Penternak ikan tambat sangkar pada pokok elak dibawa arus sungai #pakdin.my

KUALA KRAI — Penternak ikan sangkar di Sungai Kelantan Kampung Batu Lada, di sini, Rohaimin Yusoff terpaksa menambat 35 sangkarnya dengan menggunakan tali yang diikat pada pokok sebagai persediaan awal dan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan dibawa arus deras air sungai.

Katanya, berikutan paras air sungai yang semakin meningkat, inisiatif itu dilakukan bagi memastikan hampir 100,000 ikan yang diternak tidak mati dan sangkarnya rosak akibat rempuhan kayu balak yang hanyut di dalam sungai.

“Pada musim hujan ini banyak kayu balak akan hanyut dibawa arus deras sungai, jadi saya bersama dua pekerja terpaksa mengikat sangkar bagi mengelakkan rempuhan di jaring yang boleh menyebabkan berlaku kerosakan dan ikan terlepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaimin, 49, berkata usaha yang dilakukan itu juga adalah untuk memastikan beliau tidak mengalami kerugian besar kerana ikan ternakannya mendapat permintaan tinggi dan dijual di sekitar Kuala Krai.

“Semasa air naik, kedudukan tali yang diikat adalah sama dengan paras tebing, namun apabila air sedikit surut kami terpaksa mengendurkan tali bagi memastikan sangkar tidak terapung yang boleh mengakibatkan ikan terlepas.

“Disebabkan ikan di dalam sangkar ini terlalu banyak, 18 sangkar ditambat pada sebatang pokok manakala 17 sangkar lagi ditambat pada pokok yang lain supaya tidak memberi beban kepada tali yang diikat,” katanya yang mengusahakan ternakan ikan sangkar sejak Januari lepas.

Sementara itu, seorang daripada pekerja sangkar ternakan ikan itu, Sukri Hassan, 37, berkata antara risiko lain yang dihadapi apabila hujan berterusan adalah ikan mudah mati kerana air sungai yang keruh.

“Apabila musim hujan, saya akan berjaga pada waktu malam kerana akan memantau keadaan sangkar untuk memastikan ia dalam keadaan selamat kerana kami mempunyai pelbagai jenis ikan ternakan seperti keli, patin, baung, lampam dan tilapia,” katanya.

Berkaitan