#PRNMelaka: Arwah bapaku inspirasiku – Khaidhirah, Zulkiflee #pakdin.my

Menyaksikan sendiri usaha ayah mereka menjaga kebajikan dan menyelesaikan isu masyarakat menjadi inspirasi kepada dua anak bekas Ketua Menteri Melaka untuk mengikuti jejak langkah ayah mereka menceburi politik.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar merupakan anak perempuan kepada Ketua Menteri Melaka ke-8 Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin manakala calon BN bagi kerusi Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin, merupakan anak Ketua Menteri Melaka ke-7 Allahyarham Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani.

Bagi Khaidhirah beliau membesar dengan menyaksikan ayahnya bekerja demi rakyat dan itu menjadi inspirasi kepadanya, untuk aktif dalam arena politik.

Khaidhirah yang lebih mesra dipanggil ‘Dira’ berkata beliau merasakan perkhidmatan serta perjuangan ayahnya itu sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat, namun tidak kesemua individu menjadikan perbuatan membantu rakyat itu sebagai satu tanggungjawab.

“Sesetengah orang hanya menjaga diri sendiri sahaja. Jadi, mengambil rasa itu (berkhidmat kepada masyarakat) dan juga meneruskan rasa tanggungjawab daripada ayah saya kepada masyarakat, saya tinggalkan dunia seni saya (untuk menceburi bidang politk),” katanya kepada Bernama, di sini.

Khaidhirah berkata sebagai anak bekas Ketua Menteri, status itu bukan tiket mewah untuk beliau mudah mendapatkan pengaruh, malah menjadi satu tanda aras yang perlu dicapainya untuk melakukan perkhidmatan setaraf atau lebih baik daripada ayahnya.

“Matlamatnya (setelah menjadi calon) nombor satu adalah menjaga nama baik, nombor dua adalah demi masyarakat dan memenuhi cita rasa masyarakat hari ini, berbanding dahulu mungkin berbeza dia punya selera (kemahuan rakyat). Saya perlu kejar semula dengan kerja-kerja yang dibuat dan ditinggalkan arwah,” katanya.

Khaidhirah berkata beliau menceburi bidang politik atas kesanggunpannya sendiri, kerana Allahyarham Abu Zahar tidak pernah melarang atau memaksanya melakukan sesuatu dalam kehidupan, tetapi cukuplah sekadar beliau tidak melanggar nilai kehidupan yang diajar dan mampu menjaga diri.

“Dia (Allahyarham Abu Zahar) cuma cakap kau jagalah diri kau. Saya mula terlibat secara aktif selepas dia meninggal, bukan sebab dia tinggalkan pesan, tetapi saya rasa saya sendiri yang nak teruskan, jadi saya buat benda ini (berpolitik) atas kesanggupan saya sendiri,” katanya.

Abu Zahar yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka kelapan meninggal dunia di kediamannya di Merlimau, Jasin akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang pada 12 Julai 2013.

Khaidhirah berhadapan pertembungan tiga pejuru bagi merebut kerusi Rim antara beliau, B. Prasanth Kumar mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Azalina Abdul Rahman (Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin berkata beliau dibesarkan dalam keadaan suasana politik 70-an, iaitu ketika Allahyarham ayahnya Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani menjadi wakil rakyat ketika itu, dan dilihat begitu mesra dengan masyarakat.

Zulkiflee berkata permasalahan rakyat ditangani begitu pantas, serta tiada banyak protokol di antara rakyat dengan Allahyarham ayahnya itu, membuatkan beliau terfikir untuk mengikut cara bapanya berpolitik.

“Maksudnya kalau rakyat susah, dia sama-sama susah, kalau rakyat senang, dia sama-sama senang. Saya melihat keakraban di antara arwah ayah dengan penduduk ataupun pengundi pada masa itu DUN Melekek (kini dikenali sebagai Taboh Naning), saya melihat begitu akrab sekali.

“Saya masih teringat-ingat bagaimana saya melihat ayah melayani tetamu ataupun rakyat dengan begitu baik. Insya-Allah saya rasa saya boleh memahami apa sebenarnya kehendak pengundi dalam Taboh Naning ini, insya-Allah,” katanya.

Zulkiflee berkata Allahyarham Mohd Zin yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka ketujuh tidak pernah berpesan kepadanya supaya berkecimpung dalam arena politik, namun semangat beliau bagi membantu rakyat menyebabkan beliau menyertai bidang politik.

Beliau berkata beliau tidak mahu dibayangi nama arwah bapanya apabila menceburi bidang politik, kerana beliau lebih suka dengan caranya sendiri.

“Kalau saya nak membentuk cara arwah saya berpolitik, memang saya ingat saya tak termampu, tetapi setidaknya saya memahami bagaimana cara kesusahan dia, melayan penduduk, pengundi, tetapi akhirnya saya nampak benda yang positif.

“(Tekanan) pada saya tidak kerana seperti mana saya kata tadi, saya bergerak atas nama Zulkiflee bin Mohd Zin, bukan Zulfikflee bin Datuk Seri Mohd Zin,” katanya.

Mohd Zin meninggal dunia akibat diserang angin ahmar pada 14 Mei 1997.

Zulfkiflee juga berhadapan pertembungan tiga penjuru antara beliau, Abu Hashim Abdul Samad (PN) dan Zairi Suboh (PH) bagi perebutan kerusi Taboh Naning dalam PRN Melaka kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

Berkaitan