32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 27, 2021

Polis Sahkan Serangan Bom Di Kelab Movida, Puchong Oleh IS

Kejadian letupan bom tangan di sebuah pusat hiburan Movida di Puchong, dekat sini minggu lalu disahkan didalangi kumpulan pengganas Negara Islam (IS), menjadikannya serangan keganasan pertama yang dilancarkan kumpulan itu di negara ini.

Pendedahan itu sekali gus menolak andaian sebelum ini bahawa serangan tersebut bermotifkan dendam dan persaingan perniagaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan yang dijalankan mendapati wujud elemen IS dalam serangan yang turut mengakibatkan lapan individu cedera itu.

Menurutnya, ekoran itu, pi­haknya menahan dua lelaki yang merupakan pekerja kilang di Pe­la­buhan Klang pada 1 Julai lalu kerana disyaki terlibat melemparkan bom tangan di pusat hiburan tersebut.

Jelasnya, kedua-dua suspek kini dalam tahanan dan siasatan awal mendapati mereka memperoleh bom tangan itu dari negara jiran dan melakukan serangan tersebut selepas menerima arahan seorang anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia yang berada di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

“Anggota militan ini bukan sahaja mengarahkan mereka me­lancarkan serangan terhadap pu­­­­sat-pusat hiburan di negara ini malah turut menyasarkan pe­mim­pin-pemimpin kanan ke­ra­ja­­­­­an dan pemimpin kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ha­kim-hakim mahkamah yang se­la­­ma ini menghalang kegiatan mereka.

“Selain kedua-dua suspek itu, kita juga sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai bersu­bahat melancarkan serangan di Movida iaitu Md. Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33. Kedua-duanya dari Ren­git dan Batu Pahat, Johor,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Ke­tua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Akhbar sebelum ini melaporkan lapan individu yang duduk di bahagian luar pusat hiburan Movida cedera selepas terkena letupan bom tangan yang dilempar oleh dua suspek bermotosikal dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi, 28 Jun lalu.

Tambah Khalid, dalam operasi yang dijalankan susulan tangkapan tersebut, pada 28 Jun hingga 1 Julai lalu, pihak Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas turut menahan 13 individu termasuk anggota polis yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas IS.

Ujarnya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 52 tahun dan pecahan tangkapan adalah tujuh dari Kedah diikuti Selangor (empat), Kuala Lumpur (dua) dan masing-masing seorang dari Melaka dan Pulau Pinang.

“Anggota polis yang disyaki terlibat ditahan di Kedah dan Pulau Pinang. Salah seorang dari­pa­da mereka merancang untuk mela­kukan kegiatan samun di lo­ka­­si sekitar ibu negara bagi mengumpul dana membantu kegiatan IS di negara ini manakala seorang lagi ditahan kerana disyaki melindungi salah seorang anggota IS.

“Dalam operasi itu, kita turut merampas pelbagai senjata tajam dan bendera IS. Kesemua 15 suspek kini ditahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan-kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” ujarnya.

is-bom-movida

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.