakwaan) tidak membantah jaminan seperti mana dicadangkan oleh pihak pembelaan,” kata Komathy.

Beliau bagaimanapun kemudian menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, serta dokumen perjalanan Mohamad Salleh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 13 April depan.

Anak sulung tertuduh, Wan Shahinur Izmir, 32, telah membayar jaminan tersebut.

Turut hadir di mahkamah, isteri Mohamad Salleh iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan ahli keluarganya.

Badrul dibantu oleh Datuk Ahmad Redza Abdullah, sementara Dzulkifli dibantu oleh Timblan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.