Pensyarah hina nabi, al-Quran dihukum mati

Seorang pensyarah di Pakistan semalam dijatuhi hukuman mati selepas disabit bersalah menghina agama Islam di bawah kes perbicaraan berlangsung dalam tempoh yang panjang di negara itu.

Profesor Junaid Hafeez yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Universiti Bahauddin Zakariya di bandar Multan dituduh melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan al-Quran secara lisan serta di Facebook pada 2013.

Difahamkan, perbicaraan ke atasnya telah beberapa kali terpaksa ditangguhkan selepas berdepan pelbagai isu termasuk pemindahan hakim.

Sejak 2014, Hafeez ditempatkan dalam kurungan bersendirian atas faktor keselamatan susulan insiden peguamnya, Rashid Rehman dibunuh.

Kejadian itu berlaku selepas Rehman diugut oleh pihak yang terlibat dalam pendakwaan itu.

Susulan insiden tersebut, perbicaraan itu telah diadakan di penjara dengan kawalan keselamatan tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam satu kenyataan, peguamnya memaklumkan profesor terbabit akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Lahore. – Agensi

Berkaitan