Pihak yang mahu rampas kerajaan perlu dihalang agar semua selamat

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan negara perlu diselamatkan daripada pihak yang mahu mengambil-alih kepimpinan negara.

Beliau yang kini sedang berada dalam wad di Institut Jantung Negara menyifatkan pihak berkenaan ibarat kumpulan yang berada dalam petak bawah bahtera seperti dalam hadis Nabi Muhammad.

“Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal daripada bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat.

Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA juga menegaskan: “Allah memberikan kuasa kepada pihak yang berkuasa untuk bertindak dalam apa-apa perkara yang tidak disebutkan oleh al-Quran.”

Bertindak dengan tegas tanpa perasaan waswas, kerana was-was datang daripada syaitan,” kata Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu mengkritik pihak cuba merampas pentabiran ketika negara berhadapan dengan peningkatan jangkitan Covid-19.

Abdul Hadi yang menzahirkan sokongan kepada kepimpinan Tan Seri Munyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri menyifatkan pihak terbabit seolah-olah telah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi.

“Secara khusus, PAS memahami keadaan darurat pandemik COVID-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi.

“Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana COVID-19 yang sebegini rupa,” kata Abdul Hadi.

Beliau menegaskan PAS terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, PAS menurut Abdul Hadi terus menjalankan tugas selepas diberikan beberapa peranan dalam Kabinet tanpa banyak soal kerana PAS meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.

Untuk rekod, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Anwar tiba di Istana Negara pada jam 10.37 pagi ini sekali gus menyaksikan Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi wakil ketua pemimpin politik kedua yang menghadap Al-Sultan Abdullah selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-SM

(Visited 85 times, 85 visits today)

Berkaitan