PR Fokus PRU13 – Hudud Bukan Isu dan Tiada Dalam Buku Jingga #pakdin.my

Pakatan Rakyat (PR) akan terus fokus dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan tidak akan terbuai dengan isu hudud yang didakwanya sengaja di diperbesarkan oleh media massa.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat perbezaan ideologi antara Pas dan DAP mereka akan tetap berpegang kepada persetujuan yang dibuat dalam buku Jingga pada 28 September lalu.

Menurutnya, PR berada dalam semangat yang kuat dan sedikit pun tidak terjejas dengan laporan negatif mengenai hukum hudud.

“Mesyuarat hari ini juga kita tidak bincangkan hal itu, kita memfokuskan tentang isu pilihan raya.

“Saya tidak meremehkan tapi kenyataannya begitu. Pakatan Rakyat akan terikat untuk masa sekarang, dalam pilihan raya dan Insya-Allah kita akan kekal setelah membentuk kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PR di ibu pejabat PKR semalam.

Anwar berkata semua parti di dalam PR sepakat untuk memperjuangkan perkara yang dipersetujui mereka dalam konvensyen Pakatan, Buku Jingga dan konsensus tentang hudud pada 28 September lalu.

“Kita masih terikat dengan kenyataan pada 28 September, matlamat utama kita adalah penambahbaikan ekonomi, sebarang perubahan tertakluk kepada Perlembagaan dan polisi bersama yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau isu hudud itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR semalam bagi menghormati perbezaan pandangan masing-masing.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu menghormati perbezaan ideologi dan agama yang terdapat dalam PR kerana ada isu yang lebih penting yang perlu di tekankan pada masa ini iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil berbanding pelaksanaan hukum hudud.

“Kita sudah membuat kenyataan dalam isu ini sejak 28 September lalu. Kita tetap berpegang teguh mempertahankan kenyataan bersama yang telah kita persetujui seperti mana yang terkandung dalam buku Jingga.

“Dalam masa yang sama kita menghormati perbezaan ideologi dan perbezaan agama yang terdapat dalam PR. Kita mahu selesaikan isu ini bukan melalui media tetapi dengan perbincangan dalaman,” katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan, pihaknya tetap berpegang dengan prinsip yang tekankan oleh PR dalam Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Ketiga-tiga parti telah bersetuju bahawa sebarang perubahan polisi mesti mendapat persetujuan bersama secara konsensus termasuk pelaksanaan hudud.

“Bagi DAP, sangat jelas bahawa ia tidak termasuk dalam persetujuan bersama dalam Buku Jingga tetapi kami menghormati pendirian Pas dalam isu ini,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mendesak Anwar juga perlu menyatakan pendiriannya sebagai antara pemimpin utama pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

“Anwar kena membuat pengumuman rasmi bagi pihak pimpinan tertinggi pembangkang, selain menyuarakan pendiriannya sendiri berhubung pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya dengan cara itu kita lebih mudah membuat keputusan selanjutnya dan dalam hal ini, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa DAP sesekali tidak menyokong negara Islam,” katanya.

Perbalahan antara dua parti itu semakin ketara apabila Karpal secara terbuka membidas Abdul Hadi yang membuat kenyataan mengenai pelaksanaan hukum hudud di negara ini jika pembangkang memerintah.

Artikel berkaitan:

Transkrip Sidang Akhbar Pakatan Rakyat Mengenai Isu Hudud 29/9/09

Berkaitan