26.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 27, 2021

‘Perundangan Kembar’ Di Malaysia, Satu Kebaikan Atau Sebaliknya?

Artikel ini adalah menurut pandangan Dr Wan Azhar Wan Ahmad, Felo/Pengarah Pusat Pengajian Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Baru-baru ini, Institut Kefahaman Islam Malayisa (Ikim) menganjurkan seminar peringkat kebangsaan tentang ‘Teori dan Aplikasi Prinsip Maqasid al-Syariah’ pada 29-30 Mei lepas.

Antara kertas kerja yang dibentangkan di seminar itu adalah ‘Maqasid dan Siyasah al-Shar’iyyah dalam Pengharmonian undang-Undang Sivil dan Syariah di Malaysia’ oleh Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Dr Wan Azhar, ‘maqasid al-shariyyah’ bermakna objektif, tujuan serta arah undang-undang Islam.

Katanya para cendekiawan Islam membahagikan prinsip itu kepada tiga objektif iaitu – pengajaran individu, menegakkan undang-undang dan mengekalkan, melindungi serta memperteguh kepentingan umum/manusia (masalih).

Menurut Dr Wan Azhar objektif ketiga merangkumi dua objektif yang pertama dan kedua iaitu yang berhubungkait dengan kepentingan manusia di dunia dan akhirat.

“Tidak boleh dinafikan bahawa objektif ini mempunyai persamaan dengan undang-undang sekular di zaman kuno atau moden. Ia juga selari dengan doktrin dan prinsip aspirasi moden hak asasi manusia,” jelas Felo itu dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Bernama.


DASAR BERTERASKAN SYARIAH

Menurut Dr Wan Azhar, ‘Siyasah al-shar’iyyah’ bermaksud satu dasar yang berteraskan syariah atau yang dilaksanakan kerajaan menurut perundangan Islam.

“Ia merujuk kepada keputusan atau dasar yang diambil pemerintah tentang isu yang tiada peruntukan spesifik dalam syariah, berdasar kepentingan umum.

“Kini ramai yang berpendapat bahawa undang-undang ‘kembar’ iaitu undang-undang syariah dan undang-undang sivil Inggeris dilaksanakan secara seiring adalah satu ciri unik yang tidak wujud di negara lain di dunia ini.

“Ada yang menyatakan ini adalah sesuatu yang kita perlu banggakan tetapi ramai juga yang tidak sedar bahawa undang-undang sekular mengatasi undang-undang syariah di mana undang-undang berteraskan syariah adalah lebih dilihat ‘tunduk’ kepada undang-undang sekular.

“Pada pandangan saya, aplikasi serentak kedua-dua sistem perundangan adalah lebih tidak baik daripada baik kepada negara. Sejak bertahun yang lampau, ini mengakibatkan syak-wasangka, kebencian, prejudis, ketakutan bagi masyarakat majumuk kita. Ini adalah tidak sihat bagi penyatuan masyarakat,” terang beliau.

BERSATU, AMAN

Bagi mewujudkan penyatuan yang sejati serta suasana aman di negara ini, perlulah ada satu sistem perundangan yang sesuai untuk semua.

“Saya bersetuju dengan pendapat Dr Shamrahayu di mana dua perundangan yang berbeza ini perlu diharmonikan serta digabungkan secara berperingkat menurut keperluan semasa dan juga situasi,” jelas Dr Wan Azahar.

“Ini akan membentuk perundangan Malaysia yang sebenar menurut acuan kita yang berdasarkan undang-undang Islam dan Melayu tanpa menghilangkan input dari kebudayaan bangsa lain,” kata beliau.

Cendekiawan Ikim itu menerangkan bahawa tiada siapa yang perlu rasa marah atau tersinggung dan diasingkan dengan kenyataan beliau itu kerana fakta sejarah serta keputusan mahkahmah Inggeris dan rasional di sebaliknya sememangnya memberi sokongan.

“Hanya mereka yang keras hati tidak mahu menerima rasional dan fakta ini,” tambah beliau lagi.

UNDANG-UNDANG ISLAM

“Pengharmonian dua undang-undang ini bukanlah suatu cubaan bagi mengenakan undang-undang Islam terhadap orang bukan Islam. Secara amnya undang-undang Islam hanya bagi orang Islam melainkan yang bukan Islam dengan sukarelanya mahukan mereka berada di bawah sistem itu.

“Penggunaannya bukanlah bermakna dengan automatiknya yang bukan Islam perlu tunduk pada aspek keagamaannya. Contohnya, Hukum Hudud, bukanlah satu isu bagi mereka yang bukan Islam dan tidak menyentuh langsung kepentingan agama mereka,” kata Dr Wan Azhar.

Di mana undang-undang berteraskan Islam mengawal kehidupan sivil seseorang bukan Islam sebagai warga negara Islam, fahaman dan perjalanan seharian agama yang dianuti mereka tidak akan tergugat, kata beliau.

“Jika yang bukan Islam menolak Islam di bawah gambaran tentang cara hidup mereka yang penuh noda seperti minum arak, berjudi dan hubungan luar nikah, maka mereka silap kerana kegiatan seperti ini memang pun dilarang oleh agama masing-masing.


“Kalau mereka menolak Islam atau menentang sebarang dasar berteraskan agama Islam, mereka sebenarnya hanya mahu menyalahkan Islam untuk mereka mengenepikan kepercayaan dan prinsip agama mereka sendiri.

“Sesungguhnya penolakan mereka adalah sebenarnya bukan penolakan terhadap agama Islam tetapi merupakan penolakan terhadap (sebarang) agama secara umum,” tegas beliau.

Menurut Dr Wan Azhar, kebanyakan kalinya mereka yang sekular hanya menyembunyikan maksud sebenar dalam ertikata generik di bawah doktrin hak asasi kemanusiaan.

“Pengharmonian undang-undang sebenarnya satu usaha murni bagi merealisasikan objektif universal untuk semua sistem dan agama yang mempunyai nilai murni.

“Ia sebenarnya bertujuan baik untuk keadilan, disiplin diri, kepentingan sosial dan juga pada umumnya mempunyai tujuan bagi kesejahteraan manusia,” tambah beliau.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.