Portal Berita Singapura Mohon Maaf Tarik Balik Laporan - pakdin.my

Sebuah portal berita Singapura memohon maaf dan menarik balik laporan yang mendakwa ambulans lambat respons serta Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru menangguhkan rawatan ke atas seorang warganegara republik itu yang menjadi mangsa langgar lari.

Pautan kepada laporan bertajuk “Rakyat Singapura 25 tahun maut selepas hospital Malaysia desak bayaran tunai sebelum rawatan” yang disiarkan pada 31 Ogos lalu di laman web The Independent, hari ini tampil dengan tajuk “Kami minta maaf”.

Ia disertakan satu notis daripada penerbit yang berbunyi: “Kami memohon maaf sepenuhnya kepada pihak berkaitan atas kebimbangan dan penderitaan yang berpunca daripada insiden ini”.

The Independent sebelum ini memetik rakan Tan sebagai berkata, pihak berkuasa lambat bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan, berdasarkan kiraan Google Maps.

Setibanya di HSA, mereka mendakwa imbasan perubatan awal tidak dilakukan sehingga pihak hospital mendapat bayaran deposit.

Tuduhan itu tersebar ke media online lain selepas disiarkan portal berita itu yang menyaksikan netizen mengkritik penyedia perkhidmatan ambulans dan kakitangan hospital di Johor.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kelmarin menafikan dakwaan itu dengan berkata, rekod perkhidmatan ambulans menunjukkan panggilan kecemasan diterima pada jam 2.57 pagi, 25 Ogos lalu dan sebuah ambulans tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian, iaitu 3.10 pagi.

Katanya, Justinian Tan terus dimasukkan ke Zon Merah di Jabatan Kecemasan HSA dan diberikan rawatan kecemasan sejajar protokol Sokongan Nyawa Trauma Lanjutan (ATLS) yang sudah dimulakan dalam ambulans.

Beliau menegaskan ahli keluarga Tan hanya diminta membayar kos pengimejan berjumlah RM2,575 setiba mereka di HSA.

Bagaimanapun, katanya, Tan dipindahkanke sebuah hospital di Singapura atas keputusan ahli keluarga selepas memahami risiko yang ditanggung mereka kerana menangguhkan pembedahan.

Pemuda berusia 25 tahun itu disahkan mati otak pada jam 5.56 petang Isnin lalu dan ibu bapanya membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayatnya, Rabu lalu.

Susulan itu, Joshua De Rozario yang merupakan rakan Tan tampil menjelaskan beliau tidak berniat menuduh atau mempertikaikan sesiapa pun susulan penafian Jabatan Kesihatan berhubung dakwaannya.

“Apabila kemalangan itu berlaku, banyak perkara berlaku serentak, jadi menunggu bantuan tiba terasa amat lama. Saya ingatkan ia mengambil masa 30 minit, tetapi catatan log mereka berbeza pula,” katanya sambil menambah halangan bahasa mungkin menyebabkan berlaku salah faham dengan kakitangan HSA pada 25 Ogos lepas.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Malaysia akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung penyiaran berita tanpa fakta itu.

Katanya, surat itu akan dihantar dalam masa terdekat, selepas pihaknya berbincang dengan bahagian perundangan kementeriannya dan Kementerian Luar.

Beliau menegaskan masalah komunikasi yang timbul ekoran kakitangan hospital berbahasa Melayu tidak boleh dijadikan alasan kerana mana-mana hospital di dunia menggunakan bahasa ibunda.

********

http://www.theindependent.sg/25-year-old-singaporean-dies-after-malaysian-hospital-demanded-cash-payment-before-treatment/

(Guna proxy atau VPN Singapore untuk akses kerana mereka block pengunjung dari luar Singapura.)

UTAMABERITAPortal Berita Singapura Mohon Maaf Tarik Balik Laporan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium