27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 29, 2020

PTPTN: Talian Hayat Untuk Menimba Ilmu

“Tanpa PTPTN saya tak akan mampu menghantar anak saya ke universiti walaupun universiti yang murah.

“Dengan keadaan saya serta tanggungan keluarga yang lain, saya hanya mampu menyara keperluan hariannya,” ini luahan hati Zulkiple Ibrahim, seorang penjawat awam dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pembiayaan pendidikan PTPTN membolehkan anak sulungnya, Muhammad Zul Azrai dapat menjejakkan kaki ke menara gading pada 2010 selepas lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan memperoleh 8A.

Zul Azrai kini mengikuti pengajian kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Petronas, Bandar Sri Iskandar, Perak. Dia kini berada pada tahun dua.

Menurut Zulkiple, dengan adanya pembiayaan pendidikan PTPTN, dia tidak lagi bimbang dengan keperluan membayar yuran pengajian anaknya serta kos hostel.

“Kalau saya mampu saya memang tidak suka meminjam tetapi dalam keadaan kehidupan sekarang ia adalah satu keperluan.

“Dan memanglah adat meminjam mesti bayar balik. Nama pun pinjaman. Mana ada pinjaman yang percuma.

“Lagi pun kadar bayaran balik pinjaman PTPTN ini rendah, hanya satu peratus. Dulu memanglah tinggi empat peratus, Lagi pun kalau dapat markah tinggi, pinjaman ini boleh ditukar kepada biasiswa,” kata Zulkiple.

TALIAN HAYAT

Sejak diperkenalkan kira-kira 15 tahun lepas, PTPTN atau Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional mengeluarkan sekitar RM43 bilion untuk membiayai pengajian mereka yang berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

Tahun ini sahaja seramai 46,698 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf, ditawarkan tempat di 17 institusi pengajian awam (IPTA) dan tiga Politeknik Premier.

Bagi pelajar yang berjaya dan daripada golongan yang berkemampuan, masalah kewangan bukan lagi isu besar yang boleh membantutkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran.

Kemudahan pembiayaan pendidikan PTPTN boleh dilihat sebagai talian hayat untuk mereka yang tidak berkemampuan tetapi berpeluang meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, PTPTN baru-baru ini mengumumkan peruntukan dana RM49 juta untuk diagih-agihkan sebagai Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP), PTPTN untuk 32,777 pelajar di seluruh negara bagi kemasukan Mei dan Jun lepas.

DASAR PENDIDIKAN

Amat prihatin kepada keperluan pendidikan, aspek ini antara yang menjadi tunjang kepada dasar pembangunan negara ini sejak merdeka.

Dasar ini berterusan dalam apa juga suasana ekonomi yang menghimpit kewangan negara dan sehinggalah membawa kepada penubuhan PTPTN pada 1997.

Cuma sejak kebelakangan timbul desakan daripada beberapa pihak supaya PTPTN dimansuhkan.

Bagi Mohamad Azhar Hashim, Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), perbincangan mengenai PTPTN perlu melihatnya dari segi kerangka sistem ekonomi negara dan Dasar Pendidikan Negara.

“Kita juga perlu mengkaji sejarah pendidikan Malaysia dan betapa seriusnya kerajaan berhubung soal pendidikan rakyat. Ini kita boleh lihat dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).


“Pada waktu itu kita banyak menghantar pelajar ke luar negara di samping membiayai pelajar di dalam negeri dengan tajaan kerajaan dan agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara),” jelasnya dalam wawancara dengan Bernama di Ikim di sini baru-baru ini.

Mohamad Azhar menambah, melalui dana kerajaan, secara purata Malaysia menghantar sekitar 5,000 pelajar ke luar negara setiap tahun sejak 1970 hingga 1980-an.

Pada 1980-an sahaja, terdapat kira-kira 50,000 pelajar Malaysia di luar negara.

“Ini satu dasar yang negara lain tidak buat. Kerajaan mendokong dasar ini ketika itu kerana negara kita tidak mempunyai kemudahan pembelajaran peringkat tinggi yang mencukupi.

“Universiti-universiti kita pun pada masa itu masih dalam peringkat pengembangan dan sebagainya dan tidak dapat menyerap pelajar.

“Dasar ekonomi kerajaan masa itu adalah untuk memajukan negara menerusi pembentukan modal insan dengan keperluan dalam bidang-bidang tertentu,” jelas beliau.

UBAH DASAR

Kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada tahun 1983 turut menjejaskan pendapatan negara yang rata-ratanya bergantung kepada eksport bahan mentah seperti getah dan bijih timah.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengkaji semula perbelanjaan dengan membuat pengurangan di mana yang perlu termasuk pembiayaan pelajar ke luar negara.

Menurut Mohamad Azhar, kerajaan sebelum ini memberi biasiswa kepada pelajar dan ia banyak menimbulkan isu termasuk pelajar tidak mahu bekerja dengan kerajaan selepas tamat belajar.

Katanya, ada juga pelajar yang balik tetapi tidak mendapat pekerjaan kerana kemelesetan ekonomi dan kerajaan terpaksa melepaskan mereka daripada ikatan.

Felo Ikim itu menambah kekangan perbelanjaan menyebabkan kerajaan kemudiannya mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara dan menawarkan pinjaman untuk menggantikan biasiswa.

“Pinjaman masa itu boleh ditukar kepada biasiswa jika pelajar memperoleh keputusan baik.

“Kalau yang perlu membayar balik pun, ia tidaklah membebankan. Bagaimanapun ada pelajar yang balik tetapi tidak menghubungi pembiaya mereka seperti Mara atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

PENUBUHAN PTPTN

Mohamad Azhar turut memberitahu keadaan di mana ada pelajar termasuk pelajar daripada kaum lain yang tidak mendapat kemudahan pinjaman dan terpaksa meminjam daripada bank dengan kadar faedah yang tinggi.

“Dalam hal ini kerajaan perlu berlaku adil dan setelah mengambil kira semua faktor, maka tertubuhlah PTPTN sebagai pusat sehenti untuk membiayai pengajian peringkat tinggi,” jelas beliau.

PTPTN bukan sahaja untuk pelajar lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) tetapi juga bagi mereka yang sudah bekerja tetapi mahu meneruskan pendidikan.

Ia juga dibuka untuk semua kaum tetapi malangnya kerajaan sekali lagi berdepan dengan kekangan kewangan apabila negara sekali lagi dilanda kemelesetan ekonomi pada 1997.

“Kemelesetan ekonomi menyebabkan pendapatan megara berkurangan tetapi kerajaan masih terus memberi pembiayaan walaupun dalam bentuk pinjaman,” jelas Mohamad Azhar.

Felo Ikim ini juga berpandangan dasar pembiayaan pendidikan PTPTN tidaklah sampai ke tahap menekan rakyat seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Mereka yang membuat dakwaan tersebut juga, katanya perlu melihat PTPTN ini dalam konteks ekonomi yang lebih luas.

Katanya, struktur pembayaran balik PTPTN juga adalah pada kadar mampu.

“Mula-mula dulu memanglah kadar faedah empat peratus di mana kadar faedah pinjaman bank pada masa itu adalah antara 9 hingga 10 peratus. PTPTN sudah menurunkannya kepada satu peratus.

“Kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan kadar faedah pinjaman bank sekarang iaitu purata sekitar enam peratus,” jelasnya.

JADI POLEMIK

Polemik PTPTN sejak kebelakangan ini menjadi begitu hangat dengan desakan kerajaan menyediakan pendidikan percuma.

Mohamad Azhar yang mengulas isu ini berkata memang ada negara di dunia seperti Turki dan negara-negara Scandinavia yang memberi pendidikan percuma.


“Kos pembiayaan pendidikan percuma tersebut ditanggung pembayar-pembayar cukai yang dikenakan cukai yang tinggi.

“Seperti di Norway, cukai pendapatan di sekitar 50 peratus. Kita purata 25 peratus.

“Kalau kita hendak buat, kerajaan mungkin terpaksa mengenakan cukai yang lebih tinggi. Siapa yang akan menanggungnya? Mungkin ibu bapa pelajar sendiri,” jelas Felo Ikim itu lagi.

Dalam masa yang sama beliau berkata isu pendidikan percuma perlu dibincangkan secara mendalam bukan di kaki lima atau ceramah-ceramah politik.

“Desakan untuk memansuhkannya juga perlu kajian yang mendalam tetapi perlu diingat tidak akan ada satu dasar yang boleh memuaskan hati semua pihak,” tegasnya.

JEJAS MUTU

Mohamad Azhar turut berpandangan sebarang tindakan mengadakan pendidikan percuma di peringkat tinggi mungkin akhirnya akan menjejaskan mutu pendidikan.

Beliau mengaitkan hujahnya dengan aspek pengurusan tadbir universiti yang membabitkan kos yang tinggi.

Ia termasuk mengambil perkhidmatan tenaga pengajar dan pensyarah serta keperluan terus berkembang bukan sekadar menjadi “pengguna” ilmu bahkan perlu bergerak ke arah menjadi “pengeluar” ilmu.

Seseorang pensyarah itu, katanya bukan sahaja mengajar tetapi perlu membuat penyelidikan, menghadiri persidangan dan seminar dan membentang kertas kerja di dalam dan luar negara.

“Semuanya ini membabitkan kos dan dalam kerangka ini siapa yang akan membiayainya? Di sinilah pentingnya mengapa perlu ada yuran pelajar di samping pemberian geran kerajaan dan kerjasama dengan rakan kongsi luar negeri,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, dengan adanya yuran dikenakan ke atas pelajar, pensyarah boleh memberikan perkhidmatan mereka di universiti lain untuk meningkatkan pendapatan berkongsi ilmu mereka.

“Pensyarah dibayar sekitar RM300-RM400 sejam untuk mengajar kursus sambilan. Bukan sahaja pensyarah dapat berkongsi ilmu malah dapat memperoleh pendapatan serta dalam masa yang sama meningkatkan mutu pengajian,” katanya.

Beliau menambah gaji pensyarah antaranya mungkin terkesan dan menjadi rendah jika pendidikan percuma dilaksanakan dan keadaan tersebut boleh membuatkan mereka berhijrah ke negara lain.

Pensyarah Malaysia, tambahnya sememangnya mempunyai reputasi yang baik di kalangan institusi pengajian tinggi di luar Negara.

“Sekiranya mereka berhijrah, ini akan merugikan negara. Oleh itu, pendidikan percuma yang tidak berkualiti, tak ada faedahnya,” tegas Felo Ikim ini.

BAHAYA MORAL

Masih lagi mengulas isu pendidikan percuma, Felo IKIM itu turut melahirkan kebimbangannya berlaku kemudaratan moral jika pendidikan percuma dilaksanakan.

Seperti katanya, adalah menjadi fitrah manusia tidak menghargai apa sahaja yang percuma dan aspek ini sinonim dengan sikap dan budaya rakyat Malaysia.

“Kalau pendidikan dijadikan percuma kita bimbang pelajar kurang komitmen belajar dan mungkin ada yang langsung sampai tidak menamatkan pengajian.

“Lain ceritanya kalau emak ayah yang bagi duit. Lebih-lebih lagi kalau dia anak nelayan atau penoreh getah, tahu keluarganya orang susah.

“Sudah tentu dia akan gunakan wang itu dengan sebaik-baiknya, belajar elok-elok, dapat ijazah dan bina kehidupan,” kata Mohamad Azhar.

Menurut beliau, komitmen yang sama akan ada pada diri pelajar jika dia meminjam untuk melanjutkan pengajian.

Pelajar tersebut akan merasa tanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

BELUM BERSEDIA

Mohamad Azhar berkata meskipun pendidikan percuma itu satu keperluan tetapi minda rakyat Malaysia belum bersedia untuknya berdasarkan keadaan semasa.

Menurut beliau, dengan dasar pendidikan yang ada sekarang pun ramai pelajar yang tercicir dan banyak berlaku masalah sosial termasuk kes pembuangan bayi.


“Dulu kalau dapat ke universiti, itu satu pencapaian besar. Bila belajar dapat biasiswa atau pinjaman, ada kontrak, ada penjamin. Kadang-kadang emak atau ayah jadi penjamin. Sebahagian daripada kesusahan itu kita pikul.

“Semangat untuk belajar pun lain. Setiap kali kita belajar, kita akan ingat kita belajar untuk balas jasa emak ayah. Nak ponteng kelas pun kita fikir banyak kali.

“Cuma sekarang sebab masyarakat semakin mewah, ekonomi semakin berkembang, jadi segelintir pelajar kita tak nampak sangat kesusahan dan mereka tidak menghargai keadaan itu.

“Tetapi kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kita tidak mahu kerana adanya dasar pendidikan percuma ini, katakan 50 tahun akan datang, masyarakat kita akan runtuh kerana pendidikan percuma ini. Yang kita takutkan kemudaratan moral, ini boleh berlaku,” jelasnya panjang lebar.

WAKAF PENDIDIKAN

Untuk menangani masalah pembiayaan pendidikan, Mohamad Azhar mempunyai cadangan iaitu membiayai pendidikan melalui wakaf.

Begitu asing bunyinya kerana wakaf lazimnya dikaitkan dengan wakaf tanah perkuburan atau masjid dan surau.

Bagaimanapun, Mohamad Azhar memberitahu wakaf pendidikan ini sudah dilaksanakan di Turki dan Mesir.

“Kita boleh gunakan kaedah ini untuk membiayai pelajar, sama ada percuma atau tidak terpulang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan sistem Islam itu dikaji bagi menampung keperluan pembiayaan pendidikan juga bidang penyelidikan.

Dalam hal ini, beliau berpendapat sudah sampai masanya ulamak dan umarak (pemerintah) duduk berbincang secara serius bagaimana instrumen kewangan Islam seperti wakaf boleh membantu dasar pembangunan Negara.

“Sistem kewangan Islam ini bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga bukan Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah,” tambahnya.

Beliau turut memberi contoh inisiatif Baitulmal Wilayah Persekutuan yang menggunakan wang zakat untuk tujuan pendidikan contoh pembinaan Institut Profesional Baitulmal.

PERLU UBAH

Mohamad Azhar turut mengesyorkan supaya PTPTN menukar peranannya daripada setakat memberi pembiayaan pendidikan dan mengambil tindakan apabila pelajar gagal melunaskan pinjaman.

Sebaliknya PTPTN, kata beliau perlu menjadi pemudahcara untuk pembangunan modal insan daripada sebelum pelajar mendapat pinjaman sehingga pelajar tamat pengajian.

Dalam hal ini, PTPTN boleh menjadi badan mengurus dana pelajar di mana pelajar diberi bimbingan menguruskan wang yang mereka perolehi daripada Perbadanan tersebut serta membantu pelajar mengenalpasti peluang pekerjaan.

“Kalau ada bimbingan, pelajar lebih yakin dan terbuka minda untuk mengambil pinjman.

“Dan saya rasa ramai yang tak bayar sebab tak ada kerja. PTPTN boleh mendidik pelajar bagaimana membina kehidupan selepas tamat pengajian dan bukan bertindak sebagai bank memberi pembiayaan semata-mata,” katanya.

Berita Berkaitan

Keputusan MKT UMNO semalam termasuk juga salah satu cadangan saya – Najib

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen UMNO, saya bawa tiga cadangan dalam meeting semalam kerana...

[Video] Sebarang keputusan adalah keputusan parti, parti yang akan buat keputusan – Najib

Perbincangan telah pun diadakan mengenai situasi semasa. Pelbagai pandangan diutarakan. Penelitian akan dibuat oleh Majlis Tertinggi. Nasihat...

Tak perlu isytihar darurat, kata Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tiada keperluan mengisytiharkan darurat di...

Siapa penumpang helikopter?

Kehadiran sebuah helikopter yang mendarat di pekarangan Istana Negara, di sini, menimbulkan tanda tanya...

Komen

..

Keputusan MKT UMNO semalam termasuk juga salah satu cadangan saya – Najib

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen UMNO, saya bawa tiga cadangan dalam meeting semalam kerana itulah tujuan kami bertemu. Ia adalah untuk berbincang dan menentukan hala...
993PeminatSuka
4,664PengikutMengikut
3,359PengikutMengikut
13,700PelangganLanggan