sb-ditembak-mati

UPDATE 23:11 – Seorang anggota Cawangan Khas ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini, Selasa.

Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang yang kemudian memaklumkannya ke Balai Polis Travers.

Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata polis turut menemui dua kelongsong peluru berukuran 9mm berhampiran mangsa, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan jaket.

Mangsa belum berkahwin.

“Kita masih menyiasat sama ada mangsa membawa senjata kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Khairi berkata motif pembunuhan masih disiasat.

Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

——————

Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dipercayai dari Cawangan Khas Bukit Aman ditemui mati terbaring selepas ditembak di kepala di tepi jalan di Jalan Negeri Sembilan, Jalan Travers, Bukit Persekutuan di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, kejadian disedari orang awam yang melalui jalan berkenaan yang kemudian melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut, kira-kira jam 4.30 petang.

Pemeriksaan lanjut menemui mangsa berusia 37 tahun terbaring berdekatan sebuah motosikal dengan dua kesan kecederaan di kepala.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairy Ahrasa ketika ditemui berkata, siasatan menyeluruh bagaimanapun masih sedang dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, pihaknya turut menemui dua kelongsong peluru di sekitar lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

TINGGALKAN KOMENTAR

Masukkan komentar anda
Sila masukkan nama anda