Putera William, Kate Tiba Di Taman KLCC - pakdin.my

Duke and Duchess of Cambridge Putera William dan Catherine Middleton memulakan hari kedua lawatan rasmi mereka di Malaysia dengan bertemu orang ramai dan menonton persembahan kebudayaan negara ini di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Pasangan diraja ini yang tiba di taman berkenaan pada pukul 10.36 pagi disambut dengan sorakan orang ramai dan ratusan media yang menunggu seawal pukul 8.30 pagi untuk melihat pasangan ini dari jarak dekat.

Sebaik tiba di perkarangan taman dengan menaiki ‘buggy’, pasangan ini disambut dengan bunga manggar dan sireh junjung yang menjadi adat dan budaya masyarakat Melayu.

Masing-masing teruja melihat kejelitaan Kate dan ketampanan William ditambah dengan riak wajah ceria mereka.

Sambil diiringi anakanda Yang di-Pertuan Agong Tunku Puteri Intan Shafinaz ketika berjalan bertemu orang ramai, pasangan ini tidak pernah lepas melemparkan senyuman kepada mereka yang hadir.

Sepanjang setengah jam meluangkan masa di sini, pasangan diraja ini dihidangkan dengan persembahan kebudayaan dan pertunjukan.

Persembahan pencak silat menjadi pembuka kepada persembahan lain diikuti pertunjukan pakaian tradisional daripada setiap kaum dan suku masyarakat di Malaysia.

Pasangan diraja turut kelihatan teruja dengan budaya negara ini apabila sudi meluangkan masa melihat persembahan permainan alat muzik tradisional yang memainkan lagu rakyat ‘Kenek-Keneklah Udang’ sehingga selesai.

Selain itu, pasangan pewaris takhta British ini turut diperkenalkan dengan fesyen pakaian yang diperbuat daripada batik.

Bagi Theeva, 32, yang dalam cuti bersalin dan menunggu di sini sejak awal pagi, kunjungan William dan Kate ke negara ini menjadi memori dan sejarah untuk dirinya.

“Saya sangat gembira. Apa yang saya lihat ini adalah sekali dalam seumur hidup saya dan tak mungkin saya melupakannya,” katanya.

Bagi dua rakannya, Elina, 32 dan Zuraya, 38, apa yang dilihat hari ini oleh mereka bukan sahaja menjadi sejarah peribadi tetapi turut menjadi sejarah buat kedua-dua negara.

“Kami sukakan budaya British dan Melayu. Kedua-duanya begitu istimewa dan kami merasakan antara Malaysia dan United Kingdom begitu sinonim dan mempunyai hubungan yang erat,” kata Elina.

Kedua-dua mereka mengambil cuti semata-mata untuk melihat pasangan diraja ini dari jarak dekat.

UTAMABERITAPutera William, Kate Tiba Di Taman KLCC

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium