Thursday, June 24, 2021
POLITIKPerubahan Struktur Umno Selangor Boleh Tingkatkan Sokongan - Penganalisis

Perubahan Struktur Umno Selangor Boleh Tingkatkan Sokongan – Penganalisis

wpid-najib-konvensyen-umno-selangor.jpg

Peningkatan sokongan rakyat khususnya generasi muda kepada Umno Selangor hanya akan dapat dilihat sekiranya perubahan struktur kepimpinan dilakukan secara holistik dan drastik, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata perubahan kepimpinan itu perlu dilakukan supaya rakyat boleh melihat parti itu sedang melakukan transformasi.

Beliau berkata Umno Selangor perlu melihat secara serius perkara ini kerana Umno sendiri mungkin tidak nampak keperluan untuk berubah tetapi orang di luar barisan kepimpinan seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakyat melihat wujud keperluan berkenaan.

“Teguran Dr Mahathir ada kebenarannya. Umno Selangor perlu melihatnya secara positif dan menerima dengan hati terbuka serta melaksanakan perubahan dan penyusunan semula organisasi parti agar dilihat segar.

“Jika hanya melibatkan perubahan sikap semata-mata tanpa melibatkan penstrukturan semula kepimpinan Umno Selangor, saya melihat sokongan tidak akan kembali kepada parti,” katanya.

Rabu lepas, Dr Mahathir dilapor sebagai berkata Umno Selangor perlu melakukan perubahan dengan melakukan pembubaran dan penyusunan semula termasuk menerima anggota baharu yang berbakat.

Samsul Adabi berkata penjenamaan semula Umno Selangor dengan perubahan sikap dan pembaharuan barisan kepimpinan secara besar-besaran mampu memberi impak positif kepada parti, selain boleh menonjolkan tokoh pemimpin baharu.

Semasa merasmikan Konvensyen Umno Selangor pada 1 Nov lepas, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Umno Selangor berani mengatur strategi baharu dan membuat perubahan minda jika mahu menawan semula negeri itu.

Perdana Menteri turut menggariskan tiga realiti yang perlu Umno Selangor terima, iaitu kedudukan Umno sebagai pembangkang di Selangor, kedudukan strategik Selangor sebagai pusat sosio-ekonomi yang rancak dan hakikat ia perlu berusaha menawan sokongan pengundi bandar serta pinggir bandar.

Sementara itu, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berpendapat Umno Selangor perlu membina kekuatan dan menentukan strategi serta pendekatan untuk memikat hati pengundi di negeri paling maju itu.

Katanya Umno Selangor dilihat lemah dan ini terbukti dalam siri ‘Langkah Kajang’ serta dalam krisis Menteri Besar Selangor yang menyaksikan Umno tidak mampu menawarkan parti itu sebagai alternatif kepada parti pakatan yang menerajui kerajaan Selangor.

“Umno Selangor perlu ada tokoh baharu yang segar dan dekat dengan rakyat selain berani dan lantang dalam soal membela Melayu dan Islam,” katanya.

Berkaitan:

Terkini

Popular

Video

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here