Perak anjur Minggu TVET secara maya terbesar - pakdin.my

Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Minggu Teknikal dan Vokasional (TVET) Perak 2021 secara maya terbesar di Malaysia bagi meningkatkan kesedaran tentang peluang pembelajaran serta kerjaya aliran itu.

Program yang bermula Isnin lepas hingga Ahad ini dengan tema ‘Satu Warga Satu Skil’ dirasmikan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Saarani berkata program anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Perak Eclat TVET (PET) dan Ruang Cikgu Berhad (RCB) itu memberi tumpuan kepada pelajar sekolah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan belia dalam komuniti meneroka, memahami, seterusnya mendaftar ke institusi TVET yang mereka minati.

Beliau berkata 54 institusi TVET terlibat secara langsung dan hampir 9,000 peserta dari seluruh Perak mendaftar untuk mengambil bahagian setakat ini.

“Kita mahukan masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam bidang khusus untuk memastikan pertumbuhan ekonomi lebih jitu bagi negeri ini dan khususnya kepada anak-anak muda negeri Perak yang akan memikul tanggungjawab di masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian hari ini.

Sementara itu, Ahmad Saidi yang juga Pengerusi PASAK berkata Minggu TVET Perak 2021 merupakan kesinambungan kepada usaha pusat itu melonjakkan lagi bidang TVET kepada masyarakat.

“Saya mahu TVET ini dilihat sebagai pilihan kerjaya yang sama tara dengan bidang-bidang teoretikal dan mampu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang menceburi bidang ini,” katanya.

Minggu TVET 2021 menyasarkan lepasan SPM, belia dalam komuniti, dan pelajar-pelajar yang masih dalam sekolah bagi memberikan pendedahan yang lebih awal sebagai alternatif dalam perancangan pembelajaran selepas tamat sekolah.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.tes.asia/minggutvetperak untuk jadual penuh dan maklumat lanjut mengenai minggu tersebut manakala laman https://www.tes.asia/registration untuk pendaftaran peserta.

UTAMABERITAPerak anjur Minggu TVET secara maya terbesar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium