Penjawat awam ditahan mengintai wanita dalam tandas - pakdin.my

Sungai Petani: Penjawat awam ditahan polis kerana disyaki mengintai wanita dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Cinta Sayang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan jam 5.20 petang hari ini ketika datang ke balai polis untuk membuat penafian berhubung laporan dibuat wanita berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun keterangan diberikan suspek agak meragukan dan dia ditahan untuk membantu siasatan.

“Suspek tidak mengaku mengintai seperti yang didakwa pengadu tetapi mendakwa masuk ke tandas wanita kerana sakit perut kononnya tandas lelaki berkunci.

“Siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Adzli berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pengadu iaitu wanita berusia 34 tahun berada dalam tandas dan terdengar ketukan pintu yang kuat.

Katanya, pengadu bertanya kepada anaknya yang berusia empat tahun dan anaknya memberitahu ada orang masuk dalam tandas.

“Kemudian pengadu ternampak tapak tangan dan mata di bawah ruang pintu tandas pengadu.

“Pengadu keluar dari tandas dan ternampak lelaki keluar dari tandas bersebelahan. Pengadu bertanya kepada lelaki itu sama ada dia mengintai tetapi lelaki terbabit menafikannya,” katanya.

Adzli berkata, pengadu kemudian memaklumkan kepada pihak stesen minyak dan membuat laporan polis selepas itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“Suspek akan direman esok,” katanya.

UTAMABERITAPenjawat awam ditahan mengintai wanita dalam tandas

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium