Potensi Lumpur Banjir Akan Dikaji Oleh UniMAP - pakdin.my

unimap-kajian-lumpur

Tatkala limpahan lumpur mengundang keresahan mangsa banjir, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula bukan setakat mahu mengenalpasti punca kehadiran lumpur itu malah akan potensi ekonominya.
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata sebagai universiti berasaskan kejuruteraan dan penyelidikan, pihaknya berhasrat mengkaji manfaat yang boleh diperoleh daripada lumpur berkenaan.
Sebelum ini universiti berkenaan membantu menyelesaikan masalah banjir lumpur yang melanda daerah Sidoarjo, di Indonesia melalui penyelidikan terhadap lumpur yang dikenali sebagai “Lusi”.
Lumpur panas yang tiba-tiba muncul dari perut bumi pada 29 Mei, 2006, menyebabkan kerosakan besar harta benda di daerah itu dan sehingga kini bumi di situ masih memuntahkan lumpur misteri itu.
Lumpur itu membanjiri kawasan perkampungan, menenggelamkan bangunan kilang, rumah, kemudahan awam selain kawasan pertanian yang seterusnya menjejaskan ekonomi Jawa Timur.
KEPAKARAN UNIMAP
UniMAP telah menggunakan kepakarannya dalam teknologi geopolimer bagi mengkaji manfaat lumpur berkenaan bersama sebuah universiti Indonesia, Petra Christian University (PCU), selepas membuat tinjauan awal pada 2011.
Hasil kerjasama itu, UNIMAP membangunkan bahan binaan menggunakan Lusi yang telah kering berasaskan teknologi geopolimer dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Sivil PCU.
Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa lumpur itu boleh dijadikan bahan untuk membuat bata binaan, agregat tiruan dan bahan binaan ringan yang mana semua hasil itu mempunyai sifat yang sama dengan bahan binaan yang lazim digunakan.
KAJIAN LUMPUR PANTAI TIMUR
Proses memanfaatkan lusi di Indonesia akan turut dilakukan di negara ini selepas potensi lumpur itu dikaji oleh Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoTech) UniMAP.
UniMAP memulakan kajian awal mengenainya mengguna sampel-sampel lumpur yang dibawa pulang dari lokasi banjir ke makmal CEGeoTech untuk dikaji oleh para penyelidiknya.
Kamarudin, yang juga penyelidik geopolimer, berkata kajian awal mendapati lumpur itu mempunyai saiz partikel halus dan berpotensi untuk dibangunkan.
Antara bahan yang boleh dihasilkan melalui lumpur itu ialah bahan binaan seperti yang dihasilkan menggunakan Lusi selain bahan seramik.
Menurut Kamarudin, penghasilan bahan binaan melalui kaedah geopolimer bersifat mesra alam kerana tidak menggunakan suhu yang tinggi.
Sebaliknya, bahan utama dalam lumpur itu seperti silika dan aluminium diaktifkan menggunakan bahan kimia berasaskan ‘sodium silicate’ untuk penghasilan itu, katanya.
SUKARELAWAN UNIMAP BERGELUMANG LUMPUR
Sementara itu, UniMAP menghantar kira-kira 2,000 sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan penuntut yang melakukan kerja-kerja seperti membersihkan lumpur di kawasan yang terjejas kerana banjir di Kelantan.
“Lumpur yang terlalu banyak di semua lokasi yang dilanda banjir menyebabkan ekosistem tercemar dan terganggu sehingga mencacatkan pemandangan,” kata Kamaruddin.
Mereka adalah antara kira-kira 17,000 sukarelawan dari institusi pengajian tinggi seluruh negara yang bergelumang dengan lumpur bagi kerja-kerja gotong-royong itu.
UniMAP juga membantu memberi khidmat perubatan serta kaunseling bagi mengurangkan trauma kepada mangsa banjir.
Selain kajian lumpur, UniMAP menghantar pasukan pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meninjau dari udara kesan banjir di Tumpat, Kelantan.
UJI KEUPAYAAN UAV
Kamarudin berkata, UniMAP juga akan menjalankan penyelidikan yang memberi fokus kepada membangunkan teknologi berasaskan UAV dan sensor bagi pengesanan awal banjir.
“Inilah peluang kita untuk menguji dan menggunakan teknologi yang ada di UniMAP bagi membantu negara dan masyarakat dalam menangani bencana banjir,” katanya.
UniMAP melalui Pusat Kecemerlangan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS) juga akan menggunakan teknologi Digital Elevation Model (DEM) bagi mengenalpasti bentuk muka bumi di kawasan yang dilanda banjir.
“Berdasarkan data yang diperoleh, kita dapat mengetahui dari mana pergerakan air bermula sehingga menyumbang kepada banjir yang menakutkan itu,” katanya.
Kajian itu akan turut membabitkan kerjasama dengan beberapa syarikat terkenal seperti EMT Jerman, Drei Sohne Technologies (Deutchland) Sdn Bhd (DST) dan Aerial Imaging Sdn Bhd, tambah beliau.
TEKNIK APUNGAN TURUT DIKAJI
Selain itu, Kamarudin berharap para penyelidik UniMAP dapat membangunkan teknologi menyelamat barangan melalui teknik apungan atau pembungkusan barang bagi mengelakkan kemusnahan teruk.
Melalui teknik itu, barangan penting mungkin boleh diselamatkan.
Dalam kejadian banjir pada akhir 2014 dan awal 2015 mangsa-mangsa mempunyai kisah tersendiri yang memilukan kerana ada dalam kalangan mereka bukan sahaja gagal menyelamatkan dokumen penting malah rumah dan harta benda lain dihanyutkan arus deras.
Antara mangsa yang kehilangan rumah ialah suri rumah Siti Khadijah Mohd Nor, 48 dari Kuala Krai, Kelantan yang hilang rumah dan segala harta benda.
Yang tinggal selepas banjir hanyalah lumpur yang memenuhi kawasan tapak rumahnya.

UTAMAPotensi Lumpur Banjir Akan Dikaji Oleh UniMAP

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium