1MDB: Penjelasan Lanjut Mengenai Penjualan Ekuiti Bandar Malaysia - pakdin.my

Kenyataan Media oleh 1MDB

Diterbitkan pada 6 Januari 2016
Untuk terbitan segera
Penjelasan Lanjut Mengenai Penjualan Ekuiti Bandar Malaysia

1mdb-bandar-malaysia

Pihak 1MDB sedia maklum terdapatnya persoalan serta kebimbangan yang telah disuarakan oleh beberapa pihak berkenaan kenyataan terbaru 1MDB, penjualan ekuiti projek Bandar Malaysia sebanyak 60% kepada pihak konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holding (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC).

Dengan penjelasan lengkap seperti yang berikut, pihak kami berharap ianya akan membetulkan segala salah faham serta tohmahan yang mengelirukan dari pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

1. Jualan Bandar Malaysia – Cadangan Struktur Kontrak Semasa

Hartanah di Sg Besi kini dimiliki oleh TRX City Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd) dan Bandar Malaysia Sdn Bhd. TRX City Sdn Bhd memiliki 4 (empat) plot dan Bandar Malaysia Sdn Bhd memiliki 12 (dua belas) plot yang secara kolektifnya menyamai keluasan projek. Kedua-dua syarikat tersebut dimiliki 100% oleh 1MDB.

Cadangan struktur kontrak semasa, adalah pembentukkan New SPV 1 yang secara langsung akan membeli tanah itu (atau pembelian secara tidak langsung, contohnya melalui New SPV 2 atau melalui pembelian ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd). New SPV 1 akan memiliki kesemua 16 plot tanah di Sg Besi dan membangunkan projek Bandar Malaysia.

New SPV 1 akan dimiliki oleh 1MDB atau Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)sebanyak 40%  dan baki 60% lagi oleh Konsortium IWH-CREC.

Pegangan saham antara pihak Konsortium adalah sebanyak 40% oleh CREC manakala sebanyak 60% oleh IWH.

Pegangan saham IWH pula terdiri daripada sebanyak  40% oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ – Kerajaan Negeri Johor) dan 60% dimiliki oleh  ‘Credence Resources’ (Tan Sri Dato ‘Lim Kang Hoo).

Jadi, memandangkan pegangan saham di atas terdiri daripada pelbagai pihak, pemilikan New SPV1 muktamad boleh digambarkan dengan cara yang berikut:

A. 40% 1MDB atau MOF Inc (sekiranya saham dipindahkan), 36% IWH dan 24% CREC. Pemilikan utama projek adalah 76% dimiliki oleh Malaysia dan sebanyak 24% oleh China.

ATAU:

B. 40% 1MDB atau MOF Inc (sekiranya saham dipindahkan), 22% Credence Resources, 14% KPRJ dan 24% CREC. Oleh itu, pemilikan utama projek adalah sebanyak 54% dimiliki oleh kerajaan dan 46% dimiliki oleh sektor swasta (Kerajaan: Persekutuan memiliki 40% melalui 1MDB / MOF Inc dan Negeri sebanyak 14% melalui KPRJ. Sektor Swasta: 22% oleh ‘Credence Resources’ dan 24% oleh CREC).

2. Perbezaan nilai yang diumumkan sebanyak RM7.41 bilion (1MDB) vs RM5.3 bilion (CREC)

Pada dasarnya, 1MDB menjual tanah yang dimiliki oleh pihak kami. Walau bagaimanapun, terdapat dua liabiliti yang secara tidak langsung dikaitkan dengan tanah tersebut:

A.    Baki kos untuk melengkapkan pemindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur (Penempatan Semula PUKL)

-Kontrak penempatan semula dan perjanjian pembangunan telah dilaksanakan antara 1MDB dan Kerajaan Malaysia dengan kontrak bernilai kira-kira RM2.7 bilion. Kos ini termasuk, antara lain, kos pengambilan tanah baru, kos pembinaan, kos peralatan dan kos penempatan semula.

-Seterusnya, 1MDB telah menandatangani kontrak melalui 1MDB Real Estate Sdn Bhd (kini dinamakan TRX City Sdn Bhd) untuk proses pembinaan Penempatan Semula PUKL. TRX City Sdn Bhd pula, menandatangani kontrak bersama Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM, yang merupakan 100% anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera) sebagai kontraktor ‘Turn Key’ untuk proses pembinaan Penempatan Semula PUKL.

-PPHM seterusnya melantik 50 kontraktor Bumiputra yang layak sebagai sub-kontraktor untuk pelbagai aspek dalam proses pembinaan berkenaan. Baki kos pembinaan serta lain-lain kos bagi Penempatan Semula PUKL kini dianggarkan mencecah RM1.9 bilion.

-Adalah penting bagi pihak kami menyatakan bahawa PPHM akan kekal sebagai sebagai kontraktor ‘Turn Key’ , begitu juga dengan 50 sub-kontraktor Bumiputra yang akan terus kekal sebagai kontraktor bagi melaksanakan peranan mereka dalam projek ini tanpa mengira struktur perjanjian kontrak akhir.

-Kontraktor-kontraktor ini telah diluluskan oleh pihak berkuasa dan diselia oleh pegawai-pegawai yang dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu, proses pembinaan ini akan diteruskan dan tidak timbul persoalan mengenai impaknya kepada keselamatan Negara  menerusi penjualan kepentingannya sebanyak 60% oleh 1MDB.

B. Sukuk Bandar Malaysia – hutang ditanggung oleh Bandar Malaysia Sdn. Bhd. (Nilai nominal RM2.4 bilion pada tempoh matang dengan nilai terkumpul kira-kira RM1.63 bilion pada 31 Disember 2015)

3. Penentuan Nilai Pembelian Akhir

Untuk menentukan nilai akhir pembelian yang akan diterima oleh 1MDB, pertamanya, seperti yang telah dipersetujui dalam Jualan Saham dan Perjanjian Pembelian (SSA) yang dimeterai antara 1MDB dan Konsortium, adalah 100% daripada nilai tanah itu = RM12.35 bilion.

-Bagi saham sebanyak 60%, Konsortium telah bersetuju untuk membayar RM7.41 bilion (Harga Belian), yang mana deposit sebanyak 10% daripada RM741 juta akan dibayar apabila pelaksanaan SSA dijalankan.

-Walaupun perancangan oleh 1MDB dan Konsortium untuk memindahkan baki kos pembinaan Penempatan Semula PUKL dan hutang Sukuk kepada New SPV 1 ( 40% dimiliki oleh 1MDB / MOF Inc dan sebanyak 60% oleh Konsortium), pemindahan itu memerlukan:

a) kata putus dan perjanjian antara pihak-pihak yang terlibat dengan kos akhir Penempatan Semula PUKL dan Sukuk dan;

b) persetujuaan yang sepakat, termasuk daripada Kerajaan Malaysia, kontraktor (PPHM) dan pelabur sukuk.

-Apabila 1MDB dan Konsortium bersetuju mengenai kos dan proses pengurusan tersebut, maka Konsortium akan membayar bahagian 60% daripada kos dan Harga Belian akan diselaraskan dengan sewajarnya, iaitu RM12.35 bilion Nilai Tanah – RM1.9 bilion Kos Penempatan Semula PUKL  – RM1.63 bilion Sukuk = RM8.8 bilion yang mana sebanyak 60% bahagian konsortium ialah RM5.3 bilion.

-Walau bagaimanapun, jika tiada persetujuan mengenai kos diperolehi, maka Belian sebanyak RM7.41 bilion akan dibayar sepenuhnya kepada 1MDB, yang masih bertanggungjawab terhadap segala kos.

-Dalam senario sama seperti di atas, Harga Belian RM7.41 bilion kepada 1MDB tidak berubah, satu-satunya perbezaan adalah sama ada 1MDB menerima jumlah sepenuhnya, kemudian perlu menanggung kos ATAU sama ada Konsortium membayar bahagian mereka  daripada jumlah kos dan baki RM5.3 bilion kepada 1MDB.

4. Projek  High Speed Rail

Walaupun Kerajaan Malaysia merancang menjadikan kawasan Bandar Malaysia sebagai perhentian untuk projek KL – Singapura High Speed Rail (HSR), penjualan ekuiti dalam projek Bandar Malaysia tidak langsung berkaitan dengan projek HSR, dan tiada juga sebarang perjanjian oleh 1MDB atau Kerajaan Malaysia yang mempunyai kaitan dengan projek tersebut. 1MDB dan Konsortium mengesahkan bahawa HSR adalah satu projek lain, yang mana penganugerahannya akan ditentukan bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura, satu proses yang berasingan, iaitu tidak akan kaitan dalam apa-apa cara, dengan penjualan ekuiti 1MDB dalam projek Bandar Malaysia.

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB: Penjelasan Lanjut Mengenai Penjualan Ekuiti Bandar Malaysia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium