PM Umum Bajet Pragmatik Tangani Iklim Ekonomi Lebih Sukar - pakdin.my

Najib-BUDGET-2014

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2014 bermatlamat memperteguh ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji, sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dalam mendepani ketidaktentuan politik dan ekonomi global.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata rangka tindakan kewangan negara memberi tumpuan kepada lima teras: merancakkan aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengungguli modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar serta mensejahterakan kehidupan rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, Jumaat, meskipun ekonomi terbuka Malaysia tidak terkecuali daripada tempias jangkaan pertumbuhan global yang perlahan sebanyak 2.9 peratus tahun ini, namun asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif menjanjikan pertumbuhan yang mapan, malah ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus dalam separuh pertama tahun ini.

Najib menegaskan indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan, sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Belanjawan, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran RM1.66 trilion pada penutup Bursa.

Ini katanya, membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

Selain itu, kemasukan pelaburan langsung asing bersih dalam separuh pertama tahun ini mencecah RM18.2 bilion iaitu peningkatan RM2.3 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Rizab antarabangsa pula kekal kukuh sebanyak RM444.9 bilion setakat 14 Okt, cukup untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

Bagi keseluruhan 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar antara 4.5 peratus dan 5 peratus, disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak RM165 bilion.

Sebagai tambahan, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang masing-masing 7.4 peratus dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

Dengan pelaksanaan Budget 2014 dan sejajar dengan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, Najib mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada kadar antara 5 peratus dan 5.5 peratus, dipacu sebahagian besarnya oleh pelaburan swasta yang berkembang 12.7 peraus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

Gambaran ekonomi lebih cerah oleh Najib pada 2014 menyaksikan eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus.

Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah 3.1 peratus bagi tahun depan, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Perdana Menteri turut menjangkakan pendapatan per kapita bagi tahun 2014 akan mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada tahun 2009, peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh enam tahun.

“Sehubungan ini, kami yakin akan dapat mencapai sasaran pendapatan per kapita RM46,500 atau US$15,000 pada 2020,” kata Najib.

“Mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.” Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM217.7 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM63.6 bilion adalah bagi Emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebagai tambahan, RM114.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM1.4 bilion bagi pembelian aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.

Berhubung perbelanjaan pembangunan, RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi manakala RM10.5 bilion disalurkan kepada sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan dan pembangunan masyarakat.

Seterusnya RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, manakala RM1.12 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Kerajaan, kata Najib, turut mengunjurkan kutipan hasil lebih besar tahun depan. Pada unjuran RM224.1 bilion, ia merupakan tambahan RM4 bilion berbanding jumlah jangkaan tahun ini.

Ini bermakna defisit fiskal kerajaan persekutuan akan terus berkurangan daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

“Jelas di sini, kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kewangan negara,” kata Najib.

Berhubung teras pertama Bajet 2014 iaitu merancakkan aktiviti ekonomi, Najib menarik perhatian kepada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing, membawa kepada peningkatan dalam pelaburan swasta, dengan sumbangannya kepada KDNK meningkat daripada 12.4 peratus pada 2010 kepada 16.7 peratus ketika ini.

Pelaburan swasta bagi tahun depan dianggarkan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan dan pembangunan hartanah.

Menegaskan bahawa pelaburan awam dianggarkan mencecah RM106 bilion, perdana menteri berkata projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Baharu.

Dalam sektor minyak dan gas, projek yang akan dilaksanakan Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; dan projek regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID di Pengerang, Johor.

Najib berkata kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek berimpak tinggi.

Sehingga akhir 2012, pelaburan bernilai RM124 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited telah direalisasikan di wilayah koridor.

Najib berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kesemua koridor berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah RM53.4 bilion dengan hampir 50 peratus direalisasikan.

Ini termasuk tiga projek di Wilayah Iskandar – Studio Pinewood, Hospital Gleneagles Medini dan Sekolah Antarabangsa Pegasus.

Tahun depan lima koridor serantau akan diperuntukkan RM1.6 bilion dengan antara projek utamanya termasuk projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah di samping Taman Pertanian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

Di Wilayah Pantai Timur pula, perdana menteri berkata Pelabuhan Kuantan akan diperluaskan manakala sebuah Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Di Wilayah Utara, antara projek utamanya termasuk projek tanaman ladang komersial dan sistem fertigasi.

Ke arah menggalakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada 2014 yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenal pasti subsektor yang berpotensi untuk dibangunkan.

Ini termasuk logistik, penerbangan, pelancongan, Internet, pasaran kewangan dan persaraan.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan sektor logistik yang lebih efisien, kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik yang akan menyediakan hala tuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang.

Sebagai tambahan, RM3 bilion akan diperuntukkan sebagai pinjaman mudah untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.

Bagi menggalakkan industri penerbangan, kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah bagi mengukuhkan ekosistem dan rantaian perkhidmatan awam, memandangkan kerajaan mengiktiraf potensi Malaysia sebagai hub penerbangan di rantau ini.

Antara projek bagi sektor ini adalah penggantian sistem pengurusan trafik udara di Subang dengan pembinaan sebuah pusat bernilai RM700 juta di KLIA yang akan meningkatkan pergerakan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui tiga landasan.

“Kapasiti pengendalian ini adalah yang tertinggi di dunia,” kata Najib.

Lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah akan dinaik taraf melibatkan kos RM312 juta, manakala terminal penumpang di lapangan terbang Langkawi dan Kuantan akan dinaik taraf.

UTAMAEKONOMIPM Umum Bajet Pragmatik Tangani Iklim Ekonomi Lebih Sukar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium