PRK Pmtg Pauh: Pertandingan empat penjuru - pakdin.my

prk-permatang-pauh-4-penjuru

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jusni Ismail mengesahkan pertembungan empat penjuru itu di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hampir jam 10.30 pagi tadi.

BN diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin, PKR diwakili Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail manakala dua calon bebas iaitu Ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman serta Salleh Isahak yang menggunakan logo kunci.

Seorang lagi yang pada awalnya berminat untuk bertanding bebas, Dr Abdullah Zawawi bagaimanapun membatalkan pencalonannya selepas menyedari terdapat dua calon bebas lain menyertai pertandingan.

Suhaimi mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Dr Wan Azizah dan Azman Shah pada jam 9.05 pagi manakala Salleh pada jam 9.08 pagi.

Sebelum itu, Suhaimi diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertinggi BN tiba di pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) jam 8.45 pagi tadi.

Mereka turut diiringi hampir 1,000 penyokong BN dan masuk ke pusat penamaan calon bersama pemimpin BN dan seorang penyokong serta pencadang.

Penyokong BN mula berkumpul di jalan masuk pusat penamaan calon PRK Permatang Pauh seawal jam 8 pagi sambil membawa pelbagai sepanduk.

Calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula tiba jam 8.55 pagi.

Beliau diiringi pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang antaranya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Calon bebas, Salleh Isahak yang juga seorang ahli perniagaan yang terbabit aktiviti bina insan dan motivasi menjadi calon terawal tiba di pusat penamaan calon jam 8.20 pagi diiringi pencadang dan penyokongnya.

Anak jati Kampung Sungai Sentuh, Permatang Pauh berusia 53 tahun yang mendakwa sebagai Presiden Pertubuhan Bakti Ikhlas Malaysia, (Perbaik) mengaku bekas ahli PAS dan kini ahli UMNO Cawangan Alma.

Beliau yang kali pertama bertanding menyatakan hasrat untuk menumpukan kepada kerja-kerja masyarakat, agama, dakwah dan tabligh jika terpilih.

Ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shafie, 50, pula tiba di pusat penamaan calon bersama seorang penyokong dan pencadang pada jam 9.05 pagi.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.

Pada 16 Mac lalu, Lembaga Pengampunan Diraja menolak rayuan anak dan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah dan dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan 10 Mac lalu kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. ‘

Sehubungan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka.

Untuk rekod, Anwar memenangi kerusi di Parlimen Permatang Pauh yang terbahagi kepada 3 Dewan Undangan Negeri iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir sejak 1982 menerusi tiket Barisan Nasional (PRU – 1982, 1986, 1990 dan 1995) sebelum digugurkan pada 1998.

Beliau kemudian membentuk dan mengetuai PKR, dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya memenangi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum 1999.

Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang di Selangor pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh selama tiga penggal berturut-turut bermula 1999 hingga 2008 selain pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Bermula dari ketika itu, PKR mengekalkan kerusi di Parlimen Permatang Pauh dalam empat PRU (1999, 2004, Mac 2008 dan 2013) dan satu PRK (November 2008).

Pada Pilihan Raya Kecil yang lalu, Anwar menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti undi 11, 721.

SPR menetapkan 7 Mei depan sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh, sementara pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei ini membabitkan jumlah keseluruhan seramai 71, 890 pengundi.

UTAMAPILIHAN RAYAPRK Pmtg Pauh: Pertandingan empat penjuru

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium