Penyenaraian FGVH Tidak Libatkan Tanah Hak Milik Peneroka – @NajibRazak - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Rancangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia tidak melibatkan tanah hak milik peneroka Felda sama sekali, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa langkah penyenaraian itu akan menyebabkan tanah hak milih peneroka tergadai di mana menurut beliau penyenaraian itu hanya melibatkan tanah kerajaan negeri.

“Saya mengulangi lagi bahawa tiada seinci pun tanah hak milik peneroka akan terlibat dengan penyenaraian ini.

“Penyenaraian hanya melibatkan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberi hak memajukan kepada kerajaan persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Akta GSA 1960 yang selama ini diurus oleh Felda Plantations,” katanya pada majlis perasmian Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2012 di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perdana Menteri melancarkan karnival bertemakan ‘Menjunjung Transformasi Bangsa’ itu.

Justeru, Najib berkata usaha penyenaraian itu akan tetap dilaksanakan kerana ia adalah satu langkah supaya Felda terus kukuh dan kuat mendepani cabaran dunia nyata perniagaan global.

“Kita mahu kuasai produk hiliran. Kita tidak mahu semata-mata menjadi pengeluar bahan mentah sawit.

“Telah tiba masanya, potensi sebenar Felda diperlihatkan, dizahirkan dan kesejahteraan yang bakal lahir dari usaha itu dinikmati bukan sahaja oleh warga Felda tetapi menjadi hadiah kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM7.535 juta untuk pelbagai program memperkasa belia Felda.

Daripada jumlah itu, RM1.585 juta akan diberi untuk bantuan pengurusan/ program persatuan belia rancangan, di mana setiap daripada 317 persatuan belia Felda akan menerima RM5,000.

Sebanyak RM50,000 akan diberikan kepada setiap 11 Majlis Belia Felda sebagai bantuan pentadbiran/program Majlis Belia Felda Negeri dan Wilayah (jumlah keseluruhan RM550,000), RM20,000 untuk setiap 20 IPTA di bawah bantuan pentadbiran/pengurusan sekretariat permuafakatan siswa/siswi Felda (Persada)IPTA (jumlah keseluruhan RM400,000), manakala RM1 juta diperuntukkan untuk Bantuan Pengupayaan dan Khidmat Masyarakat Persada IPTA/IPTS dalam dan luar negara.

Sementara sebanyak RM4 juta untuk peruntukan tahunan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bagi memboleh majlis itu melaksanakan program pembangunan kecemerlangan sukan dan kebudayaan, program pembangunan kecemerlangan ekonomi dan keusahawaan, program kerohanian dan kesejahteraan sosial dan program ‘gated community’ dan keselamatan rancangan.

UTAMABERITAPenyenaraian FGVH Tidak Libatkan Tanah Hak Milik Peneroka - @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium