Rakyat Malaysia Bersatu Dengan ‘Merdeka’ - pakdin.my

Baru-baru ini di sebuah pusat membeli-belah di kotaraya ini, penulis terdengar perbualan antara seorang anak lelaki kecil bersama bapanya.

“Hari Merdeka tu apa?”. Tanya si anak kepada bapanya.

Tersenyum dengan soalan itu, bapanya lalu menjawab.

“Ianya merupakan Hari Kebangsaan bagi Malaysia, menandakan kemerdekaan dari penjajahan British pada tahun 1957. Hari itu disambut pada setiap 31 Ogos,” terang bapanya.

“Jadi apa pula Hari Malaysia?”. Satu lagi soalan menyusul daripada anak kecil itu.

Jawab bapanya lagi “Ianya adalah bila Malaya, Sabah dan Sarawak serta Singapura bergabung menjadi Malaysia pada 1963”.

Di fikiran penulis, masih banyak yang perlu diterangkan tentang Hari Merdeka dan Hari Malaysia kepada generasi baru, terutamanya kanak-kanak.

“Jadi berapa umur Malaysia sekarang, 49 atau 55 tahun kah?” tanya si anak kecil lagi sambil mengira dengan jarinya.

Kepada soalan ini, si bapa tidak menyuarakan apa-apa jawapan melainkan diam membisu sahaja.

MALAYSIA

Pada 31 Ogos nanti, negara akan berusia 55 tahun tetapi masih ada yang tidak pasti sama ada Malaysia berusia 55 tahun atau enam tahun lebih muda.

Menurut ahli sejarah, Persekutuan Tanah Melayu yang juga ketika itu dikenali sebagai Malaya mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada tahun 1957 manakala Malaysia lahir pada 1963 bila Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak serta Singapura membentuk Persekutuan Malaysia.

Bagi mereka yang masih samar tentang Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sudah tentu mereka perlu meluangkan masa sekelap bagi merenung perjalanan sejarah tanahair.

Hari Merdeka dirayakan di seluruh negara pada 31 Ogos, sempena kemerdekaan yang dicapai negara pada tahun 1957 manakala tarikh 16 September 1963 adalah Hari Malaysia dengan terbentuknya Persekutuan Malaysia.

Para sejarahwan juga berpendapat, jika tidak wujudnya Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang merdeka serta berdaulat, maka tidak wujudlahlah juga Persekutuan Malaysia.

Pada tahun 2009, Kerajaan Persekutuan memutuskan dari tahun 2010, Hari Malaysia merupakan hari cuti umum kebangsaan di samping Hari Merdeka pada 31 Ogos.

Pembentukan Malaysia terjadi dengan pembentangan Rang Undang-Undang Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen Malaya pada 9 Julai 1963 serta persetujuan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Ogos 1963.

Sebelum terbentuknya Malaysia, Sarawak telah mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963, manakala Singapura dan North Borneo (kemudian bertukar menjadi Sabah) telah mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral daripada United Kingdom pada 31 Ogos 1963, iaitu serentak dengan ulangtahun ke-6 kemerdekaan Tanah Melayu.

Bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura telah keluar daripada Persekutuan Malaysia.

RAKYAT MALAYSIA BERSATU

Oleh itu jarak masa Ogos dan September dikenali sebagai Bulan kemerdekaan dan ianya bukan sesuatu yang luarbiasa bila dikatakan warga Malaysia di seluruh negara dan dunia bangga dengan gelaran ‘orang Malaysia’.

Mengapakah begitu?

“Banyak perkara telah menyatukan rakyat Malaysia, daripada kepelbagaian makanan hinggalah budaya,” kata aktivis sosial Gurmukh Singh.

“Selepas Tan Sri P. Ramlee, rakyat Malaysia belum lagi dapat menyaksikan seorang seniman yang kreatif, berkemampuan serta bijak sepertinya dalam dunia perfileman,” terang Gurmukh.

Menurut beliau lagi, rakyat Malaysia hidup sederhana dengan masyarakat bebas mengamalkan kepercayaan agama serta fahaman politik masing-masing.

Rakyat Malaysia juga cukup mesra dan baik budi.

“Tanyalah pada mana-mana pelancong asing (tentang kemesraan orang Malaysia),” kata beliau, sambil menambah kata masyarakat majmuk negara ini saling memahami dan menghormati antara satu sama lain,” tambah beliau lagi.

PERDANA MENTERI

Sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa mereka perlu ‘menghargai’ perkara-perkara yang dianggap kecil atau remeh yang sebenarnya membuatkan Malaysia sebuah negara yang unik di mata dunia.

Dalam blognya, Perdana menteri menerangkan antara perkara-perkara ini adalah ketika duduk minum teh tarik di kedai mamak, kehadiran pasar malam, buah durian dan langsat adalah sebenarnya khazanah yang membuatkan rakyat istimewa sebagai masyarakat Malaysia.

Selamat menyambut ulangtahun ke-55 Malaysia!

UTAMARakyat Malaysia Bersatu Dengan 'Merdeka'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium