Friday - July 30, 2021 @ 09:43
NASIONALSABAHPolis Jamin Proses Pilihan Raya Di Lahad Datu Lancar

Polis Jamin Proses Pilihan Raya Di Lahad Datu Lancar

SEMPORNA: Polis memberi jaminan proses pilihan raya di kawasan yang terjejas dengan insiden pencerobohan pengganas di Sabah akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika memberi jaminan itu, berkata, anggota pasukan keselamatan telah bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawabmereka dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kami memang bersedia walau dalam keadaan apa yang berlaku sekarang ini. Sebenarnya keadaan sudah terkawal,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Terdahulu Ismail diberi taklimat mengenai keadaan di Semporna di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna dan melawat Sitti Bandorah Mahalil, balu Allahyarham Sjn Abd Azis Sarikon, 48, yang terkorban dalam insiden serang hendap kumpulan pengganas di Kampung Simunul, 2 Mac lepas.

Ismail berkata, keadaan di Lahad Datu dan Semporna kini banyak berubah hasil operasi pasukan keselamatan yang berjaya menembak mati dan menangkap ramai musuh.

“Secara keseluruhannya keadaan di Lahad Datu dan Semporna adalah baik dengan aktiviti ekonomi, sosial dan kemasyarakatan berjalan seperti biasa manakala operasi anggota keselamatan pula berjalan seperti dirancang,” katanya.

Beliau berkata, pasukan keselamatan kini meneruskan operasi menjejak saki-baki pengganas yang telah berpecah di Kampung Tanjung Batu dan pasukan keselamatan juga mengenal pasti lokasi mereka.

Ismail berkata, anggota keselamatan sedia ada tidak akan diundur malah aset dan bilangan anggota akan ditambah termasuk kemungkinan membawa anggota dari Semenanjung untuk memastikan keadaan keselamatan Sabah terjamin.

Selain itu, beliau berkata, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua-ketua Polis Daerah juga diarah memperbanyakkan program dan aktiviti turun padang bersama rakyat.

Ditanya kemungkinan ada pengundi takut untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Ismail berkata: “Jangan buat andaian, jangan takut keluar mengundi, keselamatan ada, kami jamin”.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here