Penjelasan ISMA Berkaitan Kes Saman Marina Mahathir - pakdin.my

marina-mahathir

1. Pihak ISMA telah menolak mentah-mentah permohonan maaf yang dituntut oleh Marina sejak awal proses mediasi yang diatur oleh mahkamah. Ini kerana ISMA konsisten, sedari awal, tidak setuju dengan tuduhan Marina dalam samannya bahawa ISMA telah menfitnahnya.

Sehubungan itu, deraf awal yang disediakan oleh peguam Marina (seperti Lampiran 1 di bawah) telah dipinda hampir keseluruhannya, antara lain dengan menggugurkan perkataan “PERMOHONAN MAAF” pada tajuk deraf tersebut, serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Hal ini selari dengan hujah balas daripada pihak ISMA dalam menjawab saman fitnah Marina jika perbicaraan diadakan.

2. ISMA hanya menyatakan kekesalan (seperti Lampiran 2) sekiranya artikel dan risalah berkenaan (secara tidak langsung dan tanpa niat telah):

a. Menyebabkan kepayahan dan kesan buruk
b. Memberikan gambaran yang salah berkenaan Marina

3. Marina juga menuntut daripada ISMA dalam mediasi ini agar menanggung kos guamannya. Perkara ini telah ditolak oleh pihak ISMA mentah-mentah juga kerana pihak ISMA tiada melakukan sebarang kesalahan.

4. Kita telah menjangkakan laporan media yang berat sebelah, memandangkan mereka sedari awal telah mengerumuni Marina dan tidak sepatah pun kenyataan diambil daripada ISMA. Situasi ini amat mudah difahami bahawa sentimen media akan memihak kepada Marina. Tambahan pula deraf awal yang disediakan peguam Marina (Lampiran 1) telah diedar kepada wartawan lebih awal sebelum sesi mediasi bermula.

Tidak dapat dipastikan apakah faktor sebenar yang menyebabkan laporan media begitu memihak kepada Marina, adakah kerana sentimen? Atau kerana gopoh? Atau masalah wartawan yang gagal memahami terma persetujuan dengan baik.

5. Kegagalan pihak wartawan melaporkan berita sebenar dan menyampaikan fakta yang betul adalah amat dikesali dan dikira suatu tindakan yang tidak beretika.

Ketua Penerangan ISMA

__________________________________________________
LAMPIRAN 1 (deraf awal yang telah sampai ke tangan wartawan sebelum sesi mediasi)

PERMOHONAN MAAF UNTUK DIBACAKAN OLEH WAKIL ISMA DI DALAM MAHKAMAH TERBUKA DAN DITERBITKAN DI DALAM WEB ISMA

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mohon Maaf Kepada Datin Paduka Marina Mahathir

1. Pada 8/11/2013, kami Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menerbitkan satu artikel bertajuk “ISMA edar 70,000 risalah dedah dalang COMANGO”(“Artikel”) di dalam laman web ISMA http://www.ismaweb.net dan dihubungkait dengan pautan laman web ISMA Facebook di hyperlink http://www.facebook.com/isma.malaysia yang menyatakan ISMA telah mengedarkan 70,000 helai risalah yang menuduh Datin Paduka Marina Mahathir sebagai “Dalang COMANGO” (“Risalah”) di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang, Bandar Baru Pelangi, Bandar Baru Bangi, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu.

2. Melalui Artikel dan Risalah tersebut kami telah membuat dakwaan yang tidak benar terhadap Datin Paduka Marina Mahathir seperti berikut:

a. bahawa beliau adalah dalang di sebalik COMANGO, sedangkan hal ini adalah tidak benar sama sekali;

b. bahawa beliau adalah tokoh Sister in Islam (SIS) di dalam COMANGO yang liberal dan anti-Islam di Malaysia, sedangkan ini adalah tidak benar kerana beliau tidak mempunyai keanggotaan langsung di dalam COMANGO;

c. bahawa beliau adalah tokoh liberal yang membuat tuntutan melalui laporan COMANGO untuk menghalalkan seks songsang bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam, menuntut kebebasan untuk mengamalkan ajaran sesat Syiah, penghapusan hak Melayu dan apa saja yang menyentuh keutuhan agama Islam dan kedaulatan perlembagaan, sedangkan hal ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau tidak terlibat dalam menyiapkan laporan COMANGO yang merupakan laporan tahunan hak asasi manusia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

d. bahawa sebagai dalang, beliau mempunyai watak yang meragukan yang bersembunyi di sebalik pihak lain, sedangkan beliau mempunyai watak yang sentiasa telus dalam apa jua bidang yang diperjuangkannya;

e. bahawa beliau adalah anti-Islam dan anti-Melayu, sedangkan ini adalah fitnah yang jahat kerana beliau adalah seorang Melayu beragama Islam;

f. bahawa beliau menggugat keutuhan agama islam dan kedaulatan Perlembagaan, sedangkan beliau adalah pejuang hak keagamaan, keluruhan undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan;

g. bahawa sebagai dalang COMANGO beliau tidak mempunyai intergiti atau mempunyai nilai moral yang rendah, sedangkan ini tidak benar sama sekali kerana beliau adalah pemimpin masyarakat yang memperjuangkan intergriti, ketelusan dan kepimpinan bermoral;

h. bahawa sebagai dalang COMANGO beliau tidak mempunyai pegangan agama, sedangkan beliau dididik, dibesarkan dan mengamalkan hidup sebagai seorang Melayu beragama Islam; dan

i. bahawa sebagai dalang COMANGO beliau tidak betanggungjawab dan adalah melulu di dalam tindakannya, sedangkan tindakan beliau sebagai pemimpin masyarakat adalah sentiasa berhemah, berwaspada, bersusilah dan sentiasa mengambil kira masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama Negara Malaysia.

3. Kami menyesali perbuatan kami itu dan menyedari akan kesan buruk yang telah berlaku kepada Datin Paduka Marina Mahathir di mana Artikel dan Risalah tersebut yang dikarang dan disiarkan itu bersifat sensasi dan publisiti yang telah melampaui batasan kami sebagai NGO yang berusaha untuk menetang laporan COMANGO sehingga memberika gambaran yang salah kepada Datin Paduka Marina Mahathir sabagai seorang dalang yang anti Melayu, anti Islam dan mengamalkan gaya hidup bebas.

4. Kami, dengan sepenuh hati dan setulus ikhlas kini insaf dan memohon maaf yang tidak berbelah bahagi kepada Datin Paduka Marina Mahathir kerana kesusahan dan aib yang telah kami lakukan kepadanya dan berjanji untuk tidak lagi mengulangi perbuatan kami yang menyusahkan Datin Paduka Marina Mahathir.

__________________________________________________
LAMPIRAN 2 (deraf final)

1. Pada 8.11.2013, Media ISMA Sdn Bhd, telah menerbitkan satu artikel bertajuk “ISMA edar 70 ribu risalah dedah dalang COMANGO” (“Artikel”) di dalam laman web http://www.ismaweb.net dan dihubungkait dengan pautan laman web Facebook di hyperlink https://www.facebook.com/isma.malaysia yang menyatakan ISMA telah mengedarkan 70,000 helai risalah yang menggambarkan Datin Paduka Marina Mahathie sebagai “Dalang COMANGO” (“Risalah”) di amsjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang, Bandar Baru Pelangi, Bandar Baru Bangi, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu.

2. Artikel dan Risalah tersebut memberikan gambaran berkenaan Datin Paduka Marina Mahathir seperti berikut:

(a) bahawa beliau adalah dalang di sebalik COMANGO; dan

(b) bahawa beliau adalah tokoh Sisters in Islam (SIS) yang liberal dan anti-Islam di Malaysia yang mebuat tuntutan untuk menghalalkan seks songsang bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam, menuntut kebebasan untuk mengamalkan ajaran sesat Syiah, penghapusan hak Melayu dan apa saja yang menyentuh keutuhan agama Islam dan kedaulatan perlembagaan.

3. Kami menyedari kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat yang memperjuangkan isu-isu semasa di dalam negara dan di luar negara dengan telus dan disegani ramai.

4. Artikel dan risalah tersebut tidak bermaksud untuk memberikan gambaran buruk berkenaan Datin Paduka Marina Mahathir seperti yang dinyatakan di bawah perenggan 2(a) dan 2(b) di atas.

5. Kami menyatakan kekesalan sekiranya Artikel dan Risalah tersebut telah menyebabkan kepayahan dan kesan buruk kepada Datin Paduka Marina Mahathir dan memberikan gambaran yang salah berkenaan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai seorang dalang yang liberal dan anti-Islam.

UTAMABERITAPenjelasan ISMA Berkaitan Kes Saman Marina Mahathir

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium