BEERSIH 2.0 – Perhimpunan haram 9 Julai, pintu rundingan ditutup, ISA pada yang terus degil… - pakdin.my

MUKTAMAD. Tiada lagi rundingan mengenai perhimpunan haram 9 Julai ini. Pihak polis sendiri menegaskan tidak ada mana-mana pihak dibenarkan mengadakan sebarang perhimpunan pada tarikh tersebut.

Bahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata Jumaat mereka yang berkeras untuk meneruskan dan menyertai perhimpunan itu bakal dikenakan tindakan tegas termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, polis dengan tegas menutup pintu rundingan dengan mana-mana penganjur perhimpunan haram pada 9 Julai ini selepas nasihat diberikan kepada pemimpin masing-masing sebelum ini sia-sia.

“Mereka tetap berdegil mahu meneruskan rancangan perhimpunan haram masing-masing.

“Jadi kita dah selesai berbincang dan tiba masa untuk bertindak mengikut undang-undang,” katanya.

Khalid memberitahu, sebanyak 2,136 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak selain panggilan telefon yang tidak bersetuju dengan perhimpunan haram berkenaan.

“Ini menunjukkan orang ramai menentang perhimpunan haram tetapi penganjur tak peduli.

“Tiada sebab untuk mereka teruskan demonstrasi,” ujarnya.

Sehingga kini katanya, sebanyak 115 orang ditahan ekoran perancangan mengadakan perarakan haram itu.

Pada Khamis, Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga, bermesyuarat dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan meminta laluan supaya pihaknya dapat menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

Pada mesyuarat itu, menurut Ambiga, Ismail melahirkan kebimbangannya jika perhimpunan aman itu diteruskan, walaupun diberi jaminan ia akan dijalankan secara aman.

Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) menggesa Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa membatalkan perhimpunan yang dirancang pada 9 Julai ini, kerana ia boleh mencetuskan keadaan tidak stabil serta menjejaskan ekonomi dan pelancongan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, ia juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya supaya mengadakan dialog dan bertukar-tukar pandangan dengan Bersih untuk menambah baik sistem pilihan raya.

“Kami juga merayu kepada Pemuda Umno dan Perkasa supaya tidak mengadakan perhimpunan balas pada masa yang sama. Jika ketiga-tiga pihak meneruskan perhimpunan itu, ia boleh mengakibatkan konflik dan keadaan huru hara,” katanya.- Agendadaily

 

UTAMABERITABEERSIH 2.0 - Perhimpunan haram 9 Julai, pintu rundingan ditutup, ISA pada...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium