28.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 29, 2020

Rakyat Malaysia Bersatu Menangkis Kutukan #H370

MH370-waris-beijing

Tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 benar-benar menguji kesabaran rakyat Malaysia dan pihak pemerintah.

Semuanya kerana kerenah laporan tidak bertanggungjawab sesetengah media tentang cara kerajaan Malaysia mengendalikan tragedi itu.

Turut memburukkan keadaan apabila ada waris penumpang warga China yang mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia. Warga China merupakan penumpang paling ramai dalam pesawat malang MH370.

Kebanyakan laporan antarabangsa mengenai kehilangan pesawat MH370 meletakkan kesalahan kepada Malaysia.

Ini termasuk media yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Fox News Channel yang mengaitkan Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid dengan keganasan, sabotaj dan rampasan kapal terbang.

Dalam masa Malaysia melakukan yang terbaik untuk merungkai misteri kehilangan pesawat MH370, penganalis keselamatan CNN, Peter Bergen awal-awal lagi merumuskan pesawat itu hilang akibat keganasan atau cubaan juruterbang untuk membunuh diri.

Masyarakat umumnya memahami perasaan kecewa serta marah waris penumpang MH370 tetapi cara mereka menzahirkan emosi mereka yang melampau sungguh memeranjatkan.

Kira-kira 200 anggota keluarga penumpang pesawat itu menjerit-jerit di hadapan Kedutaan Malaysia di Beijing. Antara perkataan yang dihamburkan: “Kami mahu kebenaran!” dan “Rakyat Malaysia pembunuh!”


Mereka juga dilihat menangis dan berteriak “kerajaan Malaysia pembunuh” dan “kami mahu keluarga kami dikembalikan”.

Banyak pihak yang tanpa justifikasi mempersalahkan pihak berkuasa Malaysia di atas kehilangan pesawat itu.

Kedua-dua media antarabangsa serta waris penumpang MH370 turut mendakwa pihak berkuasa Malaysia mahu menyembunyikan perkara sebenar yang berlaku ke atas pesawat itu.

Jelas rakyat Malaysia serta pemimpinnya ditekan begitu rupa meskipun mereka turut terkesan dengan kehilangan pesawat bersama 239 orang di dalamnya.

Mereka juga ingin tahu apakah nasib yang menimpa pesawat bersama penumpang dan anak kapalnya.

Tidak tahan dengan kerenah mereka yang membuat tuduhan liar dan melulu itu, ada rakyat Malaysia yang membalas dengan meluahkan perasaan mereka dalam media sosial.

Blogger, Ibnu Khusairy dalam catatannya baru-baru ini melahirkan rasa marahnya terhadap pertubuhan berita asing yang mendakwa Malaysia cuba menyembunyikan perkara sebenar berhubung kehilangan MH370.

Menurut beliau, laporan yang dibuat pertubuhan media itu bukan kenyataan rasmi.

Ibnu Khusairy turut merujuk kepada kenyataan liar bahawa ‘rakyat Malaysia pembunuh’, dan menyatakan bahawa warga China perlu ingat bahawa dalam pesawat yang hilang itu juga ada rakyat Malaysia dan waris mereka seperti juga orang lain masih menunggu dengan penuh harapan.

Mengulas reaksi pihak China itu, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, pensyarah di Jabatan Antarabangsa dan Kajian Strategik Universiti Malaya berkata kenyataan orang Malaysia pembunuh adalah tidak logik.

“Bila masa pula kita membunuh penumpang yang menaiki syarikat penerbangan kita?” soal beliau.


Beliau turut memberitahu, meskipun kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan semua pihak yang terlibat, ia bukan tugas mudah.

“Saya faham kita perlu melakukan yang terbaik untuk memenuhi semua tuntutan China tetapi dalam hal ini, saya fikir kita perlu menganalisis setiap sudut secara terperinci berdasarkan keadaan,” katanya.

Blog yang dikenali sebagai Just Read turut melontarkan soalan mengapa Malaysia perlu memohon maaf di atas kehilangan MH370 seperti yang diminta oleh sesetengah waris.

“TIDAK! Kami tidak akan memohon maaf. Bukan sebab kita pesawat MH370 itu hilang. Apa yang berlaku di luar dugaan kita dan insiden ini belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.

“Kenapa kita mesti memohon maaf kepada saudara-mara penumpang China? Bukan kita yang membunuh mereka, kita bukan pembunuh,” kata blog itu.

Catatan blog itu juga menyatakan pihak berkuasa Malaysia telah memberi layanan baik kepada waris penumpang China di samping berkongsi kesedihan mereka.

Oleh yang demikian, tindakan mereka mempersalahkan Malaysia yang turut mempunyai rakyatnya dalam pesawat malang itu adalah keterlaluan.

Sementara itu, penyelaras pemasaran, Najwa Azhar, 27, melahirkan rasa kecewanya berhubung laporan akhbar yang berniat jahat serta pelbagai spekulasi yang turut memberi kesan ke atas emosi rakyat Malaysia.

Tambahnya, tidak wajar menuduh kerajaan Malaysia tanpa sebarang bukti.

“Rakyat Malaysia akan terus menyokong negara mereka. Sungguh biadab mereka mengecap Malaysia sebagai pembunuh,” katanya merujuk laporan media asing mengenai pesawat yang hilang sejak 8 Mac itu.

Prashanth Subra, 28, dalam status akaun Facebook miliknya memberitahu CNN bahawa Malaysia bukan negara pengganas.


Beliau mencatat, pada hakikatnya Malaysia adalah 100 kali lebih aman daripada negara-negara lain.

Bagi menzahirkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia, empat badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bantahan terhadap dua agensi berita dari Amerika Syarikat yang didakwa membuat liputan berita tidak tepat serta tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.

Keempat-empat NGO – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Media Malaysia (MMF), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa (IMCA) dan Batas Malaysia (Bersekutu)- menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat di sini semalam.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Ini berdasarkan analisis data satelit yang belum pernah digunakan oleh syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK yang merumuskan penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Usaha mencari pesawat MH370 yang melibatkan kerjasama pelbagai negara itu kini tertumpu di selatan Lautan Hindi.

Berita Berkaitan

Cap palsu: Beli tunai kereta, motosikal mewah

Tiga lagi anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam...

Selepas rugi RM9.95 bilion, Umno gesa Putrajaya semak kemampuan syarikat dilantik pulih TH

Umno hari ini menggesa Putrajaya supaya melihat semula kemampuan syarikat ditubuhkan ketika pentadbiran Pakatan...

Pendakwah selebriti direman lima hari membantu siasatan kes rogol

Pendakwah selebriti direman lima hari, mulai hari ini, bagi membantu siasatan kes merogol seorang...

Seorang lagi anggota PGA cedera ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

ALOR SETAR: Seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas terkena tembakan ketika...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

00:01:14

[Video] BN dan UMNO akan pantau perlaksanaan skim i-Sinar tidak rumit dan menyusahkan rakyat

Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.. Seperti yang dimaklum Menteri Kewangan petang tadi dalam Dewan Rakyat, dia...