Pondan antara 21 individu ditahan polis kerana melacur

Mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM90 untuk sekali langganan, itulah kegiatan seorang pondan dan 20 wanita yang ditahan kerana disyaki menjalankan khidmat pelacuran di premis kediaman dan kaki lima Wisma Indah, Jalan Tun Razak, di sini malam tadi.

Turut ditahan, lima lelaki termasuk tiga warga asing disyaki pekerja premis berkenaan dalam serbuan pada 8.30 malam tadi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, ACP Mohd Hedzir Hussin berkata premis terlibat telah diubahsuai bagi menjalankan kegiatan pelacuran yang menyasarkan warga asing yang bekerja di kawasan berhampiran.

“Dalam serbuan itu, seramai 12 wanita warga China ditahan, selain empat wanita Vietnam, dua wanita Indonesia, seorang wanita tempatan dan seorang pondan warga Indonesia dengan kesemuanya berusia antara 24 hingga 50 tahun.

“Lelaki pekerja premis yang ditahan adalah dua lelaki Bangladesh, dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini malam tadi.

Mohd Hedzir berkata pelanggan akan ditawarkan khidmat pelacur di kaki lima Wisma Indah sebelum dibawa ke bilik di tingkat empat.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan 372 (1)(f) Kanun Keseksaan, 39b Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1)(c) dan 15(1) Akta Imigresen,” katanya. – BERNAMA