Tuesday - July 27, 2021 @ 07:53
BERITANASIONALPerhimpunan 1 juta wanita - '1 Million Women Purple Walk'

Perhimpunan 1 juta wanita – ‘1 Million Women Purple Walk’

– 1 Million Women Purple Walk telah diadakan bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2013.
– Penganjur program Wanita adalah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat.
– Tujuan acara ini dijalankan adalah:

  • Satu inisiatif kerajaan meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang
  • Menyemarakkan gaya hidup sihat dalam masyarakat
  • Memberi sokongan dan penghargaan terhadap segala usaha kerajaan dalam memartabat dan memperkasa kaum wanita.

1 Million Women Purple Walk- PutrajayaPUTRAJAYA – Pencapaian dan aspirasi wanita Malaysia mencuri tumpuan hari ini tatkala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai perhimpunan 1 juta wanita ‘1 Million Women Purple Walk’ di sini sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini.

Program yang berlangsung serentak di beberapa lokasi lain di seluruh negara itu merupakan satu inisiatif bagi melambangkan solidariti wanita Malaysia dan meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang.

Selain menyemarakkan gaya hidup sihat, ia juga bertujuan memberi sokongan dan penghargaan terhadap segala usaha kerajaan dalam memartabat dan memperkasa kaum Hawa.

Bersesuaian dengan warna tema sambutan, Najib dan Rosmah yang berbaju ungu disertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan kenamaan lain berjalan kaki dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke Dataran Putrajaya yang menjadi fokus sambutan.

Sekumpulan lagi menteri Kabinet termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berjalan kaki dari Kementerian Belia dan Sukan ke dataran sama di hadapan Istana Kehakiman.

Sejurus kedua-dua kumpulan itu tiba di kawasan pentas utama yang dipenuhi peserta acara berbaju ungu, lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dinyanyikan disusuli bacaan doa dan bertafakur untuk wira-wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.

Turut hadir pada program hari ini ialah wakil-wakil kedutaan asing, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan beruniform dan pelajar insitusi pengajian tinggi.

Mereka kemudian mendengar ucapan yang disampaikan Najib, yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang turut melancarkan inisiatif 1Malaysia Komuniti Perwani.

Inisiatif itu bakal mewujudkan 100,000 kumpulan wanita di seluruh negara yang akan bertindak sebagai ejen transformasi komuniti.

Selain itu, perdana menteri dan isteri melawat Karnival Wanita yang dianjurkan di tapak berhampiran.

Di KUALA TERENGGANU, peserta program itu berjalan kaki sejauh dua kilometer bermula dari Dataran Batu Buruk ke Dataran Shahbandar yang dibanjiri kira-kira 30,000 peserta.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kehadiran wanita yang begitu menggalakkan jelas menunjukkan golongan Hawa menyokong transformasi yang dilakukan kerajaan untuk memajukan rakyat dan negara.

Di KANGAR, lebih 2,000 wanita menyertai program berjalan kaki itu yang melibatkan jarak sejauh tiga kilometer dengan Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini menjadi lokasi permulaan dan penamat acara.

Program yang dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut menyaksikan pelancaran tabung kemanusiaan untuk anggota keselamatan yang terkorban dan masih berjuang menentang penceroboh militan di Sabah.

Di KUCHING, kira-kira 57,000 peserta mengambil bahagian dalam program Perhimpunan 1 Juta Wanita yang diadakan serentak di 11 bahagian di seluruh Sarawak, dengan pelancarannya dilakukan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Le’Park, Pusat Integrasi Bersepadu Kuching. Ketua Menteri dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib bersama peserta program berjalan sejauh 2.4 km sebagai simbolik pelancaran program.

Dalam ucapannya, Taib berkata kaum wanita memainkan peranan penting dalam perkembangan negara termasuk ketika negara menuju ke arah mencapai kemerdekaan.

Di SHAH ALAM, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Noh Omar melepaskan 2,000 peserta program itu yang berjalan kira-kira satu kilometer di sekitar Taman Tasik Shah Alam.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yakin majoriti kaum wanita dan lelaki di negara ini tidak menyokong hak sama rata untuk pengamal budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan norma agama.

Di KELANTAN, kira-kira 60,000 orang kebanyakannya wanita menyertai acara itu yang dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain mendengar ucapan perdana menteri yang disiarkan secara langsung, peserta turut menyanyikan lagu-lagu patriotik termasuk ‘Barisan Kita’ sebagai tanda sokongan kepada anggota keselamatan memerangi penceroboh militan di Sabah.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 peserta di Dataran Pahlawan, berkata program itu merupakan manifestasi peranan wanita yang kini semakin penting dan mendapat penghargaan kerajaan.

“Diharapkan wanita akan terus bersama membangunkan masyarakat dan diberi tempat sewajarnya bukan sahaja dalam keluarga tetapi juga jawatan penting di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

Di SABAH, lebih 15,000 wanita berhimpun di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu bagi menyertai perhimpunan kaum Hawa yang julung kali diadakan serentak di seluruh negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya berkata penganjuran program itu dapat menyemarakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat khususnya di Sabah.

Di PULAU PINANG, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika berucap merasmikan perhimpunan peringkat negeri di Permatang Pauh disertai kira-kira 30,000 wanita, berharap ia menjadi pencetus kepada penganjuran lebih banyak program kesihatan dan rekreasi bagi kaum itu.

Beliau berkata selain memberi manfaat daripada aspek kesihatan, program itu juga merupakan platform terbaik dalam memupuk semangat keharmonian dan mengeratkan hubungan sesama wanita.

Sementara itu, di IPOH, sambutan peringkat negeri Perak dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Padang Polo.

Ribuan rakyat berjalan kaki seawal 8 pagi dari tiga lokasi berbeza iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah dan Sekolah Menengah Vokasional Persiaran Brash dan tiba di lokasi penamat sejam kemudian.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here