Pengguna Perlu Biasakan Diri Berhadapan Situasi Harga Minyak Turun Naik - pakdin.my

petrol-tangki-penuh

Pengguna perlu membiasakan diri berhadapan situasi ‘turun naik’ harga minyak di negara ini memandangkan ia kini berasaskan kepada kaedah pengapungan terkawal, yang diperkenalkan kerajaan sejak Disember lepas bagi menentukan harga runcit bahan api secara bulanan.

Menerusi kaedah pengapungan terkawal, kerajaan mengikuti perkembangan harga produk pasaran berasaskan kos setiap masa, harga pasaran minyak dunia dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.
Langkah kerajaan menetapkan harga runcit petrol dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal itu adalah antara inisiatif merasionalisasi subsidi bahan api dan memastikan matlamat subsidi menepati sasaran untuk golongan yang berkelayakan.
Namun rakyat kelihatan masih keliru dengan regim kaedah pengapungan terkawal apabila ramai melahirkan rasa tidak puas hati dan menyalahkan kerajaan apabila harga bahan api naik pada 1 Mac.
BIJAK SESUAIKAN DIRI
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata tindakan segelintir masyarakat merungut dan menyalahkan kerajaan berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini menggambarkan ketidakmatangan mereka berhadapan situasi semasa harga minyak yang berubah-ubah.
“Harga minyak sekarang terikat pada pasaran terbuka dan itulah kaedahnya. Kita tidak boleh mengawal harga minyak dan perkara ini tidak seharusnya menjadi isu kerana pengguna perlu mendewasakan diri dan bukan hanya mengharap segala-galanya pada kerajaan.
“Sebagai pengguna kita perlu memahami dan berusaha menyesuaikan diri untuk berhadapan situasi begini (harga minyak turun naik). Kita telah terbiasa hidup dengan perlindungan (subsidi) kerajaan. Sebagai contoh, anak-anak (rakyat) yang dilindungi ibu bapa (kerajaan) tidak akan faham kepayahan yang dialami ibu bapa (melaksanakan pengapungan harga minyak) sebaliknya mereka hanya tahu merungut, itu sikap yang perlu diubah,” katanya.

 Pada 28 Feb lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan harga petrol dan diesel naik 25 sen seliter mulai 1 Mac dan menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97 RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter.

Kaedah pengapungan terkawal untuk penetapan harga runcit petrol RON95 dan diesel dikuatkuasakan pada 1 Dis tahun lepas manakala bagi harga runcit RON97 sejak Julai 2010. Sebelum ini, harga runcit produk petroleum ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) sejak 1983.
Berikutan pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal, pada 1 Dis harga runcit RON97 turun sembilan sen kepada RM2.46 seliter, RON95 turun empat sen kepada RM2.26 manakala diesel naik tiga sen kepada RM2.23 seliter.
Pada 1 Jan, harga runcit RON95 dan RON97 turun 35 sen, masing-masing kepada RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter manakala harga runcit bagi diesel diturunkan 30 sen kepada RM1.93 seliter.
Penurunan harga minyak turut berlaku pada 1 Feb dengan harga runcit RON95 diturunkan 21 sen kepada RM1.70 seliter, harga RON97 turun 11 sen kepada RM2 seliter manakala diesel turun 23 sen kepada RM1.70 seliter.
BETULKAN PERSEPSI
Mengulas lanjut, Nadzim berkata pengguna sewajarnya memperbetulkan persepsi mereka dan tidak semata-mata menyalahkan kerajaan apabila kenaikan harga minyak dan barang berlaku.
Selain perlu bijak menyesuaikan diri berhadapan keadaan harga minyak berubah-ubah, pengguna perlu produktif dalam menghasilkan sesuatu yang boleh memberi keuntungan serta menjana pendapatan mereka.
“Sebagai contoh apabila harga minyak naik kita perlu bijak merancang perjalanan sebagai contoh kurangkan berjalan (melancong), serta kurangkan berbelanja pada perkara yang tidak perlu supaya tidak membazir.
“Di samping itu, jika kita sedar pendapatan kita sedikit (tidak banyak seperti orang lain) kita perlu menjadi produktif supaya kita juga boleh menjana hasil dan tidaklah terlalu terkesan dengan kenaikan harga minyak,” katanya.
KESAN SEGERA
Mengulas isu sama, pensyarah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad berkata terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada rasa kurang senang rakyat apabila berlaku kenaikan harga minyak, meskipun mengetahui ia mengikut kaedah pengapungan terkawal.
“Pertama, apabila berlaku penurunan harga minyak seperti sebelum ini, ia tidak memberi kesan segera kepada penurunan harga barang. Perlu diingat bahawa perbelajaan utama rakyat golongan pendapatan sederhana dan rendah ialah makanan, sewa, pengangkutan dan utiliti.
“Justeru, meskipun berlaku penurunan harga minyak namun kos untuk perbelanjaan utama masih tidak berubah kerana ada bahan input yang mungkin merupakan barangan import dan berhubung kait dengan tukaran wang asing. Ini pastinya menimbulkan rasa kurang senang pengguna,” katanya.
Beliau berkata faktor kedua pula berkait rapat dengan kuasa membeli pengguna. Jika kuasa pembeli lemah (kebiasaannya golongan sederhana dan rendah), maka penurunan harga minyak tidak memberi kesan besar kepada mereka.
PERSEDIAAN PENGGUNA
Apakah langkah terbaik bagi memastikan pengguna sentiasa bersedia berhadapan situasi turun naik harga minyak?
Menjawab persoalan itu, Mohamad Hanapi berkata penyebaran maklumat secara berterusan kepada rakyat perlu dilakukan, selain ditambah baik dengan pengetahuan tentang harga minyak dan hubungannya dengan kos belanjawan individu, isi rumah serta pembangunan negara.
“Kerajaan juga boleh mengadakan ‘dual system’ iaitu kaedah apungan dan ‘locked up price’ (harga ditetapkan). Ini bermaksud, di samping meneruskan sistem apungan ini, untuk pengguna wajar diadakan ‘locked up price’.
“Sebagai contoh, kerajaan mengenakan harga RON95 pada kadar RM2.00 apabila harga minyak mentah berada pada paras US$55 ke US$58 dan RM2.30 apabila harga meningkat ke paras US$58 hingga US$60 dan begitulah seterusnya (jika US$ rendah, harga minyak juga turun),” katanya yang berpendapat kerajaan juga boleh menetapkan harga yang lebih kompetitif untuk pengilang dan syarikat pengangkutan.
Mohamad Hanapi berkata ‘locked up price’ memberi kepastian kepada pengguna dan keyakinan kepada iklim perniagaan. Kerajaan boleh mengadakan harga terendah seperti RM1.50 untuk RON95 atau lebih rendah apabila harga minyak mentah turun ke paras US$50.00 setong atau lebih rendah.
Mengulas lanjut, beliau berkata minyak atau bahan bakar adalah input utama dalam penghasilan produk atau barangan dan sekiranya hubungan kos input tersebut sangat anjal, sedikit kenaikan pada kosnya akan turut memberi kesan kepada keseluruhan kos lain termasuklah kenaikan harga barang.
“Jika harga barang naik dan tidak dikawal sudah pasti kerajaan akan dipersalahkan,” katanya.
PENGAPUNGAN TERKAWAL
Mengenai kesan kaedah pengapungan terkawal kepada pengilang dan pengusaha minyak, beliau berkata kaedah tersebut memberi situasi tidak menentu kepada golongan berkenaan.
“Pengilang kecil tidak berupaya membeli stok lebih apabila harga minyak turun kerana ia melibatkan kos dan ruang penyimpanan manakala pengilang besar perlu mengadakan strategi pelaburan untuk membeli stok minyak dalam kuantiti besar di mana ia juga melibatkan kos, ruang penyimpanan dan pelaburan.
“Pengilang dan pengusaha memerlukan kemahiran dan pengetahuan baharu kerana keadaan harga minyak yang berubah-ubah menimbulkan ketidakpastian mereka,” katanya.

UTAMAEKONOMIPengguna Perlu Biasakan Diri Berhadapan Situasi Harga Minyak Turun Naik

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium