#PRNJohor: ‘Saya keluar parti lepas DUN bubar sebab Muhyiddin tidak tekan butang’ - pakdin.my

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad menganggap mereka yang mengkritik keputusannya keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tidak faham dengan tindakannya itu.

Bekas Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu berkata, mereka melontarkan kritikan yang amat lemah dan tidak berasas termasuk mempersoal tindakannya keluar Bersatu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Jelas bila saya katakan saya tidak akan bertanding maknanya saya lepaskan semua. Bagaimana saya boleh jadi Exco lagi dan pegang jawatan lembaga pengarah mana-mana syarikat milik kerajaan (GLC) jika saya bukan lagi ahli politik?

“Kenapa saya keluar parti lepas bubar DUN? Sebab saya tunggu ‘butang’ yang tidak ditekan-tekan selama ini walaupun sokongan untuk berbuat demikian telah diberi kepada Presiden parti.

“Mana maruah kita bila dicabar? Mampukah saya lakukan seorang diri apatah lagi amaran telah diberi, jika sesiapa melompat atau bertindak keluar parti yang mana boleh menggugat kestabilan politik di Johor, DUN akan dibubarkan.

“Sebab itu semua patuh kepada titah Tuanku. Jadi Bersatu kena terima hakikatnya dan hormati pandangan akar umbi semua,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, Mohd Izhar mengumumkan keluar Bersatu kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti selepas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang melakukan langkah yang sama pada Rabu.

Pada 12 November lalu, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mencabar Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan UMNO Johor sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) berbuat demikian.

Susulan itu Muhyiddin menyifatkan kenyataan Shahrir itu sebagai ‘kurang bijak’ selain berniat jahat.

“Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor,” kata Muhyiddin.

Pada 12 Ogos lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah merasmikan sidang DUN Johor, mengingatkan wakil rakyat supaya tidak bermain politik dan jika ada pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri, baginda tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN.

UTAMAPILIHAN RAYA#PRNJohor: 'Saya keluar parti lepas DUN bubar sebab Muhyiddin tidak tekan butang'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium