Penyenaraian FGVH Antara Transformasi Berterusan Felda - pakdin.my

Peneroka mengikuti perkembangan semasa perniagaan saham Felda Global Ventures di kedai kopi Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Alor Gajah, Malacca.

Tawaran awam awal (IPO) Felda Global Ventures Holding (FGVH) pada 28 Jun adalah satu lagi detik perubahan penting dalam proses transformasi berterusan agensi itu.

IPO yang diuar-uarkan sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook (FB.O) di Amerika Syarikat, menjadi bukti jelas bahawa Felda terus menggorak langkah ke hadapan dengan beralih kepada satu modal perniagaan baru selaras dengan tuntutan semasa.

Model perniagaan Felda sebelum ini iaitu membuka skim tanah baru untuk memperluaskan pegangannya yang terbukti berjaya sejak 50 tahun yang lepas tidak lagi sesuai memandangkan tanah untuk kegunaan pertanian semakin terhad.

Oleh itu, Felda mencari jalan bagi menambah nilai kepada tanah yang diusahakan peneroka dan memastikan para peneroka dan generasi berikutnya terus menikmati peningkatan dalam nilai pegangan mereka.

Penyenaraian ini juga akan menjadikan generasi kedua Felda untuk lebih berdaya saing dan bukan hanya bergantung kepada pendapatan perladangan malahan melalui aktiviti pertengahan dan hiliran.

PENYENARAIAN TINGKAT DAYA SAING

Timbalan Pengurus Besar Felda bagi Pembangunan Komuniti, Faizoull Ahmad berkata penyenaraian FGVH juga menunjukkan transformasi Felda selaras dengan transformati nasional ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Visi kita jelas untuk 10 atau 20 tahun akan datang. Dengan tersenarainya Felda, pelabur-pelabur tempatan seperti Tabung Haji, PNB, KWSP serta pelabur asing dapat melabur dan keuntungannya nanti bukan sahaja bakal dinikmati oleh warga Felda tetapi juga seluruh masyarakat Malaysia.

“Kita melihat dua bahagian dalam tranformasi ini iaitu pembangunan sosial dan ekonomi yang kita mulakan sejak 2010 bagi memastikan Felda memacu secara seimbang,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

AKTVITI TRANSFORMASI TELAH LAMA BERMULA

Orangramai bertumpu ke kaunter Penyenaraian FGVH di Papan Utama Bursa Malaysia Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur.

Selain daripada penyenaraian FGVH, pelbagai program transformasi dilaksanakan untuk memperkasa masa depan 112,635 peneroka dan generasi seterusnya.

Antaranya adalah membangunkan kawasan-kawasan Felda sebagai pusat-pusat pertumbuhan dengan Felda Tenggaroh di timur Johor, dipilih sebagai perintis dalam melihat keberkesanan rangka tindakan pembangunan luar bandar.

Rangka tindakan ini merangkumi pembangunan bersepadu, yang meliputi aktiviti pertanian, pelancongan dan keusahawanan, di sembilan buah Felda dalam gugusan Tenggaroh.

Faizoull berkata Felda Tenggaroh dipilih kerana kedudukannya yang jauh dari pusat pembangunan dan bandar besar, yang membawa cabaran tersendiri dalam membangunkan kawasan itu.

Selain itu, Felda Tenggaroh dengan 5,000 peneroka dan 11,000 hektar tanah dilihat mempunyai nilai komersial tambahan khasnya dari segi pelancongan kerana ia menjadi pintu masuk pelancong ke Pulau Sibu.

“Projek perintis ini telah bermula enam bulan lepas. Kaedah yang sama akan dilaksanakan di skim-skim Felda seluruh negara berdasarkan kepada potensi tempat itu dibangunkan di setiap kawasan.

“Matlamat akhirnya, Felda mahu kawasan tanah rancangan ini muncul sebagai tempat penjanaan ekonomi luar bandar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sepertimana yang dinikmati di kawasan bandar,” katanya.

ANJAKAN MINDA

Dalam mencapai matlmat ini, Felda juga mahu melahirkan generasi baru yang bijak pandai dengan menyediakan mereka kemahiran dan teknologi tinggi selain menerapkan anjakan minda kepada mereka.

Perubahan telah mula dilihat apabila peneroka semakin mahir mendapatkan produk-produk kewangan daripada Agro Bank selain mula bercerita tentang pelaburan dalam aktiviti komersial.

“Contohnya, Felda membeli sawit bernilai RM300-320 juta setiap bulan. Cuba bayangkan, kita mempunyai 317 skim rancangan Felda, sekiranya setiap skim menyumbang RM1 juta sebulan?” tanya beliau.

“Dengan merancakkan kegiatan mikro-ekonomi, kawasan luar bandar ini boleh dijadikan lebih baik daripada kawasan bandar dan inilah tranformasi yang sedang kita jalankan,” katanya.

Pelbagai usaha juga diambil untuk mendedahkan warga Felda ke dunia luar, antaranya membangunkan jalur lebar di kawasan Felda bagi membolehkan peneroka berhubung dengan rakan tempatan dan asing untuk memasarkan produk masing-masing.

Beliau juga menunjukkan yang Felda tidak boleh melaksanakan sistem yang telah digunakan 50 tahun dahulu untuk membasmi kemiskinan bagi 50 tahun akan datang. Mesti ada anjakan paradigma dan ini yang perlu difahami oleh warga Felda.

Kerana itu, katanya, Felda kini mempunyai visi yang berbeza bagi meningkatkan pengeluaran aset perladangan di 360 hektar tanah yang dimiliki bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka.

PENDIDIKAN TERAS PEMBANGUNAN FELDA

Tranformasi yang dijalankan tidak akan berjaya sekiranya warga peneroka sendiri tidak memahami kehendak atau aspirasi yang ingin dicapai Felda.

Menyedari hakikat ini, Faizoull berkata peralihan harus bermula dari pendidikan di peringkat awal iaitu di sekolah rendah.

“Ia memerlukan satu tahap pendidikan untuk memahami transformasi ini. Kita kena didik anak muda melalui sekolah. Kita bincang dengan Kementerian Pelajaran dan universiti supaya satu subjek yang mengajar tentang pengurusan, gaya hidup di tanah rancangan dan mengajar anak muda Felda menjadi satu pasukan yang bersatu padu,” katanya.

Sehingga kini terdapat 370 buah sekolah di tanah rancangan Felda seluruh negara dengan 270 adalah sekolah kebangsaan dan 100 sekolah menengah.

Felda turut memberi peruntukan untuk skim tuisyen di semua sekolah dan membawa penutur asli untuk mengajar bahasa Inggeris kepada anak peneroka Felda.

Semua ini bagi melahirkan generasi baru Felda ‘eco-intelligence’ untuk membawa perubahan dan mereka yang terbaik dalam keputusan SPM dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diperlukan Felda dan negara.

“Felda telah berniaga di 12 buah negara seluruh dunia, jadi mereka boleh dihantar ke banyak negara untuk menjalani latihan.

Sehingga kini Felda telah menghantar 37 orang ke United Kingdom (UK), 19 ke Australia, tiga ke India dan tiga lagi ke Republik Chechz dengan kumpulan pertama yang dihantar pada 2005 ke UK dan Australia telah pun berjaya mendapat ijazah masing-masing dan berkhidmat di Felda.

Faizoull berkata sejarah dan kejayaan yang dikecapi Felda selama ini perlu dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia dengan menjadikan Felda sebagai kajian kes di peringkat universiti tempatan.

“Felda kini bekerjasama dengan 20 buah institusi pengajian tinggi awam negara bagi mengkaji secara mendalam, usaha, perancangan dan pengurusan yang dijalankan selama ini yang membawa Felda ke mercu kejayaan.

“Ini yang perlu dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia terutama generasi baru agar mereka lebih faham dan menghargai apa yang telah dilakukan Felda selama ini demi manfaat peneroka khususnya dan negara amnya,” katanya.

UTAMAPenyenaraian FGVH Antara Transformasi Berterusan Felda

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium