Program Perumahan Generasi Kedua Felda Dicadang Sedia Rumah Lebih Murah - pakdin.my

rumah-felda-generasi-2KUALA LUMPUR: Felda pada Sabtu diminta mempertimbang untuk mewujudkan rumah dengan harga lebih murah iaitu antara RM25,000 dan RM40,000 sebagai alternatif kepada cadangan sedia ada di bawah program perumahan generasi kedua Felda.

Pengerusi Gabungan Warisan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail berkata ia bagi membantu golongan berkenaan yang berpendapatan rendah dan kurang kemampuan di 317 penempatan peneroka Felda di seluruh negara.

Menurutnya cadangan asal menetapkan rumah itu dijual pada harga antara RM70,000 dan RM80,000.

“Generasi baharu Felda ini bukan semua mereka bernasib baik, jadi kita nak menyediakan rumah untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 termasuk yang mempunyai tanggungan lebih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hala Tuju dan Impak Perumahan Generasi Baharu Felda di Subang, Sabtu.

Cadangan itu merupakan antara resolusi yang dirumus pada seminar sehari yang diadakan dengan kerjasama Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Skim Kredit Jaminan Pinjaman (SKJP), Pertubuhan Kontraktor Generasi Felda Malaysia serta 14 persatuan gabungan GWGF.

Dalam Belanjawan 2013, Felda antara lain diberi tanggungjawab membina 20,000 unit rumah untuk generasi baharu dalam tempoh lima tahun.

rumah-felda-generasi-2sRozali berkata antara resolusi lain yang dicapai pada seminar itu ialah mewujudkan jawatankuasa perancangan dan perlaksanaan melibatkan agensi kerajaan, kerajaan negeri, Felda dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi memantau perjalanan program perumahan berkenaan.

Ia turut meluluskan resolusi berkaitan lokasi projek perumahan itu selain bersetuju mengadakan perbincangan dengan pihak bank dalam masa terdekat berhubung kelulusan pembiayaan rumah, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen pendapatan.

“Kita bercadang berjumpa dengan pihak Felda bagi berbincang mengenai resolusi yang dicapai hari ini minggu hadapan,” tambah Rozali.

UTAMAProgram Perumahan Generasi Kedua Felda Dicadang Sedia Rumah Lebih Murah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium