Penstrukturan air Azmin lebih mahal dari Khalid #pakdin.my

Menteri Besar perlu membentangkan sepenuhnya pecahan jumlah RM9.65 bilion yang digunakan untuk pengambilalihan atau penstrukturan air Selangor.

azmin khalid
Pelan Penstrukturan air yang dirombak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali lebih mahal berbanding dengan yang dibuat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kenyataannya mempersoalkan jumlahnya yang mencecah RM9.65 bilion, sedangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan, ia hanya melibatkan kos RM2 bilion.

Pegasasnya, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard membangkitkan persoalan ke mana perginya RM7.65 bilion.

“Azmin perlu menjelaskan ini, jika tidak ia tidak dapat mengelakkan persepsi ada ‘kick back’ dalam urus niaga ini.

“Kegusaran rakyat lebih lagi apabila Kerajaan Selangor melupakan janji di mana rakyat Selangor boleh memiliki saham syarikat air tetapi kini janji itu telah bertukar kepada kemungkinan kenaikan tarif tidak dapat dielak dan kemungkinan tiada lagi skim air percuma,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu lain, Chegubard berkata kewujudan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang merupakan sebuah syarikat baru di luar Menteri Besar Incoperated (MBI) bukan sahaja mengundang kritikan daripada pembangkang tetapi sekutu parti itu sendiri iaitu, Pas dan DAP.

“Diteliti dari daftar Syarikat, DEIG diterajui oleh dua orang yang terlibat di dalam MBI, maka ini makin pelik kenapa orang yang sama di dalam MBI membuka sebuah syarikat lain untuk menguruskan pelaburan Selangor.

“Dua kemungkinan wujud ialah Azmin ingin mewujudkan sebuah entiti perniagaan tanpa audit langsung dari kerajaan negeri untuk mudah melakukan ‘sesuatu’ atau dia bersikap paranoid melampau dan mahu dilihat berbeza dengan Menteri Besar sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, jika hanya untuk melihat kedua-dua syarikat itu berbeza, Azmin membazirkan wang rakyat dengan membuka satu lagi syarikat dan ia merupakan satu kebiadapan selaku pemimpin.

“Kenyataan Azmin menyalahkan konon serangan ini ada pihak luar yang arah tidak ubah seperti perangai pemimpin UMNO, BN. Mengelak dengan menyalahkan orang lain. Ia cukup berbunyi seperti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” tegasnya.

Berkaitan