Perbuatan hina Agong tak boleh dimaaf - pakdin.my

Tindakan segelintir individu menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan apa cara dan di mana sekali pun dilakukan, ialah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Ini pendapat umum rakyat yang mengaku mereka warga Malaysia, mewakili semua kaum, pandangan politik dan agama. Jika soalan ‘bersetuju’, ‘tidak bersetuju’ atau ‘berkecuali’ diajukan kepada rakyat mengenai perbuatan menghina Raja, kita yakin hampir seluruh rakyat akan mengatakan ‘tidak bersetuju’.

Setiap rakyat diberi hak untuk memilih pegangan politik masing-masing, tetapi tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja yang boleh ditakrif melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Di negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang terbukti mengizinkan pertukaran kerajaan mengikut lunas undang-undang, tiada sebab timbul tindakan mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong adalah pemimpin tertinggi negara yang akhirnya memberi keizinan kepada penubuhan sesebuah kerajaan yang sah. Kerajaan atau pembangkang, dulu atau sekarang, tertakluk kepada Perlembagaan yang sewajarnya menghormati sistem Raja Berperlembagaan.

Oleh itu, tiada sebab rakyat atau sesiapa sahaja, walaupun mewakili pandangan politik apa sekali pun, mempunyai pandangan politik atau mempertikaikan kedaulatan sistem pemerintahan di negara ini. Jika tidak bersetuju dengan sistem negara ini, sila angkat kaki.
[adinserter block=”1″]
Jejas ketenteraman negara

Apa pun, dalam sistem yang memberi kebebasan kepada rakyat, mungkin ada segelintir mengambil sikap bercanggah dengan pandangan umum. Cuma, tindakan mereka perlulah dibuat secara berhemah kerana setiap perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman negara diawasi oleh undang-undang tertentu.

Walaupun sekadar memberi pendapat di media sosial, ia akan mendedahkan diri mereka kepada pelbagai reaksi yang boleh membawa padah. Jika menghina sesama rakyat pun termaktub dalam undang-undang negara, inikan pula penghinaan terhadap pemimpin dan ketua agama Islam di negara ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja tidak boleh dipersoalkan. Reaksi rakyat melalui media arus perdana jelas menunjukkan mereka mahu tindakan diambil terhadap individu kurang ajar yang tidak hormat kepada institusi raja.

Bagi rakyat kebanyakan yang berada di dalam atau luar negara, tindakan menghina Yang di-Pertuan Agong jelas satu fitnah dan bertujuan menghasut. Definisi fitnah mengikut undang-undang adalah jelas kerana secara umumnya, itu tuduhan yang dilemparkan kepada seseorang atau orang yang dituduh.

Fitnah ialah tuduhan yang cenderung untuk merendahkan reputasi seseorang dalam pandangan orang yang munasabah (masyarakat biasa) atau berkecenderungan menyebabkan orang yang dituduh itu dijauhi, dibenci, dihina atau dipandang rendah.

Apakah ini tujuan sebenar individu berkenaan? Persoalan ini akan terjawab setelah mengetahui latar belakang individu berkenaan, kaum, agama, pendidikan, pekerjaan, fahaman politik dan sebagainya.

Daripada pandangan umum, selain Akta Fitnah 1957, kesalahan seperti ini boleh juga dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948 kerana penghinaan individu berkenaan boleh dilihat dari perspektif cubaan menghasut. Ia mempunyai kaitan langsung dengan penyebaran fitnah, membocorkan rahsia, tindakan tidak bertanggung jawab dan menyebarkan sesuatu yang tidak sepatutnya.
[adinserter block=”1″]
Kecenderungan menghasut

Antara lain, kecenderungan menghasut boleh dirumuskan sebagai tindakan boleh menimbulkan kebencian atau menyemarakkan ketidakpuasan hati terhadap raja atau kerajaan. Ia juga bermotif menimbulkan keraguan terhadap pentadbiran sistem keadilan, meningkatkan rasa tidak puas hati, kegelisahan dan tidak senang hati rakyat.

Melihat definisi fitnah dan hasutan, menunjukkan bahawa individu yang boleh disifatkan ‘berani buat, berani tanggung’ ini, tidak boleh lari daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu. Tindakan individu ini tidak memerlukan simpati mana-mana pihak.

Mereka yang menyokong tindakan individu itu juga tergolong dalam golongan tidak setia kepada negara, yang menggalakkan penyebaran fitnah dan hasutan. Akta hasutan juga dikaitkan dengan keselamatan negara kerana perbuatan mereka boleh menyebabkan kekecohan yang menjejaskan ketenteraman awam.

Tanda-tanda awal begitu nyata apabila ada pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, jabatan kerajaan dan parti politik membuat aduan atau laporan polis terhadap tindakan pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong. Jika ada reaksi bertentangan pula, ia boleh menyemarakkan ketegangan kaum dan perbalahan agama.

Sebarang peristiwa yang mencetuskan perbalahan di negara ini sukar dipadam begitu sahaja dan mengambil masa panjang untuk dipulihkan. Sudah tentu ia tercatat dalam sejarah hitam negara sebagaimana beberapa peristiwa lalu, termasuk peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Sudah sampai masanya kerajaan menyemarakkan prinsip dalam Rukun Negara mengikut hierarkinya – Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Bagi individu yang menconteng arang itu, tiada satu pun ciri-ciri dalam Rukun Negara ada dalam diri dan keperibadian mereka.

Oleh: Mior Kamarulbaid Mior Shahid
Penulis adalah Felo Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

https://pakdin.my/tag/agong

UTAMABERITAPerbuatan hina Agong tak boleh dimaaf

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium