PMUM desak pentadbiran UM tarik balik ijazah Yan Ke

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan diri sendiri

Tindakan biadab seorang graduan, Wong Yan Ke mengangkat plakad tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi Universiti Malaya (UM) semalam, mencetuskan kemarahan Pengerak Mahasiswa UM (PMUM).

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan diri sendiri, selain mengaibkan dan merosakkan nama universiti berkenaan pada masyarakat umum.

Serentak itu, PMUM melancarkan satu petisyen khas menuntut pentadbiran UM menarik balik Sijil Ijazah Sarjana Muda milik Yan Ke dan menggesanya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim.

Menurut jurucakap PMUM, tuntutan dilakukan atas sebab Yan Ke telah mencemari kegembiraan para graduan pada majlis konvokesyen.

“Pelajar ini telah mencemarkan kegembiraan yang sedang dirasai para graduan untuk menerima sekalung ijazah yang dihadiri ibu bapa mereka melihat anak-anak menaiki pentas, segak berjubah.

“Tindakan biadab ini juga disaksikan pentadbiran tertinggi universiti, para dekan dan ketua jabatan dan pastinya bakal mencipta memori yang tidak akan pernah dilupakan,” katanya yang dipetik menerusi akaun Facebook PMUM, semalam.

Pada sidang kelima majlis konvokesyen itu, telah dicemari dengan tindakan tidak beradab Yan Ke yang mengganggu kelancaran majlis.

Tindakannya melaung ‘ini tanah Malaysia sambil mengangkat plakad yang tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik saja menerima ijazahnya merupakan suatu tindakan yang sangat biadab dan memalukan universiti!

Yan Ke pernah menimbulkan kekecohan ketika kedatangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Restoran Amjal beberapa bulan lalu, namun tindakannya diangkat sebagai wira oleh beberapa pihak atas dasar kebebasan bersuara.

Kata jurucakap PMUM lagi, tidak menjadi masalah untuk sesiapa sahaja berbeza pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu, tetapi adakah dengan perbezaan dan kebebasan yang diberi itu membenarkan mereka untuk melakukan sesuatu secara sesuka hati?

“Mahasiswa juga memainkan peranan dalam menjadi pencetus revolusi masyarakat, tetapi mahasiswa juga perlu bertindak seperti seorang yang berpendidikan dan mampu menghormati prinsip Kesopanan dan Kesusilaan selaras dengan gelaran ‘Mahasiswa’ yang dipegang.

“Kami dengan tegas menyokong dan mempertahankan tindakan Naib Canselor dalam Kongres Maruah Melayu. Dengan menyatakan pendirian kami, adakah kami dianggap dan dilabel sebagai ‘totok pentadbiran’?

“Apa pula pendirian Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam isu yang memalukan ini? Masihkan kita perlu berdiam diri?,” katanya

PMUM turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Yan Ke yang memalukan dan telah memburukkan nama universiti berkenaan.

“Kami juga dengan tegas menuntut tindakan dikenakan kepadanya. Perkara seperti ini tidak patut berlaku sekiranya kita ingin mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian perbagai kaum, latar belakang dan ideologi terutamanya di dalam kampus tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...