Peritnya Kehidupan Ketika Dijajah #Merdeka55 - pakdin.my

Biarpun negara telah mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun, namun bagi mereka yang pernah melalui kehidupan semasa zaman penjajahan dahulu, pastinya perit jerih hidup waktu itu masih segar dalam ingatan.

Bagi Pak Long atau Abu Bakar Sentol, 84, dari Kampung Melayu Renggam, Kluang antara individu yang pernah merasai kehidupan pada zaman itu, masih jelas dalam ingatan sengsaranya hidup di tanah air sendiri apabila ditadbir oleh bangsa asing.

“Semasa itu umur saya 13 tahun dan nyawa kami tidak ubah seperti telur di hujung tanduk, makan pula ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Kami terpaksa ikat perut kalau tanaman yang ditanam belum menjadi lebih-lebih lagi adik-beradik saya tujuh orang, masa itu ubi kayu yang masih kecil pun sudah dicabut untuk direbus,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pak Long berkata semasa Jepun mula memasuki Tanah Melayu pada 1941 makanan ruji harian keluarganya hanyalah ubi kayu, keledek, pisang, sagu, rumbia, dan lada yang ditanam sendiri.

KEHIDUPAN YANG SUSAH

Keperitan hidup semasa itu menyebabkan ada penduduk yang terpaksa mencuri demi mengalas perut anak yang sentiasa minta diisi.

“Dulu pencuri tak akan dimasukkan dalam lokap polis, sebaliknya mereka akan dihukum dengan mengikat batang ubi di tangan kanan dan kiri mereka untuk diarak ke seluruh kawasan kampung sambil melaungkan “saya pencuri ubi…!”,” katanya.

Pak Long yang antara orang paling lama menetap di Renggam berkata kawasan itu dahulunya hanyalah sebuah pekan kecil yang dipenuhi semak samun dan tanaman yang ada pada masa itu hanyalah pokok getah dengan jumlah penduduknya boleh dihitung dengan jari.

Renggam juga ialah kawasan hitam kerana Parti Komunis Malaya (PKM) amat aktif dan menunggu masa untuk membunuh mana-mana orang kampung yang enggan bekerjasama dengan mereka.

Pak Long berkata setiap pergerakan akan dipantau oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan penduduk bersengkokol dengan PKM.

Malah, semasa Jepun memerintah, mereka juga sukar untuk ke sekolah disebabkan takut menjadi mangsa lebih-lebih lagi perempuan kerana mereka akan ditangkap untuk dijadikan hamba seks selain buruh percuma sebagai tukang bersih dan tukang masak.

BRITISH LAWAN JEPUN

“Waktu yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa Jepun melawan kuasa British dan ketika itu penduduk hanya bersembunyi dalam rumah dan tidak berani untuk keluar bertempur.

“Masih terngiang-ngiang lagi bunyi tembakan senapang dan dentuman meriam antara Jepun dan British, mayat mereka juga bergelimpangan di sana sini dan keadaan itu amat mengerikan,” katanya.

Pak Long berkata akhirnya pada tahun 1945 Jepun terpaksa menyerah kalah setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh pihak British pada 6 dan 9 Ogos menyebabkan British terus muncul sebagai kuasa yang paling kuat di Tanah Melayu.

“Kelebihan pihak British mempunyai askar yang ramai dan senjata yang canggih menyebabkan komunis secara perlahan-lahan berundur masuk hutan,” katanya.

TUNTUT KEMERDEKAAN

Menurut Pak Long, masih jelas di ingatannya orang kampung berusaha membiayai gerakan menuntut kemerdekaan daripada British antaranya dengan menjual lencana besi UMNO, yang boleh dilekat pada baju, pada harga RM1 sekeping.

“Bagi kita sekarang, RM1 mungkin hanya satu angka yang kecil, namun pada masa itu nilainya amat besar. Walaupun kebanyakan penduduk hidup susah, tetapi mereka sanggup berhutang selama tiga bulan semata-mata untuk membeli lencana itu,” katanya.

Pak Long berkata, ketika itu dia ialah anggota Jawatankuasa UMNO cawangan Senggarang manakala ayahnya Sentol Ilyas adalah anggota jawantankuasa di lima buah kampung iaitu Sungai Lurus Darat, Sungai Lurus Laut, Parit Aman, Parit Raja, dan Pasir Sungai Lurus.

“Kami telah berkumpul dan saling berganding bahu membantu Pemuda UMNO Datuk Onn Jaafar untuk menentang cadangan penubuhan Malayan Union dengan slogan “Panjang Umur Datuk Jayakan Pekerjaan Kita”,” katanya.

Katanya, British ketika itu menggunakan pelbagai helah dan alasan untuk melambatkan Tanah Melayu daripada mencapai kemerdekaan di samping meletakkan beberapa syarat antaranya perpaduan kaum dan ekonomi yang kukuh.

LAUNGAN KERAMAT

“Akhirnya Tanah Melayu telah diberikan kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957 dan pada masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan gembira seluruh penduduk Tanah Melayu,” katanya.

“Walaupun saya tidak ke Dataran Merdeka pada masa itu tetapi semangat saya untuk bersama-sama melaungkan merdeka adalah tinggi dan berkobar-kobar.

“Merdeka…! Merdeka…! Merdeka…! Merdeka…! Merdeka…! Merdeka…! Merdeka…! Laungan itu sangat bersemangat dan saya menitiskan air mata kerana setelah dijajah hampir 16 tahun Tanah Melayu akhirnya mencapai kemerdekaan,” katanya.

Menurut Pak Long laungan merdeka pada tahun 1957 adalah paling bermakna dan bernilai kerana setiap orang melaungkannya dengan penuh kegembiraan, kepuasan, dan berkeyakinan berbeza dengan sekarang.

UTAMAPOLITIKPeritnya Kehidupan Ketika Dijajah #Merdeka55

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium