Perlukah PAS Keluar Pakatan Untuk Laksana Hudud? - pakdin.my

pakatan-rakyat

Tentangan terhadap PAS, yang berhasrat melaksanakan hukum hudud di Kelantan melalui pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, semakin memuncak dan terus dibantah sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS ternyata ‘menyakiti’ rakan politiknya lantas diberikan kata dua oleh pemimpin DAP supaya meninggalkan pakatan PAS-DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang membentuk kerjasama pada 2008.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini berkata PAS bebas untuk melaksanakan hudud tetapi PKR dan DAP tidak terikat untuk menyokong rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, terus berdolak dalik.

Terkini, Anwar berkata PAS perlu membawa isu itu ke Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung hudud seperti yang dicadangkan itu.

Pemerhati politik melihat bahawa kerjasama PAS bersama DAP dan PKR banyak memberi tekanan kepada PAS supaya menggugurkan agendanya iaitu Negara Islam malah turut ‘dipaksa’ menerima bahawa hukum hudud bukanlah matlamat dan kesepakatan yang dipersetujui bersama dalam pakatan parti berkenaan.

Haruskah PAS akur dengan tekanan sekutunya untuk melupakan hasrat melaksanakan hukum hudud untuk terus berada dalam gabungan Pakatan Rakyat atau bertegas dengan perjuangan Islamnya dan keluar daripada pakatan?

DAP DAN PKR TIDAK HORMATI PERJUANGAN ISLAM PAS

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata PAS perlu berhenti bermimpi di siang hari untuk mendapat sokongan rakan sekutunya PKR dan DAP dalam perjuangannya.

“Dari awal lagi dua parti ini tegas menolak hudud. Adalah mustahil untuk mendapatkan sokongan kerana ia bukan dasar yang disepakati bersama,” katanya.

Banyak pihak memandang sinis terhadap usaha PAS yang kini giat melobi khususnya bukan Islam untuk menyokong usul yang akan dibawa parti itu di Dewan Rakyat, Jun ini.

Untuk melaksanakan hukum hudud, PAS sedar bahawa parti itu tidak boleh mencapainya secara bersendirian dan ia memerlukan sokongan 148 anggota Parlimen bagi membolehkan Perlembagaan Persekutuan dipinda.

MAJORITI DUA PERTIGA

Jika kesemua anggota Parlimen beragama Islam baik daripada PAS, Umno dan PKR menyokong usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud), PAS masih memerlukan sokongan 23 lagi anggota Parlimen untuk mendapatkan majoriti dua pertiga bagi meminda perlembagaan.

Pada masa ini, PAS mempunyai 21 kerusi manakala Umno mempunyai 88 kerusi di Dewan Rakyat, dan jumlah ini masih tidak mencukupi untuk memperoleh sokongan dua pertiga.

Jika dicampur sekalipun dengan sokongan anggota Parlimen PKR yang beragama Islam seramai 16 orang, ia masih tidak mencukupi. PKR memiliki 29 kerusi Parlimen.

Bagi pihak kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 April lepas dipetik sebagai berkata kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah SWT tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Presiden Umno itu berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum Allah SWT.

PERMAINAN POLITIK

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata PAS sedar bahawa pihaknya tidak akan mendapat sokongan dua pertiga di Parlimen, namun tetap memutuskan untuk membentangkannya di Dewan Rakyat.

Menyifatkannya sebagai helah politik, beliau berkata PAS seolah-olah cuba lepas tangan daripada dipersalahkan apabila usul rang undang-undang persendirian berkaitan hudud tidak mendapat sokongan majoriti.

“Parlimen akan dipersalahkan. Mereka akan menyatakan bahawa PAS telah membawanya ke Parlimen tetapi tidak mendapat sokongan dua pertiga majoriti,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata PAS sepatutnya membentangkan draf atau rangka tentang perlaksanaan hukum hudud.

“Adakah hukum hudud yang ingin dilaksanakan benar-benar mengikut Al Quran atau mengikut PAS? Ini yang perlu diketahui. Kalau hukum hudud yang sebenar yang mengikut Al Quran, ia turut melibatkan bukan Islam juga.

“Tetapi PAS kata hukum hudud yang ingin dilaksanakan tidak melibatkan bukan Islam. Ini akan berlaku ketidakadilan. Kita bukan tidak bersetuju hukum hudud dilaksanakan tetapi belum tiba masanya dan masyarakat belum diberi kefahaman secukupnya tentang hukum hudud,” katanya.

KELUAR GABUNGAN

Adakah PAS sudah bersedia kehilangan rakan sekutunya jika terus bertekad melaksanakan hukum hudud? Sekurang-kurangnya ia dapat menjaga maruah PAS.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook dilaporkan sebagai berkata PAS perlu berundur daripada pakatan itu jika bertegas untuk tetap dengan keputusannya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Che Hamdan berkata untuk survival politik, PAS diyakini tidak akan mengambil keputusan drastik keluar daripada pakatan pembangkang.

“Bukan sesuatu yang pelik apabila PAS akan menukar dasarnya sepertimana dahulu daripada Islamic State (Negara Islam) kepada Welfare State (Negara Berkebajikan). Kemudian dalam PAS sendiri ada dua kelompok iaitu kumpulan yang mahu hukum hudud dilaksanakan dan kumpulan yang ingin menangguhkan kerana memberi kesan terhadap kerjasama Pakatan Rakyat,” katanya.

Penganalisis politik itu juga melihat tindak balas DAP yang kebelakangan ini menghentam PAS adalah untuk meraih keuntungan politik dan meningkatkan sokongan kaum Cina khususnya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei ini.

“Masa inilah peluang DAP untuk menunjukkan ketegasan mereka dan ini diperhatikan pengundi Cina,” katanya.

Pilihan raya kecil Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, yang juga bekas Pengerusi DAP, dalam nahas jalan raya pada 17 April lalu.

UTAMABERITAPerlukah PAS Keluar Pakatan Untuk Laksana Hudud?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium