Piala Malaysia: Terengganu FC, Selangor FC lepasi halangan saingan kumpulan

Finalis 2018, Terengganu FC (TFC) mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya selepas membelasah Perak FC 4-0 pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Umpama pertembungan ulangan final kejohanan berprestij itu pada edisi 2018, namun perlawanan malam ini membuktikan Perak FC yang mengalami kemerosotan prestasi musim ini jelas bukan tandingan skuad tuan rumah yang mendominasi 90 minit perlawanan.

Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain berjaya mendahului 3-0 dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan apabila hanya memerlukan 13 minit untuk membuka akaun gol menerusi rembatan kencang Makan Konate dari jarak jauh diikuti jaringan kedua pasukan oleh David Da Silva berselang enam minit.

Dechi Marcel menceriakan kira-kira 4,200 penyokong tuan rumah di stadium dengan gol ketiga pasukan pada minit ke-26 sebelum skuad Bos Gaurus terlepas peluang keemasan untuk merapatkan jurang apabila percubaan Royizzat Daud pada minit ke-29 berjaya diselamatkan penjaga gol.

Gol keempat TFC dijaringkan pemain kebangsaan Faisal Abdul Halim pada minit ke-62 yang tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan pasukan sekali gus menyaksikan TFC berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Turut mengikut jejak TFC adalah Selangor FC selepas terpaksa bekerja keras sehingga ke penghujung perlawanan sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pemain gantian Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim muncul wira skuad Gergasi Merah apabila meledak gol kemenangan pasukan pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas kedua-dua pasukan buntu dan perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri.

Pada aksi itu, Selangor FC terlebih dahulu di hadapan menerusi Ahmad Danial Asri yang menanduk bola hantaran Alexander Ameyaw untuk gol ketiga peribadinya dalam kempen Piala Malaysia, namun Kuching City FC bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Michael Ijezie pada minit ke-67.

TFC dan Selangor FC mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati dengan masing-masing mengumpul 12 dan sembilan mata setakat ini manakala peluang tertutup buat Kuching City FC dan Perak FC selepas kedua-dua pasukan itu hanya mengutip satu mata dalam empat aksi.

Dalam pada itu, saingan Kumpulan A menyaksikan perebutan slot ke pusingan suku akhir semakin sengit antara tiga pasukan teratas iaitu pendahulu Kuala Lumpur (KL) City FC, Sarawak United FC dan Sri Pahang FC.

Ia selepas Sarawak United dan KL City FC terikat 2-2 di Stadium UiTM Shah Alam sementara Sri Pahang FC meneruskan “amukan”  mereka dengan berpesta gol menewaskan Penang FC 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Di Shah Alam, penyerang prolifik Sarawak United FC Uche Agba dan tonggak serangan pasukan pelawat Romel Morales masing-masing meledak dua gol untuk memaksa kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati mengutip satu mata.

Sementara itu, Sri Pahang FC tidak menunjukkan belas kasihan kepada pasukan pelawat dengan Kenny Athiu mencipta ‘hatrik’ menerusi gol pada minit ke-10, minit ke-35 dan minit ke-81 manakala dua gol lagi masing-masing disumbangkan Abubakar Yakubu (minit ke-21) dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-57.

Walaupun seri, KL City FC kekal sebagai pendahulu mengumpul lapan mata diikuti Sarawak United FC (tujuh mata), Sri Pahang FC di tempat ketiga mengumpul enam mata dan Penang FC tercorot mengutip satu mata.

Berkaitan