Polis panggil Nga Kor Ming bantu siasatan

Kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok bagi dirakam percakapan berhubung siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Nga Kor Ming Super Fans Page kerana memuat naik kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, polis sudah berhubung dengan Nga Kor Ming dan individu berkenaan sudah bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu siasatan.

“Kes berhubung kenyataan dibuat oleh satu akaun FB menggunakan nama Nga Kor Ming Super Fans Page itu masih dalam siasatan sebelum dikemukakan kepada peguam negara bagi tindakan lanjut.

“Esok, individu berkenaan (Kor Ming) akan dipanggil ke Bukit Aman bagi proses merakam percakapannya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Sains Forensik Untuk Agensi Penguatkuasa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, hari ini.

Pada 2 Oktober lalu, Mazlan mengesahkan bahawa polismembuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan terhadap pemilik akaun FB berkenaan.

Ia susulan satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

Sebelum itu, pada 29 September lalu, pemilik akaun itu memuat naik satu kenyataan biadap berunsur menghasutyang mengajak pengikut akaun itu untuk melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa.

Kenyataan itu mengajak orang ramai untuk membenci Sultan Selangor susulan arahan baginda supaya mengarahkan papan tanda jalan di Shah Alam yang menggunakan tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan menggunakan bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan akaun FB terbabit.

Loading...