Portal Berita Pro-DAP Padam Artikel Kit Siang Dakwa Mahathir Terlibat Skandal Forex - pakdin.my

Lidah rasmi parti DAP, Roketkini, didakwa telah memadam segala artikel yang pernah mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dengan skandal dagangan mata wang asing (forex) sekitar 1990-an.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao menerusi kenyataannya kepada media menjelaskan tindakan berkenaan ekoran Dr Mahathir kini menyertai blok pembangkang bersama-sama DAP menentang Barisan Nasional (BN).

“Semua artikel yang pernah tuduh Dr Mahathir terlibat skandal rasuah, Forex dan BMF telah dipadamkan dari laman sesawang Roketkini.

“Kita tahu Kit Siang ada banyak maklumat dan beliau merupakan orang yang paling marah dengan (Dr) Mahathir ketika skandal itu pada tahun 1992 sehingga negara kehilangan berbilion ringgit,” katanya.

Menurut Ramesh, Kit Siang pada 3 Jun 2012 pernah berjanji sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya, sebuah Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) yang mencecah RM30 bilion.

“Saya menyokong penuh cadangan (Dr Rosli Yaakop, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara) … Sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih sebagai kerajaan persekutuan dalam pilihanraya umum yang akan datang, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja mestilah ditubuhkan untuk menyiasat kerugian skandal forex Bank Negara bernilai RM30 bilion dalam 1992.

“Serta terhadap semua skandal-kewangan selama tempoh 22 tahun Mahathir sebagai pemimpin negara … Dalam buku Barry Wain, yang bertajuk “Malaysian Maverick”, dalam empat skandal kewangan dalam tempoh pimpinan Mahathir jumlah kerugian yang dialami oleh Malaysia dianggarkan bernilai RM100 bilion,” kata Kit Siang.

Walaubagaimanapun, janji tersebut tinggal sekadar janji ekoran Penasihat DAP itu kini tidak lagi berminat untuk meneruskan siasatan terhadap kerugian BNM sambil menyifatkan skandal forex 1990 sebagai ‘bangkai gajah’.

‘U-Turn’ Kit Siang kata Ramesh ekoran usianya yang sudah lanjut dan beliau tidak mahu dilihat sebagai seorang pemimpin DAP yang gagal membawa kejayaan kepada parti untuk misi menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

“Anaknya sendiri sudah berjaya jadi Ketua Menteri, Lim Kit Siang berjaya jadi apa? Sebab itu kerjasama ini begitu penting kerana jika beliau pentingkan dendam dengan Mahathir, segalanya akan musnah dan tak ada harapan untuk pembangkang menang,” dakwanya.

Justeru, Ramesh menggesa Kit Siang konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat dan tidak perlu berlembut untuk mendedahkan penipuan Dr Mahathir yang melibatkan wang rakyat sehingga berbilion ringgit.

“Kalau betul, kami PMSP sedia bantu Kit Siang londehkan kejahatan Mahathir pada masa itu,” tambahnya lagi.

UTAMAPOLITIKPortal Berita Pro-DAP Padam Artikel Kit Siang Dakwa Mahathir Terlibat Skandal Forex

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium