#PRKDUNSungaiKandis: Satu referendum Melayu - pakdin.my

PRK Dun Sungai Kandis datang pada masa yang amat menarik dan sangat mencabar kepada kedua-dua parti yang bertanding – PKR dan BN.

Ia menarik kerana inilah buat kali pertama selepas hari merdeka, BN bertanding dalam PRK sebagai pembangkang.

Jika dilihat sejarah penubuhan Umno ia bermula sebagai parti pembangkang yang bertujuan mendapat kemerdekaan negara dari British.

Justeru, Sungai Kandis adalah detik permulaan baharu kepada Umno seperti mana ia ditubuhkan pada 1946 iaitu sebagai sebuah parti penentang kerajaan.

Ia juga menarik kepada PKR dan PH.

Walaupun PH sudah sah berdaftar pada Mei 2018, namun mereka masih gagal bertanding sebagai sebuah entiti besar.

Cabaran kepada Umno dan BN ialah bagaimana mereka mahu kembali kepada mentaliti dan sikap pembangkang bagi membolehkan rakyat memberi kepercayaan kepada wakil mereka menjadi suara dalam Dun Selangor?

Kumpulan yang ada dalam Umno sekarang tidak lagi mempunyai DNA pembangkang seperti penubuhannya pada 1946.

Cabaran PKR pula ialah bagaimana kempen mereka sebagai sebuah kerajaan baharu? Jika dulu mereka mudah meletakkan kesalahan kepada kerajaan BN di peringkat persekutuan, hari ini semua itu di bawah kawalan mereka.

Cabaran-cabaran ini hanyalah cabaran politik kepartian dan organisasi yang tidak begitu penting kepada orang Melayu dan agama Islam.

Selepas PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, banyak keputusan-keputusan dan pelantikan yang dilihat menggores orang Islam terutama masyarakat Melayu.

Namun apakah ia realiti atau hanya pandangan Melayu ortodoks, lama dan konservatif yang tidak lagi mewakili pandangan majoriti Melayu bandar yang sudah terbuka dan bersikap liberal?

Justeru PRK Sungai Kandis yang mempunyai pengundi Melayu melebih 70% ini adalah referendum terbaik untuk masa depan Melayu dan Islam.

Jika calon BN, Lokman Nor Adam menang ia akan memberi isyarat bahawa Melayu belum bersedia melepaskan kedudukan masyarakat Bumiputera dan agama Islam yang merupakan sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan lalu.

Jika calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, menang besar seperti keputusan Pilihan Raya Umum lalu ia memberi isyarat bahawa Melayu bandar sudah tidak peduli semua perjuangan lalu dan PH bebas merombak apa sahaja yang mereka mahu dalam tempoh lima tahun ini.

Hentikanlah beri alasan benci sikap pemimpin Umno, BN dulu korup dan calon ada cacat cela. Hentikanlah cakap soal sejarah dan persepsi lampau. Kerajaan baharu sudah ada kuasa melakukan segala siasatan dan pendedahan. Ini soal masa depan negara ini.

Pengundi Melayu dan Islam sama ada dalam Umno, Pas, PKR, Bersatu dan tidak berpartisan harus membuat keputusan sama ada mereka mahu kekal taasub kepada parti atau mahu memberi isyarat jelas kepada Pakatan Harapan bahawa undi lalu bukan untuk mereka merombak status quo kedudukan Islam, Bumiputera, bahasa Melayu dan raja-raja Melayu.

Pilihan raya ini tidak memberi apa-apa signifikan kepada kerajaan negeri Selangor. Sesiapa kalah atau menang PKR tetap memerintah negeri namun ia sangat penting kepada orang Melayu dan Islam.

Justeru isu di Dun Sungai Kandis ini hanya satu, apakah orang Melayu merelakan semua yang berlaku sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa?

Orang Melayu dan Islam dalam Dun Sungai Kandis harus membuat keputusan sama ada mereka mahu taasub kepada PKR dan Dr Mahathir membuta tuli; atau memberi isyarat bahawa Melayu tidak rela Pakatan Harapan meruntuhkan kedudukan status quo kedudukan Islam, Bumiputera, bahasa Melayu dan raja-raja Islam yang telah dibina sejak 60 tahun lalu.

Dengan pengundi Cina menjadi semakin taasub kepada DAP, tidak penting Lokman kalah atau menang. Kita hanya ingin majoriti undi Melayu pergi kepada Lokman supaya DAP tidak menjadi terlalu berkuasa dan bermaharajalela dalam Pakatan.

Pencalonan Lokman Nor Adam ini adalah satu ujian kepada orang Melayu sahaja. Lokman orang paling ke hadapan memperjuangkan isu Islam dan Melayu selepas PRU14. Ini adalah satu referendum mengenai kedudukan agama Islam, orang Melayu, bahasa Melayu, dan raja-raja Melayu.

Jika undi Melayu banyak kepada PKR bermakna mereka merestui segala tindak tanduk kerajaan hari dalam hal-hal membabitkan kepentingan Bumiputera dan agama Islam. Maka sukar untuk Umno dan Lokman sendiri terus bersuara lantang mempertahankan asas kemerdekaan negara Malaysia ini.

Dan suatu hari nanti jika orang Melayu dan agama Islam hilang segala-galanya di negara ini, pengundi Melayu di Sungai Kandis adalah pencetusnya.

Pisau dan mentimun di tangan pengundi Melayu Dun Sungai Kandis! Sejarah akan menghakimi kita semua, namun anda ada peluang untuk memberi isyarat jelas kepada kerajaan baharu.

-Ab Jalil Backer
Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

…………..
https://pakdin.my/tag/prk-sungai-kandis

UTAMAPILIHAN RAYA#PRKDUNSungaiKandis: Satu referendum Melayu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium