#PRNMelaka: ‘Aku Janji’ calon PN hanya silap mata Muhyiddin?

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini membawa maksud segala nilai baik dan murni dalam proses pembinaan jati diri seseorang insan haruslah ditanam sejak awal usianya lagi.

Malangnya, kata-kata keramat ini tidak sesuai dipakai dalam pembentukan watak peribadi politikus, terutama untuk menjadi wadah sesebuah pergerakan atau parti politik.

Dalam dunia siasah, tipu helah, pemikiran, dan peribadi yang buruk lebih afdhal digunakan dalam pentarbiyahan hulubalang dan pemimpin partai politik. Lebih banyak muslihat dan strategi kotor lebih baik dalam berpolitik.

Dalam kes Bersatu peribahasa yang lebih sesuai mendasari doktrin perkaderannya ialah “bak ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Pendekatan ini pasti menjerumuskan politik Malaysia ke arah kehinaan.

Justeru, arahan pimpinan Bersatu mewajibkan calonnya menandatangani ‘Aku Janji’ dalam PRN Melaka haruslah dianggap sebagai gimik semata-mata. Rasional presidennya, Muhyiddin Yassin, kononnya langkah ini mengukuhkan integriti parti dan bolehlah dianggap sebuah seloroh politik belaka.

Ini dapat dilihat dengan nyata dari amalan dan tindakannya dalam sejarahnya singkat parti itu. Ahli dan penyokongnya “diternak” dengan unsur curang dan pembohongan. Bagaimana Aku Janji akan meningkatkan kewibawaan parti jika ia berbaur dengan hasad dengki dan penipuan?

Melalui tipu muslihat, Bersatu menikmati keseronokan memimpin tampuk kerajaan buat seketika sebelum terpaksa menyerahkannya kepada Umno. Muhyiddin terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri apabila tindakan politik tidak jujurnya terbongkar.

Menggunakan silap mata politik ketika Umno masih termangu selepas ditumpaskan pakatan DAP, PKR, dan Amanah (Pakatan Harapan), Muhyiddin berpura memulihkan semangat Umno dengan menggerakkan strategi Langkah Sheraton seraya merekrut PAS dan beberapa politikus Sabah dan Sarawak serta memancing katak-katak politik PKR dan Umno.

Mahathir yang memang arif soal sifir majoriti ini faham sifir Muhyiddin melalui politik kataknya dan secara prinsipnya beliau terpaksa meletak jawatan.

Mantera politik sama digunakan ke atas Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti tempatan di Sabah yang melihat keupayaan Muhyiddin membawa kolaborasi partai Sabah dan Sarawak sebagai kepimpinan yang berkesan.

Muhyiddin mudah mencalonkan dirinya apabila Mahathir berhenti dan dia pun terpilih oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri ke-8 Malaysia. Kedaulatan rakyat yang mengundi PH dipinggirkan dan Muhyiddin menjadi ‘hero’ sementara.

Strategi Muhyiddin mengancam lunas demokrasi. Malangnya, PAS pula memang lama mengidam berada dalam kerajaan. Tanpa segan dan setelah sekian lama menuduh perjuangan Umno landasan kafir, ia memutuskan untuk menyokong kerajaan Muhyiddin.

Mutu kepemimpinan sebenar Muhyiddin segera terserlah. Pentadbirannya lemah dan kerajaannya lesu. Hakikat ini tidak dapat disembunyikan. Dalilnya, Muhyiddin tidak berani menghadapi media massa. Ini fakta.

Bagaimanapun, sebelum kecurangan politik dilondehkan media beliau letak jawatan dan segera menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Umno yang kebetulan bak “ayam tidak berkepala”.

Muhyiddin masih bernafsu untuk berkuasa. Tanpa segan silu beliau menerima diplomasi penggantinya, Ismail Sabri Yaakob, untuk menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Dia melihat di situ masih ada bibit kuasa yang boleh merubah status quo politik negara.

Mahathir menghidu helah Muhyiddin ini. Beliau sendiri menawarkan diri untuk membantu proses pemulihan negara sebagai pengerusi majlis berkenaan.

Tatkala politik curangnya mulai dihidu Muhyiddin cuba mengumpul saki baki integritinya dengan membuat dakwaan bahawa beliaulah yang menubuhkan Bersatu kononnya untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh kleptokrat Umno.

Bagaimanapun dakwaan ini disanggah oleh pejabat Mahathir yang menganggap dalam kes ini Muhyiddin hanyalah kontraktor yang diarahkan oleh Mahathir, arkitek sebenar projek Bersatu itu. Mesejnya, Muhyiddin hanya ikut arahan.

Perpecahan dalam Bersatu dan seterusnya PH ketika itu sendiri dikaitkan dengan dakwaan tertentu yang melibatkan Muhyiddin sendiri.

Ini boleh dibaca (dikesan) dalam buku mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik – “Memori bukan memoir” – yang mendedahkan bahawa Muhyiddin juga terpalit dengan skandal tertentu.

“Saya sering ditanyakan apakah permintaan PM ke-7 (Tun Mahathir) untuk saya memulangkan jawatan kepada beliau adalah disebabkan oleh isu 1BestariNet atau lebih khusus kontrak YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) dengan Kementerian Pendidikan yang penuh kontroversi.

BACA sini:
“1BestariNet, siasat segera demi kepentingan umum”

1BestariNet, siasat segera demi kepentingan umum

“Saya tidak boleh mengatakan hal ini satu-satunya sebab, namun boleh saya katakan hal itu merupakan antara sebab mengapa Perdana Menteri meminta saya berbuat demikian, dan menurut beliau, atas permintaan Presiden Parti Bersatu ketika itu,” tulis Maszlee.

Kontrak mega perkhidmatan 1BestariNet yang bermula pada tahun 2011 telah diusahakan Menteri Pelajaran ketika itu – Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Projek tiga fasa bernilai RM3.3 bilion itu harus siap Jun 2019. Beberapa jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan membuat rumusan projek yang dimulakan Muhyiddin itu tidak mencapai matlamatnya.

Memecat menteri yang membuktikan bahawa projek raksasa itu gagal mencapai matlamat bukan tindakan yang baik. Malah, ia membayangkan “Aku Janji” yang dipaksakan ke atas calon-calon PN dalam PRN Melaka tidak lebih daripada gimik untuk menutup sifat curang yang mewarnai Bersatu selama ini.

Berkaitan