Rahim Noor Dikecam Label Nik Aziz ‘Bapa Kafir’ - pakdin.my

Rahim Nor

Kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang melabel Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ mengundang kecaman pemimpin PAS pelbagai peringkat.

Sambil menyifatkan sebagai keterlaluan, pimpinan PAS bagaimanapun tetap mempertahankan kenyataan Mursyidul Am mereka yang sebelum ini menyatakan bahawa adalah wajib menyokong perhimpunan Bersih 3.0 walaupun pada akhirnya ia dicemari keganasan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, bekas Ketua Polis Negara itu tidak layak ‘mengkafirkan’ pemimpin utama parti itu hanya kerana kenyataan tersebut.

Malah beliau turut mempertikaikan kewibawaan Rahim untuk melabel seorang ulama seperti Nik Abdul Aziz sebagai kafir.

“Siapa Rahim Noor? Siapa dia nak cakap begitu? Dia tak ada kewibawaan,” katanya kepada mStar Online di sin, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Rahim yang melabel Nik Abdul Aziz sebagai ‘bapa kafir’ apabila dilihat cuba mengelirukan umat Islam dengan menyatakan bahawa wajib untuk menyokong perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Baru-baru ini Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS mendesak Rahim menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan dan bersifat kurang ajar.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, perbuatan menuduh seseorang itu kafir adalah terlalu berat lebih-lebih lagi individu yang ditutuh itu adalah dikalangan ulama.

“Apakah latar belakang beliau jika hendak dibandingkan dengan ulama ini dan sejauh mana kefahaman Islam beliau sehingga boleh mengeluarkan pandangan seseorang itu sesat atau betul?

“Kenyataan beliau dengan jelas menghina institusi ulama,” katanya.

Selain itu Raja Ahmad turut menggesa Rahim agar segera bertaubat kerana membuat tuduhan berkenaan.

“Kami meminta supaya Tan Sri Rahim bertaubat dan beristighfar dengan segera.

“Menuduh seorang ulama yang berjuang demi menegakkan Islam serta mempertahankan kebenaran dengan tuduhan kafir dan sesat adalah suatu dosa yang besar di sisi Islam,” katanya.

UTAMABERITARahim Noor Dikecam Label Nik Aziz 'Bapa Kafir'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium