Penuntut Upsi, Abdul Azim Mohd Nasri reda hidup tanpa limpa - pakdin.my

×

HULU BERNAM – Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), terpaksa hidup tanpa limpa setelah doktor mengesahkannya rosak akibat tikaman dua penjenayah dalam insiden samun, 25 September lalu.

Pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Abdul Azim Mohd Nasri, 26, tetap tabah dan menganggap hidup tanpa limpa itu dugaan ALLAH SWT.

“Saya reda ketentuan ALLAH SWT,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar di Wad 9, Hospital Slim River (HSR), semalam.

Menceritakan detik kejadian, Abdul Azim yang juga mantan Yang Dipertua Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam ketika dia menunggang motosikal pulang ke kolej kediaman selepas solat dan selepas kuliah Isyak di Masjid Tanjung Malim, Perak.

“Setiba di susur masuk Bandar Proton, seorang lelaki berkulit gelap menahan motosikal dan berpura-pura meminta pertolongan.

“Ketika menghampiri lelaki itu, seorang lagi rakan jenayahnya datang dari belakang meletakkan pisau pada leher sambil mengarahkan saya serah wang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika cuba melepaskan diri, suspek meluru menikam kiri perutnya manakala rakannya mengilas tangannya ke belakang sebelum ditikam dua kali.

“Akibat tikaman itu saya rebah tepi jalan dan keadaan gelap menyebabkan saya gagal mendapatkan pertolongan dan sedaya upaya menunggang motosikal kira-kira 400 meter dengan keadaan berlumuran darah sebelum dibawa orang awam ke hospital.

“Saya menjalani pembedahan tiga jam disebabkan kejadian itu, namun doktor tidak dapat menyelamatkan limpa dan terpaksa membuangnya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Idris berkata, beliau kagum niat murni Abdul Azim kerana cuba membantu seseorang dalam kesusahan, namun dikhianati apabila dia diperlakukan seperti itu.

“Saya lihat keadaannya beransur pulih dan saya yakin Abdul Azim kuat dan tabah walaupun terpaksa hidup tanpa limpa,” katanya.

UTAMABERITAPenuntut Upsi, Abdul Azim Mohd Nasri reda hidup tanpa limpa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium