PRN Melaka: PAS pilih kolam PN, selama-lamanya atau hanya di Melaka? #pakdin.my

Akhirnya PAS buat keputusan setelah didesak banyak kali oleh Umno. Terbaharu oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan beberapa hari lalu. Pilih Umno atau Bersatu. Iklim politik sekarang, kata Tok Mat, tak boleh letak sebelah kaki sini sebelah kaki sana.

Pilih siapa mereka nak sokong dan jangan lagi berjinak-jinak dengan Umno-BN tetapi pada masa yang sama berjinak jinak dengan Bersatu-PN, kata beliau.

Muhyiddin Yassin pula selaku Presiden Bersatu menasihati PAS “berhati-hati memilih kawan”.

PAS memilih untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan diadakan 20 November ini. Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media PAS Pusat yang ditandatangani Presiden Abdul Hadi Awang.

Sekali gus mendorong ketua penyelidik Ilham Centre Dr Yusri Ibrahim memberi komen: “Biasanya setiausaha agung yang buat siaran media, kali ini presiden sendiri. Maksudnya kenyataan ini sangat penting dan tegas”. Saya setuju dengan komen itu walaupun kenyataan Hadi memapar hanya dua perenggan.

Dengan itu, PAS mengucapkan selamat tinggal kepada Umno. Sekurang-kurangnya buat masa ini dan di Melaka. Bagi saya langkah “mengorbankan” lambang sendiri tidak merugikan walaupun diakui tentu ada ahli PAS yang sedih. Apa tah lagi PAS tidak pernah segan untuk melaung kata-kata mereka parti dominan lalu bertanding mesti guna lambang sendiri.

Realitinya PAS tidak pernah berkesan di Melaka. Sejak bertahun tahun lambang PAS tidak boleh “dijual” di Melaka. Ertinya PAS tidak menarik minat orang Melaka. Mungkin ada sokongan dalam kalangan tertentu orang Melayu-Islam negeri itu, tetapi ia belum diterjemahkan dalam bentuk undi atau sokongan bermakna untuk PAS setakat ini.

Justeru, kali ini PAS berlindung di sebalik lambang PN. Cuba jual PN bukan PAS sendiri. Tengok macam mana gamaknya. Untung sabut timbul untung batu tenggelam.

Sekarang PAS tidak boleh dituduh mahu makan keliling dan main dalam dua kolam. Sekarang PAS berenang dalam satu kolam. Bersama Bersatu dalam kolam PN. Maka timbul juga pelbagai persoalan.

Adakah langkah PAS ini bermakna Muafakat Nasional yang mereka tubuh bersama Umno pada 2019 “demi perpaduan ummah” sudah dengan rasminya tiada lagi?

Adakah PAS akan guna lambang PN juga untuk PRU15 kelak? Atau hanya di Melaka? Sekadar eksperimen?

Azlan Zainal pengarah operasi Ilham Centre sememangnya melihat langkah PAS itu satu eksperimen besar menuju PRU15. Fokus PAS, kata beliau, tertumpu kekal menang di negeri sedia ada – Kedah,Terengganu, dan Kelantan.

“Hakikatnya dalam konteks Melaka, PAS sendiri tiada kekuatan. PAS sedar PN hanya bergantung kepada imej Muhyiddin untuk dijual, tiada akar umbi kuat berbanding Umno,” kata beliau.

Lalu mengapa buang Umno dan pilih PN? “Atas nama perkukuh PN ia dilihat lebih strategik berbanding berebut persaingan kerusi bersama Umno yang belum tentu hasilnya,” menurut Azlan.

Secara peribadi saya sendiri berpendapat rundingan untuk agihan kerusi lebih mudah untuk PAS dengan Bersatu berbanding Umno kerana ia parti dominan.

Dengan Bersatu, PAS boleh ‘tunjuk kuat’ dalam membuat tuntutan. Dengan Umno itu tidak boleh atau sukar dilakukan kerana Umno sendiri boleh tunjuk kuat.

Apa pun di Melaka pertandingan tiga penjuru semakin jelas . Mungkin lebih daripada tiga, jika diambil kira penyertaan calon ‘bebas’ dan kemungkinan wujud gandingan politik tertentu. Kata Azlan dalam meraih kemenangan pasti ada yang terkorban.

Penulis politik veteran dan pemerhati PAS, Mohd Sayuti Omar, berkata PAS “tumpang lambang PN kot-kot menguntungkan.

“PAS kira berjudi juga dalam hal ini. Bila guna logo PN kalau kalah ia tak jejaskan PAS secara langsung, ” kata beliau.

Pun begitu, dengan langkah ini, secara teknikalnya, kata Sayuti, Muafakat Nasional sudah tiada dan “dalam konteks ini Umno dilihat lebih prinsip”.

Beliau mengakui agak sukar meramalkan sama ada PAS akan turut menggunakan lambang PN pada PRU15. Di Kelantan, Terengganu dan Kedah “susah untuk PAS buang bulan purnama mereka,” kata Sayuti.

“Orang Melayu sungguh sentimental dengan simbol itu. Jadi kalau perasaan itu kuat akan menyebabkan PAS tidak bersedia untuk guna lambang PN di seluruh negara,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau melihat tidak mustahil PAS kembali kepada Umno dan hidupkan semula Muafakat Nasional kalau semua calonnya kalah dan Umno pula menguasai Melaka.

Jika itu berlaku, kata Sayuti, PAS akan berpatah balik “sebab bagi PAS tindakan begitu dianggap sebagai politik sejahtera”.

Lipatan sejarah politik tanahair mencatatkan PAS menggunakan lambang BN pada 1974 hingga 1978. Lambang PN agaknya bagaimana pula?

Berkaitan