PM kerah cari ‘kepala’ sindiket pemerdagangan manusia - pakdin.my

rohingya_pulau-pinang

Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa mencari ‘kepala’ yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di sempadan negara ini.

Perdana Menteri berkata penemuan kubur dan kem tahanan dipercayai menempatkan rakyat Rohingya mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian baru-baru ini adalah kejadian yang amat menyedihkan.

Beliau berkata sekiranya kegiatan itu ingin dibanteras, tindakan keras perlu diambil terhadap ketua atau kepala sindiket dan bukannya orang bawahan yang menjadi upahan.

“Saya difahamkan bahawa sindiket ini ketuanya bukan rakyat Malaysia…beberapa anggota polis yang kena tahan baru-baru ini kira macam balaci mereka, maknanya yang peringkat bawahan…yang jadi upahan.

“Kalau kita nak banteras human trafficking ini, kita mesti ambil tindakan terhadap kepala-kepala mereka, bukan askar atau balaci mereka…kepala mereka mestilah diambil tindakan keras,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia 2014 di Perlis, Sabtu.

Najib berkata Malaysia memerlukan kerjasama kerajaan negara lain untuk memasuki negara jiran bagi mengenal pasti siapa sebenarnya ketua sindiket itu.

Tambahnya Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kegiatan pemerdagangan manusia dan mereka yang terlibat akan diambil tindakan keras.

“Saya nak minta polis untuk buat siasatan yang rapi dan tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja termasuk pihak kita jika bersubahat dengan sindiket pemerdagangan manusia,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengambil tindakan untuk mengenal pasti kubur-kubur berkenaan.

“Sebahagiannya (rangka yang ditemui) telah dikesan dan telah dibawa ke Alor Setar (Kedah) untuk dianalisis oleh forensik,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan sempadan Malaysia-Thailand yang tidak berpagar dan memudahkan kegiatan menyeludup manusia, Perdana Menteri berkata walaupun berpagar, sindiket terbabit pasti mencari jalan untuk melintasi pagar itu.

“Bila ada keuntungan yang boleh dikaut, akal mereka panjang…kalau ada pagar pun mereka boleh cari jalan,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun perkara itu termasuk dalam perancangan jangka panjang, tetapi ia melibatkan kos yang tinggi.

UTAMABERITAPM kerah cari ‘kepala’ sindiket pemerdagangan manusia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium