PPBM tawar RM20 ribu kepada ahli UMNO – Nazri - pakdin.my

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didakwa menawarkan kepada ahli UMNO dengan bayaran sehingga RM20,000 bagi penubuhan cawangan parti berkenaan di negeri ini.

Ketika membuat pendedahan itu, Mohamed Nazri berkata, tawaran itu dibuat kepada ahli UMNO kerana PPBM tidak mempunyai ahli di peringkat akar umbi.

Menurutnya, perkara itu antara sebab Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Rengas hari ini memutuskan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kata beliau, tindakan PPBM yang mencuri 16 kerusi Parlimen UMNO dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak memperlihatkan PPBM memecah belahkan akar umbi UMNO.

“Saya sebutkan sebelum ini UMNO berang terhadap Bersatu di Perak sebab dia (PPBM) kacau ahli kita, di kampung, ahli majlis (pihak berkuasa tempatan) pun terpaksa bagikan dengan dia walaupun dia tak ada orang.

“Dia curi orang kita, dia bagi duit kepada orang kita. Betul RM20,000 (tawaran kepada ahli UMNO buka cawangan PPBM di Perak), dia mana ada orang di Perak, ada sesetengah orang yang ditawarkan.

“Kenyataan Setiausaha Agung PPBM hendak tubuh 8,000 cawangan, boleh buat free macam UMNO?,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan Ketua Pemuda UMMO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang kerana membuat tuduhan yang berat dan tanpa bukti.

Katanya, tindakan beliau (Asyraf Wajdi) menyebut ‘setiap yang menyertai PPBM dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000’ adalah tidak dapat diterima sama sekali.

Sementara itu, Mohamed Nazri menyokong kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad semalam yang menegaskan UMNO mahu lima kerusi yang dicuri PPBM di Perak iaitu Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah dan Sungai Manik dikembalikan kepada UMNO dalam PRU-15.

“Kita tolak kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15, alasannya UMNO sebagai parti yang unggul menghadapi masalah untuk ambil semula kerusi kita daripada PPBM yang mereka curi.

“Saya sokong kenyataan Menteri Besar Perak kerusi kita di tiga Parlimen dan dua DUN mesti dikembalikan kepada UMNO, tiada kompromi dalam hal ini,” katanya.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas yakin UMNO dan Pas akan kerjasama dalam PRU-15 dan menafikan MN menghadapi masalah untuk bekerjasama.

“Kalau kita tengok di peringkat akar umbi, kerjasama kita dengan Pas begitu baik, jadi tak ada sebab kita tak boleh bersama di Perak, Selangor, Johor dan Pahang,” katanya.

UTAMAPOLITIKPPBM tawar RM20 ribu kepada ahli UMNO – Nazri

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium